43 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : KRISIS 2 YAMTUAN BESAR

Perkembangan terbaru di Negeri Sembilan menyaksikan satu lagi episod penting dalam krisis takhta yang sedang berlaku.

Pihak Undang Yang Empat telah memasyhurkan DYMM Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-12. Dalam masa yang sama, arahan turut dikeluarkan supaya nama baginda digunakan dalam teks doa khutbah Jumaat di luak-luak di bawah bidang kuasa mereka.

Bagi saya, tindakan ini bukan sekadar soal menukar nama dalam doa khutbah.

Ia adalah satu mesej yang cukup jelas.

Undang Yang Empat mahu menunjukkan bahawa keputusan mereka bukan sekadar kenyataan, tetapi keputusan yang sedang dilaksanakan mengikut bidang kuasa yang mereka yakini.

Namun dalam masa yang sama, kerajaan negeri caretaker masih berpegang kepada pendirian yang berbeza.

Di sinilah timbul persoalan yang paling penting.

Dalam sistem Negeri Sembilan, siapa sebenarnya yang menentukan takhta Yang di-Pertuan Besar?

Menteri Besar?

Atau Undang Yang Empat?

Ramai di luar Negeri Sembilan melihat isu ini menggunakan kaca mata negeri-negeri lain.

Hakikatnya, Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan yang unik.

Institusi Undang Yang Empat bukan sekadar simbol adat, tetapi sebahagian daripada sistem pemerintahan negeri yang telah diwarisi sejak ratusan tahun dahulu.

Sejarah juga membuktikan perkara ini bukan kali pertama berlaku ; Yamtuan Raja Labuh pernah dilucutkan daripada takhta oleh Undang sebelum baginda mangkat.

Maknanya, kuasa Undang dalam soal takhta bukanlah sesuatu yang baharu diwujudkan hari ini.

Ramai juga bertanya kepada saya, apakah sebab Tuanku Muhriz diturunkan?

Jawapan saya mudah.

Saya tidak tahu.

Dan sekiranya saya tahu sekalipun, saya tidak fikir semua perkara perlu diketahui oleh rakyat.

Kadang-kadang menjaga aib dan kemuliaan institusi diraja jauh lebih mulia daripada membuka segala-galanya kepada umum.

Apa yang boleh kita lihat ialah keputusan itu bukan dibuat oleh seorang atau dua orang Undang sahaja.

Keempat-empat Undang mengambil pendirian yang sama. Malah pendirian itu turut disokong oleh Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong.

Sudah tentu rakyat akan beranggapan bahawa ada pertimbangan yang cukup besar sehingga keputusan seperti itu diambil.

Apakah pertimbangannya?

Biarlah ia menjadi urusan mereka yang diberi amanah dalam Dewan Keadilan dan Undang.

Pada pandangan saya, kerajaan negeri caretaker juga sepatutnya lebih berhati-hati.

Dalam keadaan seperti ini, tugas seorang Menteri Besar bukan memilih pihak.

Tetapi menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara kerajaan negeri, institusi adat dan institusi diraja.

Apabila hubungan itu dilihat semakin renggang, akhirnya yang rugi bukan mana-mana individu.

Yang rugi ialah Negeri Sembilan.

Masih berbaki 43 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.

Apa pun pendirian politik kita, satu perkara yang tidak boleh dikorbankan ialah keharmonian antara institusi adat, institusi diraja dan kerajaan negeri.

Kerana itulah kekuatan Negeri Sembilan sejak dahulu.

Dan mudah-mudahan, itulah juga yang akan terus dipelihara pada masa hadapan.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post