29 HARI SEBELUM PRN JOHOR : POLITIK KABILAH SEDANG MENYUSUN SEMULA PASUKAN

Tinggal 29 hari lagi sebelum rakyat Johor membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

Namun sebelum rakyat memilih kerajaan negeri yang baharu, apa yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana kabilah-kabilah politik di Malaysia sedang menyusun semula pasukan masing-masing.

Perkembangan paling besar ketika ini tentunya perpisahan antara PAS dan Bersatu. Selepas beberapa tahun bergerak bersama di bawah Perikatan Nasional (PN), hubungan kedua-dua parti itu akhirnya sampai ke penghujung jalan.

Bersatu kini tidak lagi mempunyai PAS sebagai rakan politik utama mereka. PAS pula dilihat semakin selesa membawa haluan sendiri dan memperkukuhkan pengaruhnya dalam PN sehingga jawatan Pengerusi PN kini turut disandang oleh seorang pemimpin kanan PAS.

Yang menariknya, walaupun hubungan PAS dan Bersatu telah berakhir, kedua-dua pihak masih dilihat cuba mempertahankan legasi PN. Bersatu mengingatkan bahawa PN diasaskan ketika era Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. PAS pula melihat dirinya sebagai tonggak utama yang masih menghidupkan gabungan tersebut.

Dalam masa yang sama, muncul pula Gerakan Politik Baharu RESET yang dipimpin oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Lebih menarik apabila Presiden PAS sendiri dijemput merasmikan pelancaran gerakan tersebut di Kota Bharu.

Sudah tentu perkara ini mengundang pelbagai tafsiran politik.

Hamzah bukan orang luar. Beliau merupakan antara bekas tokoh paling kanan dalam Bersatu dan pernah dianggap antara pemimpin paling berpengaruh dalam parti itu. Apabila Presiden PAS hadir dalam program RESET, ramai melihat ia sebagai petunjuk bahawa PAS sedang membuka saluran hubungan baharu selepas berakhirnya hubungan dengan Bersatu.

Kesan daripada perkembangan ini bukan sahaja dirasai di peringkat pimpinan tertinggi, malah turut dirasai oleh pemimpin-pemimpin Bersatu di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS.

Mereka kini berada dalam kedudukan yang agak sukar.

Jika terus bersama Muhyiddin, mereka perlu menerima hakikat bahawa PAS sudah tidak lagi bersama Bersatu. Jika memilih untuk mendekati RESET pula, mereka perlu membuat pertimbangan baharu tentang masa depan politik masing-masing.

Sebab itu kita dapat melihat ada pemimpin-pemimpin tertentu yang dilihat cuba mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak. Dalam bahasa mudah, mereka sedang mencari talian hayat politik untuk memastikan kedudukan dan pengaruh mereka terus terpelihara apabila landskap politik berubah.

Di Terengganu misalnya, perhatian tertumpu kepada beberapa pemimpin Bersatu yang masih berada dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PAS. Dengan hubungan PAS dan Bersatu yang sudah berakhir, mereka akhirnya perlu menentukan sama ada mahu terus bersama kem Muhyiddin atau mencari ruang dalam susunan politik yang baharu.

Inilah yang saya maksudkan sebagai politik kabilah.

Dalam politik kabilah, perpecahan selalunya lebih sukar dipulihkan berbanding persaingan dengan musuh tradisi.

UMNO sukar bekerjasama dengan Bersatu kerana Bersatu lahir daripada perpecahan dalam UMNO.

Bersatu pula bakal berdepan cabaran yang sama dengan RESET kerana kedua-duanya berkongsi akar politik yang sama.

PKR juga berhadapan situasi yang hampir serupa apabila kemunculan BERSAMA yang diasaskan oleh Rafizi Ramli mewujudkan satu lagi pusat pengaruh yang bersaing dengan parti induknya.

PAS sendiri tidak terkecuali. Jika suatu hari nanti Amanah menawarkan kerjasama semula, belum tentu PAS akan berasa selesa. Amanah juga merupakan parti serpihan yang lahir daripada keluarga politik PAS sendiri.

Hakikatnya, musuh yang paling sukar dihadapi dalam politik bukanlah mereka yang berada di luar pagar. Musuh yang paling sukar dihadapi ialah mereka yang pernah duduk semeja, berkongsi perjuangan dan berasal daripada keluarga yang sama.

Tinggal 29 hari lagi sebelum rakyat Johor membuat keputusan. Namun sebelum rakyat memilih kerajaan negeri yang baharu, parti-parti politik nampaknya masih sibuk menyusun semula pasukan dan menentukan siapa yang bakal menjadi ketua kepada kabilah masing-masing.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post