Apabila Diri Dah Terasa ‘Berisi’

Krew-krew yang semakin ‘membesar’ – Gambar Kenangan

GEMUK. Adalah satu perkataan yang sensitif. Jangan dipanggil kepada orang yang berisi, sangat terasa!

“Jamal! Aku tengok kau dah makin tembam! Masa mula-mula aku jumpa kau tak de la tembam macam ni”,kata Hans, rakan seperjuangan saya dalam Imam Muda 3. Seorang penulis kreatif Imam Muda 3 sama seperti saya.

“Eh! Mana ada! Sama je aku tengok!”, saya buat-buat menafikannya.

Dulu saya kurus, kesibukan mengembara ke seluruh negara, masa makan yang tidak teratur dan kadang kala tidak menjamah makanan, badan saya susut.

Semuanya berubah apabila saya menyertai krew penerbitan Imam Muda 3. Pihak Astro menjaga makan setiap pekerja dan peserta Imam Muda. Makanan pula sedap dan berselera untuk dimakan. Tidak masuk lagi apabila kami dijemput ke majlis-majlis tertentu yang menyediakan pelbagai juadah! Tidak hairanlah siapa yang kurus melidi sebelum program, keluar dah berisi badannya.

KISAH SEMASA INTERVIEW

Saya pernah menemuramah seorang peserta Ujibakat Imam Muda 3 yang agak berisi badannya.

“Dalam Imam Muda ini perkara utama diambil kira ialah bacaan Quran dan pengetahuan Islam. Tapi pakej rupa yang menarik pun (kurus dan segak) satu kelebihan”, saya menguji.

“Jangan risau, kalau masuk Imam Muda saya tekad untuk turunkan berat badan saya!”, jawabnya semangat.

Saya berkongsi cerita ini dengan Penerbit Imam Muda, Encik Najib Amin dan beliau tergelak besar dengan kisah itu.

“Jangan haraplah nak kuruskan badan, Imam Muda yang sebelum ini pun kata nak kuruskan badan bila masuk Fakulti. Jangan kata kurus, makin tembam ada-lah! Makan, makan, makan!”, katanya bersahaja.

MUDIR AJAK MAKAN LAGI!!

Ketika itu saya nak rakan-rakan lain sedang makan malam dengan makanan yang disediakan oleh pihak Catering. Kami baru sahaja selesai sesi rakaman Medan Imam Muda di Dewan Jubli, INSPENS Putrajaya. Tiba-tiba seorang krew datang berbisik kepada saya.

“Jangan makan banyak sangat, nanti Mudir ajak makan lagi kat luar. Kita makan Nasi Arab pulak”, kata Rahman, krew TAC Team (Penjaga Imam Muda). Makan lagi!

Mudir Imam Muda kalau belanja makan memang Top Class!!

Tuan Mudir Imam Muda, Dato’ Hassan Mahmud akan belanja krew dan Imam Muda setiap kali selesai rakaman Medan pada setiap minggu. Lokasi tempat makan bukan calang-calang, restoran Arab dan Tom Yam yang terkenal di Putrajaya. Sungguh baik hatinya, terima kasih Dato’!

Macam mana-lah kami nak jaga badan jika dihidangkan dengan makanan yang pelbagai. Fikir-fikirkanlah.

FIKIR UNTUK KURUSKAN BADAN?

Apabila makan banyak hanya pipi saya sahaja yang naik, badan sama sahaja. Buktinya saya masih boleh memakai baju T-Shirt tahun 2005 tanpa ada rasa sendat. Perlukah menguruskan badan?

Seorang rakan saya dalam Imam Muda, Omar Othman dan Faiz Hamdan sibuk mempromosi Herbalife kepada krew-krew yang mengalami masalah pertambahan berat badan.

“Berapa harganya?”, saya bertanya.

“Dalam RM500 kalau nak yang complete set“, Faiz menjawab. Harganya setaraf dengan bayaran bulanan kereta saya! Maaf rakanku, ku tidak mampu. Tidak salah bagi anda yang mahu melaburkan sejumlah wang yang besar untuk kesihatan diri, tetapi fikirkan kemampuan kewangan kita. Ada duit silakan membelinya.

APABILA DIRI DAH TERASA ‘BERISI’ adalah niat nak kuruskan badan. Tapi apabila habis di Imam Muda datang pula Hari Raya, bertambah lagi-lah berat badannya!

Namun, sebanyak mana pun kita makan, pilihlah yang baik untuk kesihatan. Jika ada peluang untuk bersukan dan mengeluarkan peluh, usah banyak alasan untuk mengelakkannya. Semoga kita terus sihat dan bertenaga untuk memajukan diri kita. Selamat bekerja rakan-rakan dan salam perjuangan buat semua.

ANDA PULA BAGAIMANA?

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 29 Ogos 2012.

Related Post

6 Replies to “Apabila Diri Dah Terasa ‘Berisi’”

  1. hahahaha…..yups….kalau boleh kurus tu sama ada memang metabolisme terlampau tinggi atau dia ada bela jin dalam perut…hahaha

  2. Alahai, terasa juga ke apabila orang sebut-sebut tembam… Sebenarnya bukan suatu kekurangan mahupun kelebihan apabila sebut tentang kurus atau gemuk. Manusia tidak pernah berasa puas, yang kurus hendak gemuk dan sebaliknya. Yang penting kita jagalah kesihatan diri dengan baik… Tetapi awak sebenarnya lebih comel apabila awak tembam….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *