Sayu Jiwamu Mengenang Umatmu,
Menentang Kehadiranmu,
Mengalir Darah Dari Tubuhmu,
Terluka Dilempar Batu
Berkatalah Malaikat Kepadamu,
Pohonlah Dari Tuhanmu,
Agar Bisa Ditimpakan Mereka,
Gunung Sebagai Balasan
Lantas Kau Menadah Kedua Tangan,
Bermunajat Dengan Penuh Harapan,
Agar Diberi Hidayah Dan Keampunan,
Bukanlah Azab Seksaan
Luhur Sifatmu Tiada Tandingannya,
Perjuanganmu Tak Pernah Putus Asa,
Kasihkan Umatmu Tiada Taranya,
Walau Hati Dan Jasadmu Terluka
Berkat Dari Doa Yang Tulus Suci,
Belas Ehsan Dari Seorang Nabi,
Penghuni Thaif Generasinya Kini,
Dilimpahi Nur Hidayah Ilahi
Itulah lirik lagu daripada sebuah kumpulan Nasyid terkenal yang berjudul “Tragedi Thaif”. Walaupun lagu ini belum lagi diterbitkan di pasaran, saya ingin berkongsi kepada anda tentang Tragedi Thaif yang banyak memberi motivasi kepada para pendakwah bagi menyampaikan kalimah Allah kepada umat.
SIRAH TRAGEDI THAIF
Selepas pemergian Siti Khadijah dan bapa saudara Nabi, Abu Talib. Umat Islam diserang hebat oleh kaum musyrikin Mekah. Rasulullah memikirkan penduduk Thaif akan memberi perlindungan kepada orang Islam dan Nabi pergi seorang diri secara senyap ke Thaif bagi meminta pertolongan daripada penduduk Thaif.
Nabi duduk di Thaif selama 10 hari dan meminta pertolongan dan perlindungan daripada 3 orang pembesar iaitu Abdi Yalel, Kbubaib dan Mas’ud. Malangnya, mereka menolak permohonan Nabi dan penduduk Thaif keluar beramai-ramai mengejek dan mencerca Nabi kita, Nabi Muhammad Shollallahu A’lahi Wasallam.
Nabi berjalan pulang dengan sedih, di sepanjang perjalanan pulang itu, Nabi dibaling dengan batu sambil diejek berulang kaji untuk menghalau Nabi dan menolak kesucian Islam. Kesakitan Nabi Muhammad bukan sedikit, luka-luka di badannya dan darah yang mengalir bertakung di dalam kasut Nabi!
Di saat kesakitan itu dan berjalan pulang, Nabi berdoa kepada Allah :
“Ya, Allah kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku kurangnya kesanggupanku, dan kerendahan diriku berhadapan dengan manusia. Wahai Dzat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Engkaulah Pelindung bagi si lemah dan Engkau jualah pelindungku! Kepada siapa diriku hendak Engkau serahkan? Kepada orang jauh yang berwajah suram terhadapku, ataukah kepada musuh yang akan menguasai diriku?
Jika Engkau tidak murka kepadaku, maka semua itu tak kuhiraukan, kerana sungguh besar nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung pada sinar cahaya wajah-Mu, yang menerangi kegelapan dan mendatangkan kebajikan di dunia dan di akhirat dari murka-Mu yang hendak Engkau turunkan dan mempersalahkan diriku. Engkau berkenan. Sungguh tiada daya dan kekuatan apa pun selain atas perkenan-Mu.”
Seraya berdoa Nabi pun mengangkat kepalanya dan tiba-tiba Malaikat Jibril as. memanggil Nabi dan berkata, “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan dan jawapan kaummu terhadapmu, dan Allah telah mengutus Malaikat penjaga gunung untuk engkau perintahkan kemahuanmu”.
Kemudian Malaikat penjaga gunung datang, mengucap salam dan berkata kepada Nabi Muhammad, “Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu terhadapmu. Aku adalah Malaikat penjaga gunung, dan Rabb-mu telah mengutusku kepadamu untuk engkau perintahkan sesukamu, jika engkau suka, aku bisa membalikkan gunung Akhsyabin ini ke atas mereka”.
