Menyorot kembali peristiwa 13 Mei 1969, Dr. Mahathir mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang gagal mengawal perpaduan kaum melalui sepucuk surat terbuka yang mencetuskan fenomena politik ketika itu.
Akibat peristiwa itu, Dr. Mahathir dipecat daripada UMNO pada 26 September 1969 dan hidup bersendirian di rumahnya bersama keluarga sehingga dapat menyiapkan sebuah buku yang berjudul “The Malay Dilemma” yang membicarakan tentang ekonomi, politik dan cadangan-cadangan penambahbaikan taraf hidup Bumiputera.
Apa yang menarik untuk direnungi bersama, Dr. Mahathir tidak menubuhkan mana-mana parti politik untuk kepentingan diri beliau sendiri walaupun dipecat oleh UMNO. Sebelum itu, negara sudah mempunyai sejarah wujudnya Parti Negara yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar akibat ideanya membuka keahlian kepada semua kaum tidak diterima oleh UMNO. Juga penubuhan Parti Islam Se-Malaysia selepas kekalahan Ustaz Ahmad Fuad kepada Tunku Abdul Rahman untuk merebut jawatan Yang Dipertua UMNO.
Ketika hidup ‘dalam buangan’ itulah, banyak rencana yang sarat dengan cadangan serta kritikan terhadap pentadbiran kerajaan dihasilkan oleh Dr. Mahathir yang menggunakan nama pena Che Det.
Berkat kesabaran itu, Dr. Mahathir dijemput semula untuk menyertai UMNO selepas Tun Razak memikul tanggungjawab sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Bermula dengan pelantikan sebagai Senator Dewan Negara yang mewakili negeri Kedah pada tahun 1973 dan akhirnya beliau memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu tanpa bertanding pada 1974.
Rencana-rencana yang ditulis dalam buku The Malay Dilemma dikatakan banyak digunapakai oleh Tun Razak dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆
Anwar Ibrahim sebelum menyertai UMNO adalah seorang aktivis pelajar. Antara peristiwa yang menaikkan namanya sebagai seorang aktivis adalah peristiwa Mogok Lapar di Baling yang dikatakan ramai orang di Baling Kedah mati kelaparan kerana kekurangan makanan.
Beliau adalah seorang pemimpin ABIM yang ketika itu sebuah badan NGO yang berhaluan kiri. Keputusan beliau menyertai UMNO mengejutkan ramai pihak sedangkan sebelum itu ramai yang berkata bahawa parti PAS adalah parti yang sesuai dengan Anwar Ibrahim.
Tingkat demi tingkat beliau menongkah sehingga ke jawatan nombor dua UMNO dan kerajaan. Ketika di zamannya menjadi kerajaan, aktiviti pelajar seperti demonstrasi jalanan dan suara mahasiswa agak terhenti. Hal ini pernah ditulis dalam buku Apakah Ketua UMNO Cawangan Wajib Buat, ditulis oleh Ikhwan Nasir yang mengatakan hal sedemikian. Seolah-olah Anwar hanya menggunakan suara mahasiswa apabila tertekan dan meninggalkan mereka ketika senang dan berjawatan kerajaan.
Asalnya dari jalanan dan kembali ke jalanan. Selepas dipecat dari UMNO kerana dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana salah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana mengarahkan PDRM supaya menggertak saksi-saksi pendakwaan kes liwatnya, ribuan penyokong beliau kembali ke jalanan.
Sebuah parti yang wujud atas kapasiti peribadi seorang pemimpin telah ditubuhkan dengan nama Parti Keadilan Nasional. Parti ini bertukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas menjalani beberapa reformasi.
PKR sehingga kini memainkan isu Anwar sebagai isu peribadi yang menggunakan rakyat sebagai alatnya. Kes Liwat 2.0 berterusan menggunakan nama pemimpin ini sebagai modal politik mereka.
☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆
Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim mempunyai satu persamaan yang sama iaitu kedua-duanya pernah dipecat daripada UMNO.
Perkataan “Pecat” memberi nilai sentimental yang tinggi dan mampu menarik simpati. Kedua-dua mereka mempunyai pengikut yang bukan sedikit.
Namun begitu, apa yang perlu kita ambil iktibar adalah ; bagaimanakah pendirian kedua-dua pemimpin itu apabila dipecat?
Dr. Mahathir dipecat kerana mengkritik kepimpinan parti yang dilihat lemah manakala Anwar dipecat kerana salah guna kuasa dan tuduhan meliwat pembantunya.
Bagi pandangan kita, siapakah yang sebenarnya yang takut dengan bayang-bayang sendiri dan siapakah yang benar-benar seorang pejuang kepada rakyat?
Dr. Mahathir walaupun dipecat tidak pula menubuhkan sebuah parti baharu yang khas untuk membawa perjuangan beliau manakala Anwar menubuhkan sebuah parti politik yang dikaburi oleh perkataan “Rakyat” semata-mata untuk perjuangan peribadinya sahaja.
‘Hidup dalam buangan’ bagi Dr. Mahathir melahirkan pemimpin yang disegani di seluruh dunia. Menyatupadukan rakyat di bawah payung Barisan Nasional dan UMNO yang mana parti itu pernah memecatnya. Idea-idea untuk pembangunan negara berjaya direalisasikan apabila diberi peluang menerajui tampuk kepimpinan negara.
‘Hidup dalam buangan’ bagi Anwar tidak membawa impak positif kepada rakyat malah masyarakat semakin berpecah dan diheret dengan masalah peribadi beliau dan keluarga beliau. Kali ini, sudah dua kali beliau meringkuk di dalam penjara dan masih dilihat menggunakan rakyat sebagai modal politik. Hasilnya kepada rakyat teramai, kosong. Hanya yang muncul adalah perpecahan, kebencian, keganasan, dan kebosanan.
Kesimpulannya, permintaan supaya Tun Mahathir dilantik menjadi Ketua Umum PKR adalah keterlaluan dan melucukan. Pandangan saya, jika Tun Mahathir mahu sertai pembangkang, lebih baik beliau menubuhkan parti sendiri dan diramalkan parti itu akan menjadi lebih popular daripada PKR! Namun, saya tidak fikir begitu kerana jika Tun Mahathir mahu melakukannya, ketika muda lagi beliau sudah mengorak langkah ke arah itu.
Tun Mahathir mengkritik kerajaan kerana melihat ada perkara yang perlu diperbetulkan pada pandangan beliau seperti mana beliau mengkritik Tunku Abdul Rahman sebelum ini. Agak tidak masuk akal, bagaimana Tun Mahathir berpaling tadah dari UMNO sedangkan anakanda beliau sendiri, Datuk Mukhriz adalah seorang pemimpin tertinggi UMNO di negeri Kedah.
Rujukan :
1. Buku Apakah Ketua UMNO Cawangan Wajib Buat, Ikhwan Nasir, m/s : 34
2. http://www.umno-online.my/?page_id=2913
Jamal Rafaie Jakiran
8 Mac 2015
Kuala Selangor