Sejak kebelakangan ini, semakin ramai yang bercakap tentang kemungkinan UMNO dan PAS kembali bekerjasama.
Ada yang menyebut tentang Muafakat Nasional 2.0.
Ada yang melihatnya sebagai jalan terbaik untuk menyatukan semula orang Melayu.
Sebagai orang Melayu, saya juga suka melihat orang Melayu bersatu. Tidak kiralah daripada UMNO, PAS, Bersatu, PKR atau mana-mana parti sekalipun.
Tetapi politik bukan sekadar soal perasaan.
Politik juga adalah soal strategi.
Sebab itu saya tidak menjangka UMNO akan memilih jalan MN 2.0 dalam masa terdekat.
Bukan kerana UMNO membenci PAS.
Bukan juga kerana PAS membenci UMNO.
Tetapi kerana kedua-dua parti sedang bersaing dalam pasaran pengundi yang sama.
Cuba lihat apa yang sedang berlaku hari ini.
PAS baru sahaja menceraikan Bersatu.
Dalam masa yang sama, PAS pula menyambut kemunculan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang dipimpin oleh Hamzah Zainuddin.
Saya tertanya-tanya juga.
Kalau PAS begitu terbuka menerima bekas pemimpin-pemimpin Bersatu, kenapa tidak ajak sahaja mereka masuk PAS?
Bukankah lebih mudah?
Tak perlu tubuh parti baru.
Tak perlu daftar parti baru.
Tak perlu bina struktur baru.
Tetapi itulah menariknya politik.
Kadang-kadang apa yang nampak pelik sebenarnya mempunyai tujuan yang tersusun.
Pada pandangan saya, WAWASAN diwujudkan untuk mengisi ruang yang sebelum ini diisi oleh Bersatu.
PAS kekal bertanding di kerusi-kerusi PAS.
WAWASAN pula mengambil alih kerusi-kerusi yang sebelum ini dimiliki Bersatu.
Pendek kata, kerusi-kerusi yang dimenangi PN hari ini akan terus berada dalam lingkungan PN.
Cuma wataknya sahaja berubah.
Dulu PAS dan Bersatu. Hari ini PAS dan WAWASAN.
Kalau itu yang berlaku, saya tertanya-tanya satu perkara.
Di mana pula ruang untuk UMNO?
Katakan esok UMNO bersetuju bekerjasama dengan PN ; Kerusi mana yang PAS mahu beri kepada UMNO?
Kerusi PAS? Sudah tentu PAS mahu mempertahankannya.
Kerusi WAWASAN? Sudah tentu WAWASAN juga mahu mempertahankannya.
Dalam politik, biasanya siapa yang menang kerusi itulah yang akan mempertahankan kerusi tersebut.
Maka PAS akan pertahankan kerusi PAS.
WAWASAN akan pertahankan bekas kerusi Bersatu.
Jadi apa yang tinggal untuk UMNO?
Kemungkinan besar sekitar 30 kerusi yang dimenangi BN hari ini sahaja.
Di sinilah saya melihat perangkap politik itu.
Dalam pilihan raya, tiada siapa boleh menjamin kemenangan.
Tetapi jika sebelum bertanding lagi ruang UMNO sudah dihadkan kepada sekitar 30 kerusi, bagaimana UMNO mahu berkembang semula?
Bagaimana UMNO mahu kembali menjadi parti dominan Melayu?
Bagaimana UMNO mahu melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis?
Seorang pemain bintang tidak akan kekal menjadi bintang jika terlalu lama duduk di bangku simpanan.
Lama-kelamaan sentuhannya hilang. Pengaruhnya hilang.
Akhirnya orang lupa bahawa dia pernah menjadi pemain utama.
Begitulah juga dalam politik.
UMNO boleh bekerjasama dengan PAS dalam banyak perkara.
Isu Melayu. Isu Islam. Pendidikan. Ekonomi Bumiputera. Kebajikan rakyat.
Semua itu boleh diperjuangkan bersama.
Tetapi kerjasama agenda tidak semestinya bermaksud kerjasama pembahagian kerusi.
Persaingan bukan musuh kepada perpaduan.
Dalam perniagaan ada persaingan.
Dalam sukan ada persaingan.
Dalam politik juga ada persaingan.
Yang penting ialah persaingan itu berlaku secara sihat dan matang.
Sebab itu saya melihat UMNO dan Barisan Nasional lebih selesa bergerak atas kekuatan sendiri.
BN mempunyai struktur yang jelas. UMNO menjadi tonggak kepada orang Melayu. MCA mewakili masyarakat Cina. MIC mewakili masyarakat India. Dan parti-parti komponen lain mewakili pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.
Model inilah yang pernah menjadikan BN begitu dominan suatu ketika dahulu.
Penyatuan ummah bukan semestinya diterjemahkan melalui pembahagian kerusi pilihan raya.
Kadang-kadang penyatuan yang lebih penting ialah apabila semua pihak bersetuju mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam walaupun berada dalam parti yang berbeza.
Masih berbaki 47 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.
Tetapi sebelum rakyat memilih kerajaan negeri, parti-parti politik sedang membuat satu lagi pengiraan.
Bukan kiraan undi.
Tetapi kiraan peluang untuk berkuasa pada masa hadapan.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor


