46 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : TOK MIN GAGAL? YA. DAN SAYA ADA ALASANNYA.

Setiap kali saya mengatakan Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min adalah Menteri Besar yang gagal, pasti ada penyokong beliau yang marah.

Mereka kata Tok Min seorang yang baik. Mesra rakyat, tidak sombong, mudah didekati.

Baik. Saya boleh terima semua itu.

Tetapi prinsipnya, untuk menjadi pemimpin negeri, baik sahaja tidak cukup.

Dalam Islam, pemimpin perlu mempunyai dua sifat utama iaitu Qawiy dan Amin.

Amin bermaksud amanah.

Qawiy pula bukan sekadar kuat fizikal. Qawiy membawa maksud berkebolehan, berkemampuan dan berupaya melaksanakan amanah kepimpinan apabila berhadapan dengan cabaran dan krisis.

Ramai orang boleh jadi baik.

Tetapi tidak ramai yang mampu memimpin ketika keadaan menjadi sukar.

Lihat sahaja para sahabat Rasulullah ﷺ.

Mereka semuanya orang baik. Mereka semuanya mempunyai akhlak yang tinggi.

Tetapi Rasulullah ﷺ tidak memilih pemimpin secara tangkap muat. Tidak memilih sekadar kerana seseorang itu baik.

Sebaliknya pemilihan dibuat berdasarkan kemampuan dan kebolehan seseorang mengendalikan amanah yang diberikan.

Sebab itulah ada sahabat yang menjadi panglima perang. Ada yang menjadi pentadbir. Ada yang menjadi gabenor. Ada yang menjadi penasihat.

Masing-masing dipilih berdasarkan kekuatan dan kemampuan mereka.

Di sinilah saya melihat kelemahan terbesar Tok Min.

Bukan pada soal peribadinya.

Tetapi pada soal kepimpinannya ketika Negeri Sembilan berdepan krisis.

Negeri Sembilan bukan negeri biasa. Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan yang unik.

Ada Yamtuan Besar. Ada Undang Yang Empat.

Ada Adat Perpatih yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini sejak ratusan tahun dahulu.

Dalam keadaan seperti ini, seorang Menteri Besar perlu menjadi jambatan.

Beliau tidak boleh dilihat terlalu memihak kepada mana-mana pihak.

Beliau perlu memastikan hubungan antara kerajaan negeri, institusi adat dan institusi diraja sentiasa berada dalam keadaan harmoni.

Malangnya, itulah yang gagal dilakukan oleh Tok Min.

Sepanjang krisis yang berlaku, beliau dilihat terlalu berpihak kepada satu pihak sehingga hubungan dengan pihak yang lain menjadi semakin tegang.

Apa yang sepatutnya diselesaikan melalui diplomasi akhirnya menjadi konflik terbuka yang disaksikan oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Malah berlaku beberapa insiden yang merobek kewibawaan tokoh-tokoh adat yang mempunyai kedudukan tinggi dalam struktur pemerintahan negeri seperti sekatan polis dan serangan di media sosial.

Bagi saya, apabila perkara seperti ini berlaku, ia menunjukkan kegagalan diplomasi politik.

Seorang Menteri Besar tidak semestinya perlu menang setiap pertikaian.

Tetapi seorang Menteri Besar mesti mampu mengelakkan pertikaian daripada menjadi lebih besar.

Lebih menarik lagi apabila krisis semakin memuncak, pihak Undang secara terbuka menyatakan bahawa Tok Min tidak lagi sesuai meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

Di sinilah timbul satu lagi persoalan.

Apabila kedudukan beliau dipersoalkan, mengapa DUN dibubarkan?

Kenapa tidak diserahkan sahaja jawatan Menteri Besar kepada calon lain?

Jawapannya mungkin terletak pada struktur politik Pakatan Harapan Negeri Sembilan sendiri.

DAP mempunyai 11 kerusi tetapi tidak mungkin diberikan jawatan Menteri Besar.

PKR pula mempunyai 5 ADUN sahaja dan pilihan calon Melayu yang terhad. Hanya Tok Min sahaja seorang Melayu Islam dan lelaki.

Amanah pula hanya mempunyai satu kerusi. Takkan PKR nak serah kerusi kepada Amanah dengan mudah?

Akhirnya, Tok Min bukan dipertahankan kerana terlalu kuat. Tetapi kerana pilihan lain yang ada tidak begitu banyak.

Sebab itulah kita melihat beberapa pemimpin PH begitu bersungguh mempertahankan beliau.

Malah ada pemimpin nasional DAP yang bukan berasal dari Negeri Sembilan turut tampil memberikan pelbagai ulasan mengenai krisis ini.

Pada pandangan saya, itu juga satu kesilapan.

Negeri Sembilan mempunyai sistem adat dan sejarahnya yang tersendiri.

Kadangkala orang luar perlu lebih berhati-hati sebelum cuba mengajar atau mentafsir perkara yang menjadi hak dan tradisi negeri tersebut.

Apa yang lebih menghairankan ialah apabila ada pihak yang cuba menggambarkan tindakan Undang Yang Empat sebagai satu bentuk pengkhianatan.

Sedangkan dalam sistem Negeri Sembilan, peranan Undang Yang Empat bukan perkara baharu.

Mereka mempunyai hak dan kuasa yang telah wujud sejak sekian lama dalam menentukan dan memperakukan kedudukan Yamtuan Besar.

Suka atau tidak, itulah sistem yang diwarisi oleh Negeri Sembilan.

Kalau kita boleh menerima proses pelantikan, kita juga perlu menerima proses pelucutan apabila ia berlaku mengikut adat dan peraturan yang ditetapkan.

Masih berbaki 46 hari sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan.

Tetapi jika ada satu pengajaran besar daripada krisis ini, ia adalah bahawa menjadi Menteri Besar bukan sekadar soal menjadi orang baik.

Menjadi Menteri Besar adalah soal kemampuan memimpin ketika krisis.

Kerana seorang pemimpin bukan hanya perlu Amin.

Seorang pemimpin juga mesti Qawiy.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post