Lalu Nabi Muhammad menjawab, “Jangan! Tetapi aku menginginkan semoga Allah berkenan mengeluarkan dari anak keturunan mereka generasi yang menyembah Allah semata-mata, dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun”.
IBRAH DARI DOA NABI
Betapa luhurnya keperibadian Rasulullahi Sholallahu A’laihi Wasallam dalam perjuangan baginda. Walau pun dicerca, diherdik, dimaki dan dibaling batu sampai cedera pun masih lagi mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.
Nabi masih berdoa untuk orang bukan Islam agar diberi hidayah Allah dan tidak berdoa meminta kehancuran. Jika dengan orang bukan Islam pun Nabi berdoa yang baik-baik, apatah lagi dengan orang Islam dan Sahabat-Sahabat baginda.
Jauhnya kita dengan akhlak yang Nabi tunjukkan kepada kita, kita walaupun baru sedikit disakiti sudah mendoakan yang buruk-buruk kepada sesama Islam. Mungkin sunnah sudah terbalik, sepatutnya kita bertegas dengan orang kafir dan bersaudara sesama Islam, tetapi sekarang Tok Lebai sendiri sudah berpeluk cium dengan kafir dan mendoakan kehancuran sesama Muslim.
Mereka menggunakan dalil kisah Saad Abi Waqas yang berdoa kepada rakyatnya kerana telah memfitnah pentadbiran Saad Abi Waqas. Doa Saad Abi Waqas, “Ya Allah, jika orang yang menfitnahku itu kerana riyak, dusta dan ingin mendapat nama maka butakanlah matanya dan biarkanlah dia menerima balasan fitnah.”
Dalil ini menunjukkan doa pemerintah kepada rakyat yang memfitnahnya, sepatutnya perkara ini didoakan oleh pemerintah kepada rakyatnya yang saban hari memfitnah dan mencerca pemerintahannya. Tambahan lagi, Saad Abi Waqas hanya mendoakan secara khusus kepada seseorang dan bukannya kepada seluruh kaum orang tersebut. Zalim namanya kalau mendoakan untuk keseluruhan orang dalam satu-satu organisasi.
Dalil ini bukan sesuka hati digunakan oleh sesiapa sahaja yang sakit hati dengan orang lain.
Kita juga selalu mendengar hadis Nabi tentang doa orang yang dizalimi. Doa orang yang dizalimi tiada hijab baginya untuk sampai kepada Allah Subhanahu Wataa’la. Tetapi bagaimana pula kalau ‘dizalimi’ itu adalah fitnah dan belum lagi ditentukan sama ada benar atau tidak?
Mungkin juga doa kehancuran kepada orang lain akan terpalit semula kepada orang yang mendoakannya itu? Seperti mana Abuya Ashaari Muhammad yang berdoa Muhabbalah tetapi akhirnya tersungkur di pintu Syurga.
“Umat Islam itu umpama lidi, bila ia diikat seberkas, ia menjadi kuat dan boleh menyapu segala sampah yang ada besar atau kecil, tetapi bila dirungkai menjadi taburan lidi, habuk sebesar hama pun ia tidak mampu membuangnya”
Bersatulah wahai Saudara Se-Islamku, Allah mengarahkan kita agar menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka Allah. Syurga bukan untuk mana-mana parti, kerana setiap orang akan dihisab melalui amalan yang dilakukan dan bukannya dengan bertanya, “Kamu parti mana? Kalau parti …. silalah masuk ke dalam syurga Allah Yang Maha Pemurah”.
Saya mendoakan satu hari nanti kita sesama Islam akan bersatu kembali, lapang dada dan berkasih sayang sesama kita. Saya yakin Janji Tuhan Pasti Berlaku, Islam akan bangkit dari timur di akhir zaman.
Wallaua’lam.
Rujukan :
Sirah Thaif : http://abizakii.wordpress.com/2010/05/04/pengalaman-pahit-rasulullah-saw-di-thaif/
Sirah Saad Abi Waqas : http://abdullatip.blogspot.com/2011/06/saad-bin-abi-waqas.html
Video : http://youtu.be/CCT7NKwvE8E
TRAGEDI THAIF IKTIBAR UNTUK SEMUA
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 20 November 2012.