PENGENALAN PROGRAM :
Persatuan Belia Pasir Tuntong Kuala Selangor akan menganjurkan sebuah program TONTON TANDA PUTERA bagi mengisi Program Sambutan Kemerdekaan 2013. Bertepatan dengan penayangan filem Tanda Putera bermula 29 Ogos 2013 di pawagam, kami mengambil inisiatif menempah slot khas di Lotus Five Star Cinema, 1Plaza Kuala Selangor.
Kami juga menjemput anda yang bukan ahli Persatuan Belia Pasir Tuntong atau yang berada di luar daerah Kuala Selangor untuk turut serta dalam program tayangan ini. Tarikh tayangan ialah 4 September 2013 (Rabu) jam 9.00 malam di LFS Cinema, 1Plaza Kuala Selangor.
Promosi diberikan bagi sesiapa yang mendaftar kepada kami, HARGA TIKET HANYA RM 7.00 SAHAJA. Harga biasa tiket adalah RM 11.00.
Bagi yang berminat, boleh mengisi borang di bawah untuk menempah tiket berdasarkan syarat-syarat berikut :
1. Harga tiket sebanyak RM7 jika mendaftar bersama kami. Kami tidak menanggung harga tiket yang berlainan jika beli sendiri di kaunter pawagam. Harga tiket tidak termasuk Pop Corn dan Minuman Ringan.
2. Pemilihan tempat duduk di pawangam adalah di bawah kelolaan Sekretariat Tonton Tanda Putera. Kami akan cuba menyusun kawasan tempat duduk yang mengasingkan lelaki dan wanita.
3. Pembayaran tiket boleh dibuat apabila sampai di 1Plaza Kuala Selangor pada 4 September 2013.
4. Peserta diminta untuk datang awal ke pawagam untuk urusan pembahagian tiket. (Waktu berkumpul akan diberitahu kemudian).
5. Program ini menyokong KEMPEN BERSONGKOK, oleh itu amatlah digalakkan kepada peserta lelaki untuk memakai Songkok dan bertudung hitam oleh peserta wanita.
BORANG TEMPAHAN TIKET “TONTON TANDA PUTERA”
TRAILER TANDA PUTERA
SINOPSIS “TANDA PUTERA”
Filem Tanda Putera mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969. Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia mengenai penyakit leukemia yang dihadapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan keselamatan negara. Mereka berdua berkongsi doktor. Bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatan mereka oleh Dr Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr Ismail sendiri.
Mereka memiliki aura yang kuat. Kecekalan dan keazaman mereka telah menangkap imaginasi pelajar seperti Zarah, tenaga pengajar, Kara dan anak muda, Zaman. Tun Razak dan Tun Dr Ismail mencorakkan warna hidup warga muda seperti pelajar dan tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi ketika itu serta mereka yang bertugas di pejabat.
Filem Tanda Putera berdasarkan kisah benar tragedi 13 Mei 1969 menampilkan Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Tunku Abdul Rahman (Kamarulzaman Taib), Sahee Shamsuddin (Najib Tun Razak), Razif Hashim (Johari Tun Razak), Ismaizal Yusoof (Tawfik Tun Ismail), Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson) dan Norman Hakim (IGP Hanif).
Ia dibantu Kavita Sidhu (Kara), Riezman Khuzaimi (Sarjan Aman), Kuza (Maimon), Zaefrul Nordin (Koperal Musa), Ika Nabella (Zarah), Zoey Rahman (Johan), Ahya U (Zaman) dan Alan Yun (Allen).
Selain itu, filem sarat dengan emosi dan tragedi itu turut menampilkan pelakon undangan seperti Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Ida Nerina (Jah Steno), Sharifah Shahira (Guru Besar), Fizz Fairuz (Tan Sri Arshad Ayub), Nazril Idrus (Tun Dr Mahathir Mohamad), Khir Mohd Noor (IGP Abdul Rahman Hashim), Bell Ngasri (Datuk Harun Idris), Chew Kin Wah (Tan), Razali Hussain (Haji Ahmad Razali Mohd Ali), Douglas Lim (Leslie Cheah), Chealsia Ng (Catharine), Wong Sip Nen (bapa Allen), Nas-T (Najib Rahman) dan Aidil AF (Datuk Senu).
Muhammad Jamal Rafaie Bin Jakiran
Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Persatuan Belia Pasir Tuntong