45 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN | Politik Pengembaraan : Perjuangan Atau Mencari Peluang?

Beberapa hari lalu, Datuk Zaid Ibrahim menyertai PAS.

Beliau menjelaskan bahawa antara sebab beliau menyertai PAS adalah untuk membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap PAS yang sering dilabel sebagai parti ekstrem.

Tidak lama kemudian, muncul pula kenyataan bahawa beliau berharap diberikan peluang menjadi calon PAS dalam PRU akan datang.

Saya tidak marah kepada Zaid Ibrahim.

Beliau berhak menyertai mana-mana parti yang beliau mahu.

Tetapi kisah beliau mengingatkan saya kepada satu fenomena yang semakin biasa dalam politik Malaysia.

Saya panggil fenomena ini sebagai politik pengembaraan.

Hari ini dalam parti A. Esok dalam parti B. Lusa dalam parti C. Kemudian kembali semula ke parti asal. Selepas itu berpindah pula ke parti yang lain.

Dalam kes Zaid Ibrahim, perjalanan politik beliau cukup panjang.

UMNO > PKR > KITA > DAP > UMNO > PAS.

Sudah tentu beliau mempunyai alasan tersendiri bagi setiap perpindahan itu.

Tetapi sebagai rakyat biasa, kita juga berhak bertanya satu soalan.

Sebenarnya apa yang sedang dicari?

Perjuangan? Atau peluang?

Ramai orang menganggap seseorang meninggalkan parti asal kerana parti itu lemah.

Kadang-kadang memang betul. Tetapi ada juga satu realiti yang jarang diperkatakan.

Kadang-kadang seseorang meninggalkan parti asal kerana parti itu semakin kuat.

Apabila sebuah parti semakin kuat, semakin ramai orang mahu berada di dalamnya.

Apabila semakin ramai orang berada di dalamnya, persaingan untuk naik menjadi semakin sengit.

Yang dahulu berada di barisan hadapan mungkin mendapati dirinya kini berada jauh di belakang.

Yang dahulu mempunyai laluan mudah ke Parlimen atau DUN mungkin mula melihat peluang itu semakin sempit.

Maka ada yang memilih jalan yang lebih mudah.

Mencari platform baharu. Mencari parti baharu. Mencari peluang baharu.

Bukan kerana perjuangan berubah. Tetapi kerana peluang berubah.

PAS pula sememangnya mempunyai satu strategi politik yang telah digunakan sejak sekian lama.

Apabila tokoh tertentu menyertai PAS, perkara itu akan diberikan perhatian besar sebagai sebahagian daripada gelombang pemasaran politik.

Dulu kita melihat kemasukan tokoh-tokoh hiburan seperti Bob Lokman, Abby Abadi, Hairie Othman dan ramai lagi.

Mereka dibawa ke seluruh negara. Muncul di pentas ceramah. Menjadi tarikan kepada penyokong dan pengundi.

Hari ini pendekatan yang sama masih digunakan.

Cuma wataknya berubah. Dahulu artis. Hari ini bekas menteri, bekas ahli parlimen atau bekas pemimpin parti lain.

Dari sudut pemasaran politik, ia bukan perkara yang salah.

Semua parti politik di dunia melakukan perkara yang hampir sama.

Tetapi sebagai rakyat, kita perlu melihat lebih jauh daripada majlis penyerahan borang keahlian dan gambar di atas pentas.

Soalan yang lebih penting ialah:

Adakah seseorang itu menyertai parti kerana percaya kepada perjuangannya?

Atau kerana melihat peluang untuk terus relevan dalam politik?

Bagi saya, seorang ahli politik yang benar-benar percaya kepada perjuangannya akan tetap mempertahankan prinsip walaupun kalah.

Akan tetap bersama partinya walaupun tidak diberikan jawatan. Akan tetap setia walaupun tidak dicalonkan.

Kerana yang diperjuangkan ialah idea dan prinsip. Bukan kerusi.

Masih berbaki 45 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.

Namun sebelum rakyat memilih wakil rakyat yang baharu, mungkin rakyat juga perlu bertanya satu soalan.

Kita mahukan wakil yang memperjuangkan sesuatu.

Atau kita mahukan wakil yang sentiasa mencari peluang untuk dirinya sendiri?

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post