Sebelum PRU14, saya mempunyai ramai rakan-rakan yang tanpa segan silu, mengutuk kerajaan Barisan Nasional di media sosial ataupun di dunia sebenar. Katanya, kehidupan mereka susah kerana BN. BN dikatakan sebagai korup, salah guna kuasa, kuat rasuah, serta terlalu lama memerintah. Dikatakan juga BN sebagai punca harga barang naik, ekonomi merudum, ringgit jatuh harga dan dituduh menjual negara kepada China.
Tidak dinafikan, itulah yang sering mereka laung-laungkan sebagai alasan untuk menukar kerajaan. Disebut-sebut berulang kali sehinggalah mereka berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi terutamanya orang muda untuk mengundi Pakatan Harapan. Dengan Harapan, mereka akan mendapat kerajaan yang sempurna yang akan memberikan mereka kehidupan yang umpama syurga.
Siapa yang tidak mahu? Pendidikan percuma, hutang PTPTN akan dihapuskan. Selepas ini tol sudah tidak perlu dibayar, semua dihapuskan. Ringgit pula akan kembali kukuh sehingga duit Singapura sama tara dengan duit kita (saya pernah dengar rakan saya berbangga cakap begini), tiada lagi barangan mahal dan para Menteri dan Ahli Politik mereka tidak lagi rasuah dan bijak-bijak belaka, tak macam Menteri BN, kata mereka.
Tetapi hairan sekali, kini golongan tersebut hilang dari radar. Apakah telah meninggal dunia? Tidak juga, saya melihat mereka masih berada di bangsal itu, masih hidup dan asap rokoknya masih berkepul ke udara. Tetapi apabila menyemak FB mereka, cerita politik sudah bertukar ke cerita lain, cerita tentang motor, berkongsi resepi masak memasak di FB yang sebenarnya dapur di rumah tidak berasap sudah begitu lama. Kehidupan mereka masih tidak berubah, walaupun kerajaan sudah bertukar dan para Menteri Baru sudah bertambah kaya dengan hasil gaji yang mereka terima beberapa bulan ini.
Kasihan saya melihatnya. Sedangkan sebelum ini sudah saya katakan kepada mereka, kehidupan kita bukan semata-mata bergantung kepada kerajaan, tetapi atas usaha kita mencari rezeki. Tidak kemana, tukarlah beribu kali kerajaan sekalipun, tetapi jika kita masih di situ tidak mengubah kehidupan sendiri, kita tidak akan berubah apa-apa, apatah lagi bertambah kaya. Mungkin barangkali mereka berasa malu kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian, lalu mereka masuk ke gua beramai-ramai. Tak mengapalah.
Golongan tadi masih boleh diterima oleh saya, tetapi ada satu lagi golongan yang menyebabkan saya berasa terlalu sakit hati. Golongannya seperti ini. Sebelum PRU14, dia menyokong PH kerana katanya, jika PH menang, maka tiada lagi lantikan politik yang akan dilantik ke jawatan-jawatan agensi kerajaan seperti MARA, LKIM, LPP dan macam-macam lagi jawatan Pengerusi Agensi akan dilantik orang yang layak dan profesional. Selepas PRU14, PH mungkir janji dengan selamba badak melantik orang politik ke jawatan-jawatan itu. Dia masih menyokong PH.
Sebelum PRU14, dia menyokong PH kerana katanya PH akan memulangkan semula projek-projek ‘jual negara’ yang telah BN berikan China, dipulangkan kepada kontraktor Malaysia sebagai menjaga kedaulatan negara. Selepas sahaja PH menang, PH kata “Pelaburan China ke Malaysia satu keperluan”. Dia masih menyokong PH walaupun telah ditipu soal ‘jual negara’.
Sebelum PRU14, dia menyokong PH kerana tidak menyokong tindakan kerajaan BN yang menggunakan aset kerajaan semasa berkempen dalam PRU dan PRK. Selepas PH menang, Pak Menteri semua guna aset kerajaan turun kempen, dia kata “Menteri pergi Cameron Highland kerana tugas, bukan untuk berkempen”. Dia tetap sokong PH walaupun telah memutar belit rakyat.
Sebelum PRU14, dia sokong PH kerana katanya BN membuatkan harga barang naik. Selepas PH berkuasa, harga barang naik jauh lebih banyak dari BN dahulu. Dia kata, harga barang naik masih tidak membebankan rakyat. Rakyat pemalas dan kena cari punca pendapatan lain untuk tampung keperluan hidup. Pandai dia bercakap dan dia masih sokong PH.
Sebelum PRU14, dia sokong PH sebab katanya mahu terima duit BN dan menolak budaya wang upah jentera. Selepas PH menang, kantoi gambar PH bagi duit dekat orang ramai, dia kata “Itu duit minyak untuk jentera”. Boleh pula ya? Dia masih sokong PH walaupun telah menipu.
Senang cerita, golongan ini kononnya mahu membawa budaya baru. Ya, bagi saya mereka telah bawa budaya baru tetapi begitu negatif kepada Malaysia Baru kita ini. Iaitu budaya putar belit, penafian dan penipuan. Setiap tindak tanduk mereka akan diperbolehkan dengan permainan kata yang nampak rasional tetapi jahat. Contohnya, kalau BN bagi sumbangan berbentuk wang, dikatakan Cash Is King, rasuah ataupun dedak. Jika mereka beri sumbangan serupa akan dikatakan Kerajaan Prihatin. Tidakkah perkara ini adalah satu penipuan minda kepada masyarakat? Di mana keadilannya?
Begitulah yang berlaku kepada Malaysia Baru kita ini. Saya tidak lihat ia membawa ke arah Malaysia yang lebih baik. Saya berdoa, sekiranya kita mahu jadi lebih maju, buangkan sikap dan budaya “Holier Than Thou” itu.
Hj. Jamal Rafaie
Birmingham, UK
13 Januari 2019