44 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : PN Dah Tak BEST?

Satu ketika dahulu, PN membawa slogan yang cukup mudah diingati.

BEST ; Bersih dan Stabil.

Tetapi melihat kepada perkembangan politik mutakhir ini, saya mula tertanya-tanya ; PN masih BEST ke?

Atau PN sudah tidak lagi Bersih dan tidak lagi Stabil?

Saya bukan bercakap tentang soal manifesto. Saya bercakap tentang apa yang sedang berlaku di dalam rumah PN sendiri.

Lihat sahaja kecanggungan yang sedang berlaku hari ini.

Di atas kertas, Pengerusi PN ialah Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. Tetapi Samsuri hanyalah seorang Naib Presiden PAS.

Dalam masa yang sama, Presiden PAS sendiri iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak pun berada dalam struktur tertinggi PN.

Wakil PAS dalam jawatan Timbalan Pengerusi PN ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kalau ikut struktur organisasi, segala keputusan besar PN sepatutnya datang daripada Pengerusi PN.

Tetapi apa yang berlaku hari ini?

Yang mengumumkan keputusan-keputusan besar PN ialah Haji Hadi.

Yang mengumumkan Hamzah Zainuddin kembali menjadi Ketua Pembangkang ialah Haji Hadi.

Yang bercakap tentang hala tuju PN ialah Haji Hadi.

Yang melancarkan Parti Wawasan Negara pula ialah Haji Hadi.

Maka rakyat biasa pun mula tertanya-tanya.

Kalau begitu, apa sebenarnya peranan Pengerusi PN? Kalau keputusan besar dibuat oleh Presiden PAS, kenapa perlu ada Pengerusi PN?

Lebih menarik, pengumuman mengembalikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang itu sendiri dikatakan tidak dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat rasmi PN.

Kalau betul begitu, maka kecanggungan itu menjadi semakin ketara.

Di atas kertas lain. Di atas pentas lain.

Kemudian muncul pula episod PAS dan Bersatu. Dulu PAS dan Bersatu bersama-sama membina PN.

Hari ini PAS dilihat mahu menyingkirkan Bersatu daripada PN. Dalam masa yang sama, PAS pula menyambut kemasukan Parti Wawasan Negara yang dipimpin oleh Hamzah Zainuddin.

Masalahnya, Bersatu tidak mahu keluar. Bersatu masih menganggap PN adalah rumah yang mereka bina bersama.

Malah Bersatu juga memahami selok-belok Perlembagaan PN kerana mereka terlibat sejak awal merangka struktur gabungan tersebut.

Sebab itu pertarungan ini bukan sekadar pertarungan politik. Ia juga pertarungan mengenai siapa yang berhak memiliki jenama PN.

Kalau PAS tidak boleh menguasai PN sepenuhnya, Bersatu boleh menggunakan saluran perlembagaan parti, malah sehingga kepada ROS sekalipun untuk mempertahankan kedudukan mereka.

Bagi Bersatu, jika mereka tersingkir dari PN, mereka juga tidak mahu PN jatuh ke tangan pihak lain dengan mudah.

Dan di sinilah muncul persoalan yang lebih besar.

PRN Johor dan Negeri Sembilan semakin hampir.

PN mahu bertanding bagaimana?

Bersatu mahu bertanding menggunakan logo PN. PAS pula menguasai jawatan Pengerusi PN yang akan menandatangani watikah calon.

Dalam masa yang sama, WAWASAN juga mahu berada dalam PN dan sudah tentu mahu bertanding menggunakan logo yang sama.

Bersatu tidak mahu WAWASAN.

WAWASAN pula diwujudkan untuk menggantikan ruang yang sebelum ini diisi oleh Bersatu.

Jadi siapa yang sebenarnya berhak menggunakan logo PN?

Siapa yang akan menerima watikah calon?

Siapa yang akan menentukan pembahagian kerusi?

Dan siapa yang sebenarnya menguasai PN hari ini?

Semakin kita melihat keadaan ini, semakin jelas bahawa masalah terbesar PN hari ini bukanlah parti lawan.

Masalah terbesar PN ialah PN sendiri.

Dulu mereka menyerang BN kerana kononnya BN tidak stabil. Hari ini PN pula sedang bergelut dengan krisis identiti, krisis kepimpinan dan krisis hala tuju.

Sebab itu saya tertanya-tanya.

Adakah PN masih layak menggunakan slogan BEST?

Kerana jika diukur kepada keadaan semasa, PN sudah tidak lagi kelihatan Bersih dan Stabil.

Tidak bersih kerana pemimpin-pemimpin yang suatu ketika dahulu melaungkan integriti kini turut berdepan pelbagai isu dan kes mahkamah.

Tidak stabil kerana gabungan yang dibina oleh PAS dan Bersatu kini sedang berperang sesama sendiri.

Masih berbaki 44 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.

Tetapi sebelum rakyat memilih kerajaan negeri yang baharu, mungkin rakyat perlu bertanya satu soalan yang lebih mudah.

Kalau sebuah gabungan pun tidak mampu menyelesaikan kecanggungan dalam rumahnya sendiri, bagaimana ia mahu meyakinkan rakyat bahawa ia mampu mentadbir sebuah negeri atau sebuah negara?

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post