RAYA : Saudara Sendiri Pun Dah Tak Kenal!

Keluarga En. Jakiran Jacomah bergambar kenangan di pagi Syawal 1433H

“Paie, mari ke depan”, Bapak memanggil saya ke ruang tamu. Oh, ada tetamu rupanya.

“Ini pakcik Talib nak jumpa”, kata Bapak. Saya bersalaman dengan tetamu yang disebut pakcik Talib dan keluarganya.

“Amboi. Dah besar semuanya”, pakcik Talib berbicara. Saya masih bingung kerana saya tidak mengenalinya. Lama berbual, Pakcik Talib sekeluarga meminta izin untuk pulang.

Setelah mereka pulang, saya bertanya Mama siapakah keluarga itu tadi. Rupa-rupanya dia adalah saudara yang duduk di Nilai dan telah lama tak beraya di kampung Kuala Selangor. Saya pernah berjumpa dengan Pakcik Talib, tetapi ketika itu saya masih kecil dan memang tak ingat apa-apa apabila dah besar!

Maklumlah jarang berjumpa. Alhamdulillah adat kita orang Melayu saling menziarahi sesama keluarga dan sahabat handai di musim perayaan sangat baik untuk diteruskan. Yang jauh didekati, yang dekat kita rapat-rapatkan.

KELUARGA SEBELAH BAPAK

Datuk sebelah Bapak saya bernama Jacomah Bin Abdullah atau nama asalnya J.Kumar Bin Abdullah yang berasal daripada Dhaka, Bangladesh.

Nenek pula bernama Yam Binti Wongsotarno yang berasal dari Pulau Jawa, Indonesia.

Mereka masing-masing berhijrah ke Tanah Melayu sebelum merdeka dan berkahwin di sini. Dikurniakan 6 orang cahaya mata termasuklah ayah saya, Jakiran Jacomah sebagai anak kedua daripada 6 adik beradik.

Keluarga sebelah Bapak yang berketurunan Jawa + Benggali tidak besar. Oleh kerana itu, saya masih boleh mengenali saudara mara khususnya Pakcik, Makcik dan sepupu sepapat dari pihak ini.

KELUARGA MAMA

Tidak pula di sebelah Mama, berketurunan Jawa dan ada sikit-sikit Pattani memang mempunyai keluarga yang besar. Ada gelaran Wak, Paman, Bibik, Embah, Buyut dan sebagainya.

Gelaran “WAK” adalah gelaran bagi Pakcik/Makcik yang lebih tua daripada Mak atau Ayah kita dalam adik-beradiknya.

“PAMAN” (lelaki) dan “BIBIK” (perempuan) pula adalah gelaran untuk adik beradik Mak/Ayah kita yang lebih muda daripada mereka. Memandangkan Mama saya, Rafeah Binti Hassan adalah anak sulong daripada 9 adik beradik, saya perlu memanggil pakcik dan makcik saya sebagai Paman dan Bibik. Anak-anak mereka pula perlu memanggil Mama saya sebagai Wak.

Kadang kala sukar juga untuk mengingat yang mana satu Wak dan mana satu Paman (sepupu Mama). Sebelum panggil mereka, biasanya kami adik beradik kena tanya Mama dahulu nak panggil apa kepada mereka. Selalu juga tersalah panggil!

SAUDARA SENDIRI PUN DAH TAK KENAL!

Akibat keluarga yang sudah sampai peringkat 2 pupu dan 3 pupu ini, kami sudah sukar untuk mengenali di antara satu sama lain. Jumpa setahun sekali dan kadang-kadang ada sindrom tak mahu pergi beraya rumah saudara-mara juga menjadikan masalah “TIDAK KENAL SAUDARA” semakin kronik.

Hari Raya baru boleh berkumpul sesama sepupu. Kalau tak raya?

Masing-masing dah bawa haluan sendiri dengan bekerja di merata-rata tempat di seluruh Malaysia. Anak-anak pula duduk asrama dan akhirnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Selepas tamat belajar terus bekerja dan tak balik beraya di kampung. Macam mana nak kenal sedara-mara?

Di musim perayaan ini, eloklah kita berkunjung-kunjungan dan rajinlah mengikut mak dan ayah beraya. Bukan untuk kumpul duit raya tetapi ada perkara yang lebih besar daripada itu, iaitu SILATURRAHIM dan mengenali sesama keluarga.

Facebook dan Twitter yang ada perlu digunakan untuk bertegur sapa di antara sepupu sepapat, jangan hanya usha awek saja! Ramai juga saudara mara saya yang add saya di Facebook tetapi saya tidak tahu mereka itu 2 pupu saya. Apabila berjumpa di Hari Raya baru tahu dia 2 pupu kita! Masya-Allah. Kecilnya dunia.

Akhir kata, Selamat Hari Raya dan selamat menunaikan puasa 6 di bulan Syawal ini. Semoga Allah memanjangkan umur kita kerana Nabi ada mengatakan kelebihan menyambung Silaturrahim ialah Allah akan memanjangkan umur mereka. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang diredhai Allah. Insya-Allah.

NOTA : Syukur dapat beraya bersama rakan-rakan di Sungai Besar (SBPI Sabak Bernam). Yang lain? Saya masih tak berkesempatan.

ERATKAN JALINAN SESAMA MUSLIM

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 28 Ogos 2012.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *