1. UMNO sering dicop sebagai korupsi, kenapa? Kerana Umno adalah parti pemerintah yang mempunyai kuasa meluluskan projek yang kecil ataupun besar. Buat apa masuk parti pembangkang, kerana mereka tidak ada apa-apa yang boleh diberikan (projek) kepada penyokong mereka. Lantas, ramailah yang berpusu-pusu masuk Umno kononnya pejuang Umno tetapi sebenarnya hanya pengambil kesempatan.
2. Itu sebelum 2008.
3. Telahan saya mungkin benar, apabila kerajaan BN tumbang di Selangor, terlalu ramai pemimpin Umno (terutama kontraktor) keluar Umno dan menyertai PKR. Kata mereka Umno rasuah dan sebagainya, namun sebenarnya merekalah yang membuat onar semasa di dalam Umno dahulu. Tinggallah Umno yang busuk namanya dan pemimpin itu menubuhkan ranting/cabang PKR di kawasan mereka. Diperhatikan, projek kerajaan negeri Selangor banyak disapu golongan ini, tidak kiralah sekecil kontrak memotong rumput sehingga ke projek membina bangunan.
4. Difahamkan juga, pemimpin cawangan/bahagian MCA atau kontraktor Cina yang bertapak di Selangor sudah beralih ke DAP. Adakah kerana projek? Jika tidak menyokong DAP, mereka mungkin tiada projek di negeri Selangor yang kaya raya ini. Mungkinkah PR pula boleh dicop sebagai Kroni?
5. Mengapa Umno/BN masih tak tumbang walaupun sudah kehilangan Selangor dan banyak pemimpin keluar parti? Kerana Umno masih menguasai Kerajaan Persekutuan, banyak jugalah projek yang ada. Oleh itu, golongan ini tidak melepaskan peluang merebutnya.
6. Saya memerhatikan, golongan ‘pengambil kesempatan’ dalam Umno di Selangor sudah malu-malu kucing. Mereka sudah tidak berminat untuk menjawat jawatan penting dalam parti. Kerana mereka juga nak cari makan dengan kerajaan negeri, oleh itu mereka tidak boleh terlalu menonjol dalam Umno. Akhirnya, Umno diwarisi oleh pemimpin yang berjiwa besar atau orang baru tetapi kurang ilmu dan pengalaman untuk mentadbir. Ini juga boleh melemahkan Umno.
7. Mungkin juga ada ‘pengambil kesempatan’ yang masih menonjol atau menjadi pemimpin besar dalam Umno. Saya tidak pasti, adakah ada ‘hidden agenda’ untuk menjatuhkan Umno DARI DALAM dengan pelaksanaan keputusan yang tidak popular, merugikan parti, dan boleh menyebabkan sokongan kepada parti merosot? Cara ini lebih berkesan sebenarnya untuk melemahkan Umno, apabila Umno lemah dan ahli Umno (pejuang sebenar) menolak mereka, mudah bagi pemimpin ‘pengambil kesempatan’ ini masuk parti lawan yang semakin kuat. Itu tidak mengejutkan.
8. Mereka menumpang kekuatan pembangkang, dan saya percaya, jika BN tumbang di Pusat (nauzubillah), lebih ramai yang keluar Umno dan mereka pula akan MENGAMBIL KESEMPATAN terhadap parti pemerintah yang baharu.
9. UMNO sebenarnya tidak rosak, yang rosak adalah pemimpin korup dan mengambil kesempatan. Jangan putus asa dengan Umno, parti ini sudah tua (matang) tetapi bukan untuk orang tua. UMNO ditubuhkan oleh pejuang-pejuang yang benar-benar ikhlas hatinya. Hanya selepas melihat kemudahan dan ganjaran, golongan ‘pengambil kesempatan’ mula menguasai Umno.
10. Hal ini juga akan terjadi kepada semua parti. Apabila tiada kuasa, ramai tak berminat menyokong. Apabila berkuasa atau nampak kuat, berpusu-pusu orang menyokong dan mengambil kesempatan. Mungkin kita boleh belajar, dalam politik sukar ditemui SOKONGAN YANG IKHLAS.
11. Akhirnya negaralah yang akan rugi, menolak parti pemerintah yang dicop Kroni dan Rasuah, dapat pula pemerintah yang Kroni dan Rasuah yang BAHARU.
12. Saya tidak menolak golongan kontraktor. Jadilah kontraktor yang tidak berpura-pura dan berjuanglah dengan ikhlas. Rezeki Allah itu ada, jangan kita khawatir.
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 10 September 2013.