Hari ini ramai yang tersenyum melihat pelancaran Parti Wawasan Negara, terutamanya musuh-musuh Muhyiddin.
Ada yang melihatnya sebagai permulaan sebuah era baharu.
Ada yang melihatnya sebagai kebangkitan sebuah kuasa politik baharu.
Tetapi bagi saya, apa yang berlaku hari ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu.
Ia hanyalah satu lagi bab dalam sebuah cerita lama yang sudah berkali-kali berlaku dalam politik Malaysia.
Saya melihat senyuman Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini hampir sama seperti senyuman yang pernah kita lihat pada pemimpin-pemimpin lain sebelum ini.
Dulu PAS pernah bersama DAP. Kemudian PAS berpisah dengan DAP.
Selepas itu PAS bersama UMNO atas nama penyatuan ummah. Kemudian PAS berpisah pula dengan UMNO.
Selepas itu PAS bersama Bersatu. Hari ini PAS pula berpisah dengan Bersatu.
Kini muncul pula WAWASAN.
Wataknya berubah. Nama partinya berubah.
Tetapi jalan ceritanya hampir sama.
Ketika hubungan masih baik, semua bercakap tentang perpaduan.
Semua bercakap tentang ukhwah. Semua bercakap tentang penyatuan.
Tetapi apabila kepentingan politik mula berubah, alasan-alasan baharu pula muncul untuk menjelaskan kenapa perpisahan perlu berlaku.
Sebab itu saya tidak terlalu teruja dengan kemunculan WAWASAN. Ia sudah dijangka.
Bukan kerana saya merasakan parti itu tidak mempunyai masa depan.
Tetapi kerana saya pernah melihat cerita yang sama berulang kali.
Hari ini Bersatu dianggap tidak lagi sesuai.
Esok mungkin akan ada pihak lain pula yang dianggap tidak sesuai.
Politik sentiasa berubah.
Kawan hari ini boleh menjadi lawan esok.
Lawan hari ini boleh menjadi sahabat minggu hadapan.
Yang lebih menarik sebenarnya ialah persoalan tentang masa depan.
Apakah WAWASAN akan menjadi rakan politik PAS untuk tempoh yang panjang?
Atau sekadar menjadi episod sementara seperti beberapa episod yang pernah berlaku sebelum ini?
Tiada siapa yang tahu.
Tetapi sejarah memberi satu petunjuk yang menarik.
Dalam politik Malaysia, gabungan yang dibina atas individu selalunya lebih rapuh berbanding organisasi yang dibina atas struktur.
Sebab itulah setiap kali berlaku perubahan kepimpinan, akan muncul pula kumpulan baharu, parti baharu dan penjajaran baharu.
Akhirnya, yang tinggal bukanlah individu.
Yang tinggal ialah organisasi.
Sebab itu walaupun berdepan pelbagai cabaran selama puluhan tahun, UMNO masih wujud.
Barisan Nasional masih wujud. Strukturnya masih wujud. Cawangannya masih wujud. Ahlinya masih wujud.
Dan ketika parti-parti lain terus berpecah menjadi serpihan demi serpihan, Rumah Bangsa UMNO pula dilihat mula menerima semula kepulangan bekas-bekas ahli dan pemimpin yang suatu ketika dahulu meninggalkannya. Di samping penyertaan ahli-ahli baru terutamanya orang muda.
Mungkin kerana mereka mula menyedari satu perkara.
Sejarah boleh berulang.
Tetapi tidak semua rumah mampu bertahan apabila ribut datang berulang kali.
Masih berbaki 49 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.
Namun sebelum rakyat memilih kerajaan negeri yang baharu, politik Malaysia sekali lagi sedang menyaksikan satu bab lama yang diulang dengan watak-watak yang baharu.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor
