(𝑃𝑒𝑛𝑦𝑜𝑘𝑜𝑛𝑔 𝑡𝑒𝑔𝑎𝑟 𝑃𝑁 𝑡𝑎𝑘 𝑝𝑒𝑟𝑙𝑢 𝑏𝑎𝑐𝑎. 𝑇𝑢𝑙𝑖𝑠𝑎𝑛 𝑖𝑛𝑖 𝑘ℎ𝑢𝑠𝑢𝑠 𝑢𝑛𝑡𝑢𝑘 𝑝𝑒𝑛𝑔𝑢𝑛𝑑𝑖 𝑎𝑡𝑎𝑠 𝑝𝑎𝑔𝑎𝑟 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑎𝑠𝑖ℎ 𝑚𝑎ℎ𝑢 𝑚𝑒𝑙𝑖ℎ𝑎𝑡 𝑝𝑜𝑙𝑖𝑡𝑖𝑘 𝑛𝑒𝑔𝑎𝑟𝑎 𝑑𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑙𝑒𝑏𝑖ℎ 𝑟𝑎𝑠𝑖𝑜𝑛𝑎𝑙.)
Ramai orang Melayu hari ini tidak suka melihat DAP berada dalam kerajaan. Ada yang menggunakan istilah “UmDAP” untuk menyerang UMNO dan BN.
Tetapi persoalan yang lebih penting ialah;
Bagaimana keadaan itu boleh berlaku?
Jawapannya mudah.
Punca utama bukan kerana DAP terlalu kuat.
Puncanya kerana undi Melayu berpecah sehingga UMNO dan BN kehilangan banyak kerusi tradisi. Akibatnya, tiada lagi satu parti Melayu yang cukup kuat untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Selama lebih 60 tahun, BN memerintah negara tanpa memerlukan DAP untuk membentuk kerajaan. Ketika itu, UMNO menjadi tunjang kepada sebuah gabungan yang lengkap; UMNO mewakili majoriti Melayu dan Bumiputera, MCA mewakili masyarakat Cina, MIC mewakili masyarakat India serta parti-parti komponen lain mewakili pelbagai lapisan rakyat Malaysia.
Inilah formula yang membolehkan BN mentadbir sebuah negara majmuk dengan stabil selama beberapa dekad.
Namun apabila undi Melayu mula berpecah kepada pelbagai parti, UMNO kehilangan banyak kerusi. Akhirnya tiada satu parti pun mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.
Maka lahirlah kerajaan campuran.
Maka bermulalah politik tawar-menawar.
Dan dalam keadaan itulah DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Sebab itu saya selalu hairan apabila ada pihak menyalahkan UMNO kerana wujudnya “UmDAP”, sedangkan pada masa yang sama mereka turut menyokong perpecahan undi Melayu yang menyebabkan UMNO kehilangan kekuatan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Kemudian ada pula yang berkata;
“Kalau begitu, orang Melayu undilah PN gantikan UMNO.”
Baik.
Tetapi persoalannya bukan sekadar siapa menggantikan siapa.
Persoalannya ialah; adakah PN mampu menjadi parti dominan yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian?
Kerana setakat hari ini, PN juga belum pernah membuktikan mereka mampu membentuk kerajaan Persekutuan secara bersendirian.
Jika PN juga memerlukan gabungan dengan parti-parti lain untuk mendapatkan majoriti, maka formula kerajaan campuran tetap akan berlaku. Yang berubah hanyalah nama parti yang memimpin.
Masalah asasnya tetap sama.
Hakikatnya, Malaysia bukan hanya terdiri daripada satu kaum dan satu kawasan pilihan raya. Untuk mentadbir negara, sesebuah parti perlu mempunyai kekuatan yang cukup besar di seluruh negara.
Sebab itu yang diperlukan bukan sekadar parti yang kuat berkempen, tetapi parti yang mempunyai pengalaman mentadbir, sistem pentadbiran yang lengkap, struktur organisasi yang tersusun dan keupayaan untuk membentuk kerajaan yang stabil.
Lihat sahaja Johor.
Apabila rakyat memberikan mandat yang besar kepada BN pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.
Hasilnya?
BN membentuk kerajaan negeri secara bersendirian tanpa memerlukan DAP atau mana-mana parti lain.
Kerajaan yang stabil lahir apabila rakyat memberikan mandat yang jelas.
Sebaliknya apabila keputusan pilihan raya tergantung dan tiada parti mempunyai majoriti yang kukuh, maka politik rundingan dan kerajaan campuran menjadi tidak dapat dielakkan.
Jadi kepada pengundi Melayu yang benar-benar tidak suka melihat DAP berada dalam kerajaan, saya ingin mengajak saudara dan saudari berfikir sejenak.
Jika anda mahu DAP berada di luar kerajaan, adakah caranya dengan terus memecahkan undi Melayu?
Atau adakah caranya dengan memberikan mandat yang cukup besar kepada sebuah parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian?
Kerana realitinya mudah.
Semakin berpecah undi Melayu, semakin lemah kuasa politik Melayu.
Semakin lemah kuasa politik Melayu, semakin besar keperluan untuk membentuk kerajaan campuran.
Dan selagi itulah politik seperti yang kita lihat hari ini akan terus berulang.
Ini bukan soal sentimen.
Ini soal matematik pilihan raya.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

