DJ Farhaat mendengar satu persatu lagu di dalam album yang saya berikan kepadanya.
“Emm.. Satu lagu pun tak boleh dimainkan di radio”, katanya dengan hampa.
“Kenapa?”,saya bertanya.
“Ulama di sini mengatakan muzik adalah haram. Di radio memang tak boleh pasang lagu yang bermuzik, kalau di luar OK sahaja”, kata Farhaat.
Farhaat adalah seorang penyampai radio Al-Ansaar yang berpusat di West Road Overport, Durban. UNIC ditemuramah dalam rancangan BREAKFAST pada pagi itu yang dikelolakan oleh Farhaat sendiri. Temuramah itu berkisar tentang pengalaman, perasaan dan sejarah UNIC.
BERJUMPA ZAIN BHIKHA (ARTIS ANTARABANGSA)
Sebelum kami berangkat ke Afrika Selatan, pihak penganjur ada mengatakan yang mereka menjemput penyanyi yang terkenal dan bertaraf antarabangsa, iaitu Brother Zain Bhikha untuk memeriahkan konsert Souk Of Durban.
Ini adalah pengalaman yang menarik.
Zain Bhikha terkenal dengan lagunya “Give Thanks To Allah” yang tenang untuk didengar dan dihayati. Kebanyakkan lagu-lagunya hanya menggunakan kaedah acapella (suara sahaja) dan iringin alat muzik yang ringkas seperti drum.
Genre muzik yang ringkas adalah keutamaan Zain Bhikha. Jika kita dengar lagu-lagunya dari album awal hingga ke album yang terkini, semua lagu-lagunya ringkas sahaja muziknya. Tetapi beliau juga ada menghasilkan lagu yang bermuzik moden untuk pasaran antarabangsa seperti lagu “Heartbeat“.
Mengapa lagu-lagu beliau bergenre seperti itu?
KISAH KUMPULAN WAAHID
“Saya mempunyai masa seminggu sahaja untuk memikirkan satu bentuk persembahan untuk sebuah majlis tidak lama dahulu”, Uncle AK memulakan cerita.
“Di dalam kekalutan itu, saya bertemu dengan Nazeer Jamal yang boleh buat Beatbox (muzik mulut), Naeem yang boleh menyanyi dalam bahasa Urdu, Fareed yang boleh menyusun vokal harmoni African dan Ahmad Abdul Latif yang boleh mengaji dan menyanyi”, terang Uncle AK kepada kami.
“Apabila berjumpa dengan mereka, timbullah satu idea untuk membuat persembahan gabungan dan wujudlah kumpulan WAAHID”, sambung Uncle AK dengan ceria sambil menunjukkan jari terlunjuk sebagai simbol nombor Waahid (satu)!
Uncle AK adalah seorang komposer dan ahli kumpulan WAAHID.
Kumpulan ini juga tidak menggunakan muzik dalam lagu-lagu mereka dan hanya menggunakan kaedah Beatboxing (bunyi mulut).
Pernah juga di suatu ketika mereka ditegur oleh seorang A’lim yang Beatbox juga tidak boleh digunakan dalam nyanyian kerana menyerupai bunyi muzik dan itu adalah HARAM.
Mereka menjadi buntu!
BUDAYA, MUZIK & FATWA MEREKA
Radio Al-Ansaar tidak boleh memainkan lagu yang bermuzik. Dengar pula pada lagu-lagu Zain Bhikha yang ringkas tiada muzik. Juga kumpulan WAAHID yang tiada muzik yang mengiringi lagu mereka.
Semua itu adalah disebabkan oleh hukum fatwa yang telah dikeluarkan oleh ulama-ulama di sana.
Barulah saya memahami mengapa genre muzik seperti kumpulan RAIHAN (muzik tidak berat dan irama yang mudah untuk diingati) boleh diterima di serata dunia sehingga sekarang. Muzik yang diterima di kebanyakkan penduduk Islam di dunia ini adalah bersifat lembut dan kurang muziknya.
Penduduk Islam di serata dunia (terutama di Eropah dan Afrika) adalah berasal daripada bangsa Arab dan India. Disebabkan itu, pengaruh muzik yang mereka mainkan juga terkesan dengan fatwa dan mazhab yang diamalkan oleh mereka (muzik adalah Haram : alat muzik bertali).
Berlainan di Malaysia, muzik adalah keperluan dalam sesebuah lagu tidak kira dalam genre rock atau nasyid sekalipun. Ianya disebabkan pendapat ulama dan khilaf dalam menentukan sesuatu hukum (di Malaysia hukum muzik bersifat terbuka).
Walau bagaimanapun, kita sebagai orang awam perlu menghormati pendapat dan hukum daripada orang-orang A’lim dan mazhab yang berbeza. Yang penting, ukhuwah sesama Islam masih terpelihara dan hukum-hukum itu tidak terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.
Salah satu budaya mereka ialah mereka gemar untuk mendengar bacaan ayat suci Al-Quran secara bertaranum dan berqasidah. Pada hari ketiga di Durban, kami (para tetamu) dijemput ke rumah salah seorang pengarah Al-Ansaar Foundation untuk menghadiri majlis makan tengahari.
Selepas majlis jamuan makan, Imam Masjid Nabawi (Syeikh Umar, juga sebagai tetamu program) memanggil semua yang ada di situ untuk mendengar bacaan Quran dan berqasidah beramai-ramai. Sungguh mengasyikkan!
Alhamdulillah. Program berjalan dengan jayanya. Ramai pengunjung yang hadir pada malam kemuncak (Countdown 2012) sehingga menyebabkan kawasan pentas menjadi sesak! Inilah pengalaman pertama bagi saya dan UNIC keluar negara (negara jauh) dan melihat sendiri budaya orang lain.
Apa yang penting, iktibar dan ilmu yang diperolehi sangat bermanfaat kepada kami dalam usaha menyampaikan dakwah kepada sekalian manusia melalui medium hiburan.
Syukur pada ALLAH. Terima kasih semua!
MUZIK MEDIUM DAKWAH!!
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
68100 Batu Caves, 2012.
One Reply to “DURBAN Episod 2 : MUZIK ADALAH HARAM?”