Kita Hadir Ke Tanah Haram, Atas Jemputan-Nya

Dalam senarai 5 rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap manusia yang mengakui ke-Esaan Allah SWT dan Muhammad S.A.W itu Rasul-Nya, rukun terakhir mempunyai sesuatu yang istimewa.

Ternyata, rukun dan kewajiban mengerjakan haji tidak semua umat Islam mampu melakukannya. Istilah “mampu” bukan hanya bermaksud mempunyai banyak wang, tetapi istilah mampu itu adalah “jemputan” daripada Allah SWT untuk datang ke Mekah, dan pasti Allah SWT akan mencukupkan segalanya.

Sewaktu sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah, saya sempat berbual dengan seorang warga emas yang turut serta dalam kumpulan kami. Nenek ini berasal dari Kuala Langat dan sempat berseloroh dengan kami bahawa di Malaysia beliau mempunyai 82 orang anak! Terkejut mendengarnya!

Percaya atau tidak, nenek ini juga sudah mengerjakan haji dan umrah untuk kesekian kalinya tanpa nenek itu ingat, sudah kali ke berapa dia datang ke Haramain. Maknanya, sudah acap kali ke tanah suci.

Nenek ini tidaklah berharta, setiap kali ke tanah suci perjalanannya telah ditaja oleh banyak individu termasuk dari orang Bukan Islam. Rupa-rupanya nenek ini adalah salah seorang penjaga 82 orang anak yatim di sebuah asrama dan berkat jagaan anak yatim itu, Allah SWT mencukupkan dan memberi rezeki kepada nenek ini untuk sering ke Tanah Suci mengerjakan Haji dan Umrah.

Inilah yang nak dikongsikan bahawa hadirnya hamba Allah ke Tanah Suci adalah atas jemputan Allah, walaupun tidak berduit tetapi Allah SWT pasti menyediakan lorong-lorong untuk hamba-Nya hadir menemui-Nya. Orang berharta, belum tentu dapat datang mengerjakan Haji dan Umrah sekiranya Tuhan tidak menjemputnya.

Mengerjakan Haji dan Umrah mungkin menjadi “mimpi” bagi kebanyakan orang, mungkin kerana mengenangkan taraf ekonomi masing-masing yang hanya cukup-cukup makan. Tetapi jika Allah SWT memilih untuk menjemput “si pemimpi” itu, mudah bagi Allah SWT.

Jika kita melihat suasana di Masjidil Haram yang menempatkan jutaan jemaah untuk beribadah, kita akhirnya akur dengan kekuasaan Allah SWT yang mencukupkan segalanya untuk kita. Kita boleh mengenang, ada jemaah yang lusuh bajunya, tidur entah di mana, menunggu waktu solat di tepi-tepi jalan, makan di lantai dan berkongsi beramai-ramai. Anak dan bayi merengek menangis, mungkin lapar, mungkin panas. Lihatlah juga insan yang terpaksa dipapah atau ditolak dengan kerusi roda kerana keuzuran. Semuanya Allah SWT jemput mereka ke Baitullah.

Bagi jemaah Haji dari Malaysia, kita diuruskan oleh sebuah agensi Kerajaan bernama Tabung Haji. Bayaran untuk mengerjakan haji bukan sedikit, paling rendah sekitar RM 9,980 dengan sumbangan subsidi daripada Kerajaan Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM160 juta untuk tahun 2016. Terdapat juga pakej-pakej lain yang disediakan untuk memberi pilihan kepada jemaah Haji yang lebih berkemampuan dari segi kewangan. Apa yang nak dikongsikan di sini adalah ; jemaah Haji Malaysia walaupun pergi dengan pakej terendah, InsyaAllah mendapat kemudahan makan, tempat tinggal, kesihatan, pengangkutan, kebajikan, dan kemudahan kewangan telah disediakan oleh pihak Tabung Haji. Ini adalah nikmat besar yang Allah SWT berikan kepada kita rakyat Malaysia yang wajar kita syukuri dan hargai.

Maka,bersyukurlah kepada Allah SWT yang telah memilih hamba-Nya dapat bertamu ke Baitullah dengan apa cara sekalipun.

Sesungguhnya inilah tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang memperjalankan hamba-hamba-Nya jika Dia mahu!

Pada tarikh 4 September 2016 bersamaan 2 Zulhijjah 1437H, dengan nama Allah SWT yang Maha Kaya, saya bersama isteri berangkat ke Makkah Al Mukkarramah untuk menunaikan Haji atas izin-Nya.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *