Baru-baru ini, rakyat Johor menyambut baik pelancaran laluan baharu KTM Komuter JB-Kulai.
Sudah tentu kita gembira apabila kemudahan pengangkutan awam terus ditambah baik.
Tetapi tidak lama kemudian, timbul pula satu perbandingan yang menarik.
Ramai membandingkan tren yang digunakan di laluan JB-Kulai dengan tren Komuter KL-Seremban.
Laluan KL-Seremban menggunakan tren elektrik yang lebih moden.
Manakala laluan JB-Kulai pula menggunakan tren diesel model yang lebih lama. Yang lebih menghairankan, kadar tambangnya pula lebih tinggi.
Sudah tentu pihak KTM dan Kementerian Pengangkutan mempunyai penjelasan teknikal mereka sendiri.
Mungkin faktor operasi. Mungkin faktor aset sedia ada. Mungkin juga faktor kos penyelenggaraan.
Tetapi dalam politik, persepsi kadang-kadang bergerak lebih pantas daripada penjelasan.
Di sinilah persoalan mula timbul.
Johor ini negeri siapa?
Bukankah Johor hari ini ditadbir oleh Barisan Nasional?
Bukankah Barisan Nasional juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan?
Kalau negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah atau Perlis menerima layanan yang berbeza kerana berlainan blok politik, mungkin ramai boleh menjangkakannya.
Tetapi Johor?
Johor bukan negeri pembangkang.
Johor ialah negeri yang kerajaannya diterajui BN, dan BN juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Sebab itu rakyat Johor berhak bertanya.
Mengapa negeri yang menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara masih dilihat menerima kemudahan yang kurang memuaskan berbanding kawasan lain?
Apa yang lebih menarik, semua ini berlaku ketika hubungan politik antara BN Johor dan PH sedang melalui fasa yang agak tegang. Apakah ini dendam politik?
BN Johor sudah beberapa kali memberi isyarat mahu bertanding secara solo pada PRN nanti.
PH pula secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian itu.
Hampir setiap hari kita melihat pemimpin-pemimpin PH turun ke Johor mengkritik kerajaan negeri dan Menteri Besar Johor.
Saya tidak mengatakan isu tren ini ada kaitan dengan pertelingkahan politik tersebut.
Tetapi dalam politik, persepsi rakyat tidak boleh dipandang ringan.
Apabila hubungan politik kelihatan semakin renggang, apa sahaja keputusan yang dilihat tidak memihak kepada Johor pasti akan mengundang pelbagai tafsiran.
Dan persepsi seperti ini akhirnya perlu dijawab oleh Kerajaan Persekutuan sendiri.
Saya teringat zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Walaupun Pantai Timur ketika itu terkenal sebagai kubu kuat pembangkang, projek mega seperti ECRL tetap diteruskan.
Tidak timbul soal menghukum rakyat hanya kerana negeri itu diperintah oleh parti yang berbeza.
Hari ini rakyat Pantai Timur bakal menikmati manfaatnya tanpa mengira parti mana yang mereka sokong.
Bagi saya, itulah contoh apabila pembangunan mengatasi perbezaan politik.
Masih berbaki 22 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan. Dan 42 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.
Dalam tempoh yang singkat ini, rakyat bukan sekadar mendengar ceramah politik. Rakyat sedang memerhati bagaimana negeri mereka dilayan.
Kerana akhirnya, rakyat tidak hanya menilai siapa yang paling kuat berpolitik.
Rakyat juga mahu melihat siapa yang benar-benar mampu berlaku adil kepada semua negeri, tanpa mengira warna politik.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor



