Hubungan antara PAS dan Bersatu hari ini bukan lagi seperti dahulu. Jika sebelum ini Bersatu masih boleh bergantung kepada kekuatan jentera dan akar umbi PAS untuk kekal relevan, keadaan itu kini sudah berubah.
Ramai melihat PAS telah membuat pilihan politiknya sendiri, manakala Bersatu pula terpaksa berdiri atas kaki sendiri.
Dalam masa yang sama, kem RESET yang dikaitkan dengan Hamzah Zainuddin pula dikatakan sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah parti baharu.
Persoalannya mudah.
Apa pilihan yang sebenarnya ada di hadapan mereka?
Adakah Bersatu masih cukup kuat untuk bergerak sendirian?
Adakah RESET pula mempunyai kekuatan akar umbi yang cukup besar untuk menubuhkan sebuah parti baharu yang mampu mencabar parti-parti sedia ada?
Jika kekuatan itu benar-benar ada, bukankah lebih baik ia digunakan untuk memperkukuhkan kembali sebuah rumah yang sudah sedia terbina?
Hakikat yang sukar dinafikan ialah majoriti pemimpin Bersatu dan RESET berasal daripada UMNO. Penyokong mereka juga sebahagian besarnya datang daripada kelompok pengundi yang sama.
Mereka bercakap kepada audiens yang sama.
Mereka membawa naratif yang hampir sama.
Mereka memperjuangkan isu yang hampir sama.
Malah budaya politik mereka juga lahir daripada akar yang sama.
Jadi untuk apa membina rumah baharu jika rumah asal masih berdiri?
Sejarah politik Melayu sebenarnya telah banyak kali menunjukkan bahawa parti serpihan jarang bertahan lama.
Parti Semangat 46 suatu ketika dahulu lahir dengan semangat yang cukup besar. Ramai menganggap ia akan menjadi pengganti kepada UMNO.
Namun akhirnya parti itu dibubarkan dan majoriti pemimpinnya kembali semula ke pangkuan UMNO.
Kerana akhirnya mereka menyedari bahawa perpecahan hanya melemahkan kekuatan politik Melayu.
Hari ini situasinya hampir sama.
Bersatu semakin mengecil.
RESET mahu bermula dari sifar.
Sedangkan UMNO sedang membuka semula pintu kepada mereka yang mahu kembali.
Bukankah itu jalan yang lebih mudah dan lebih realistik?
Bayangkan jika kekuatan yang berpecah sejak hampir sedekad lalu disatukan semula.
UMNO bukan sahaja akan menjadi lebih kuat, malah berpotensi kembali menjadi tunjang kerajaan yang stabil dan dominan di peringkat Persekutuan.
Ketika itu, jika PAS mahu bekerjasama atas titik persamaan demi kepentingan umat dan negara, ruang itu sentiasa boleh dibincangkan.
Tetapi asasnya mestilah penyatuan terlebih dahulu, bukannya menambah lagi bilangan parti Melayu yang bersaing sesama sendiri.
Kadangkala masalah terbesar politik Melayu bukan kekurangan pemimpin.
Masalahnya terlalu ramai yang mahu menjadi ketua.
Semua mahu jadi presiden.
Semua mahu jadi pengerusi.
Semua mahu jadi nombor satu.
Sedangkan sejarah menunjukkan bahawa apabila ego mengatasi perpaduan, akhirnya yang kalah bukan pemimpin.
Yang kalah ialah orang Melayu sendiri.
Sudah-sudahlah dengan parti serpihan.
Yang sudah tu sudahlah.
Kembalilah ke Rumah Bangsa.
Kerana kekuatan tidak lahir daripada banyaknya logo parti, tetapi daripada kesediaan untuk bersatu di bawah satu bumbung yang sama.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor



