48 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : KENAPA BN HANYA TINGGAL 30 KERUSI?

Semalam sahabat saya, Yazid Othman bertanya satu soalan yang menarik.

Kenapa UMNO dapat sikit sangat kerusi dan majoriti undi Melayu dapat ke parti-parti Melayu lain macam PAS dan Bersatu?

Kalau betul UMNO dan BN masih relevan, kenapa dalam PRU 2022 BN hanya tinggal 30 kerusi sahaja?

Adakah ada kajian yang menjelaskan perkara itu?

Saya bukan ahli akademik untuk bentangkan kajian yang penuh dengan graf dan statistik. Tetapi sebagai orang yang lama memerhati politik, saya melihat jawapannya agak mudah.

Politik kabilah.

Sebenarnya proses kejatuhan BN bukan berlaku pada tahun 2022.

Ia bermula lebih awal.

Sebelum PRU 2018 lagi, kabilah-kabilah besar dalam UMNO sudah mula berpecah.

Tun Mahathir seorang tokoh paling berpengaruh dalam UMNO keluar menubuhkan Bersatu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar menyertai Bersatu. Beliau bukan tokoh biasa, tetapi orang nombor 2 dalam UMNO ketika itu.

Datuk Seri Shafie Apdal pula keluar menubuhkan Warisan. Sedikit sebanyak kekuatan UMNO Sabah mula terjejas.

Mereka bukan orang biasa.

Mereka ialah warlord-warlord besar yang membawa bersama dana, pengaruh, penyokong, jentera dan rangkaian masing-masing.

Apabila mereka keluar, UMNO tidak kehilangan seorang dua individu.

UMNO kehilangan satu ekosistem politik.

Selepas BN kalah pada 2018, keadaan menjadi lebih parah.

Ramai Ahli Parlimen BN melompat parti.

Ramai yang masuk Bersatu. Ada juga yang menyertai PAS.

Di Sabah pula berlaku perpecahan yang akhirnya melahirkan pelbagai penjajaran politik baharu termasuklah GRS yang pemimpinnya adalah semuanya bekas pemimpin UMNO Sabah.

Perlu diingat, sebelum ini banyak kerusi BN di parlimen disumbangkan dari negeri seperti Sabah dan Sarawak. Ketika itu, parti-parti besar di Sarawak bertanding guna logo BN. Hanya selepas PRU 2018 apabila BN kalah, barulah mereka keluar BN dan menubuhkan GPS.

BN yang suatu ketika dahulu mempunyai rangkaian politik yang sangat luas tiba-tiba menjadi semakin kecil.

Namun selepas itu sebenarnya BN sudah mula bangkit semula.

Fenomena Bossku menjadi titik perubahan.

Datuk Seri Najib Razak berjaya menghidupkan semula semangat akar umbi.

Saya masih ingat bagaimana ceramah dan program Bossku ketika itu sentiasa mendapat sambutan luar biasa dengan tagline popular MALU APA BOSSKU?

Malah Ilham Centre sendiri pernah menyatakan bahawa aura Bossku memberi sumbangan besar kepada kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor.

Ketika itu ramai yang menjangkakan BN akan kembali mendominasi.

Tetapi menjelang PRU 2022, beberapa perkara berlaku serentak.

Bossku dimasukkan ke penjara. Moral jentera terjejas.

Dalam masa yang sama, perbalahan dalaman UMNO juga semakin terbuka.

Ada kem Putrajaya yang disandarkan kepada Ismail Sabri. Ada pula kem WTC yang disandarkan kepada Zahid Hamidi.

Hal ini terjadi kerana pencaturan Muhyiddin yang melantik selain Presiden UMNO dan pemimpin team WTC sebagai Menteri sehingga menyebabkan perang saudara.

Ada isu perbalahan dalaman dengan pucuk pimpinan termasuklah pemimpin UMNO Selangor Noh Omar, Khairy Jamaluddin, kabilah Hishammuddin Hussein, Annuar Musa, Shahidan Kassim dan ramai lagi.

Sedangkan lawan di luar sedang bersatu untuk menumbangkan mereka. Parti lawan kuat (terutamanya PAS) bukan kerana diri mereka sendiri, tetapi kerana didokong oleh kabilah-kabilah bekas UMNO yang kita berpihak kepada mereka.

Akhirnya keputusan PRU 2022 pun kita semua tahu. 30 kerusi sahaja yang tinggal.

Daripada sebuah parti yang pernah menjadi tunjang kerajaan Persekutuan selama puluhan tahun, BN hanya tinggal 30 kerusi Parlimen.

Tetapi bagi saya, angka 30 itu bukan penghujung cerita.

Ia hanyalah kesan daripada perpecahan yang berlaku bertahun-tahun lamanya.

Sebab itu jika ada satu syarat utama untuk BN kembali dominan, syarat tersebut bukan sekadar soal manifesto atau strategi kempen.

Ia adalah soal penyatuan.

Sejauh mana Presiden dan pemimpin UMNO hari ini berjaya merangkul semula warlord-warlord, tokoh-tokoh dan kabilah-kabilah politik Melayu yang pernah berada dalam keluarga besar UMNO semaksima mungkin.

Dalam masa yang sama melahirkan tokoh-tokoh baharu yang berpengaruh dari kalangan anak muda, saya ingat UMNO bangkit mendominasi politik tanah air semula.

Kerana warlord bukan sekadar seorang individu.

Mereka membawa bersama pengaruh.

Mereka membawa bersama jaringan.

Mereka membawa bersama penyokong.

Mereka membawa bersama tenaga kerja.

Dan apabila kabilah-kabilah ini kembali bersatu, tidak mustahil BN akan kembali menjadi kuasa politik yang besar seperti suatu ketika dahulu.

Masih berbaki 48 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.

Namun jika ada satu pengajaran besar daripada kejatuhan BN, ia adalah ini.

Kadang-kadang sebuah parti tidak kalah kerana lawannya terlalu kuat.

Kadang-kadang sebuah parti kalah kerana keluarganya sendiri berpecah.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post