Masalah Filem Islamik

Salah satu filem berunsur Islam (Salam Cinta) – Gambar Hiasan

Saya pernah menulis di laman Twitter saya tentang masalah penerbitan filem Islamik di Malaysia. Saya mengatakan bahawa tidak ramai Ustaz-Ustaz atau golongan agama yang bergiat secara serius di dalam industri perfileman ataupun penerbitan rancangan TV.

Jika ada pun golongan agama yang terlibat dalam bidang ini, kebanyakkan daripada mereka hanya menjadi TALENT di hadapan kamera dengan mengendalikan rancangan soal jawab agama atau berlakon untuk drama-drama berunsur Islamik. Amat kurang daripada mereka (faham tentang agama) menjadi penulis skrip, pengarah, jurukamera dan sebagainya. Senang cerita jadi krew penerbitan.

Oleh kerana kekurangan inilah filem-filem atau drama Islamik yang dihasilkan di Malaysia tidak mengikut piawaian Islam yang sepatutnya. Pernah terjadi ada babak dalam sebuah drama Islamik yang memaparkan babak perempuan yang berniqab bersalaman dengan lelaki anjabi dalam filem tersebut. Adakah pengarah drama tersebut tidak menyedarinya? Dakwah pada asalnya sudah boleh bertukar menjadi fitnah!

Islamik bukan hanya bermaksud menutup aurat dan berserban. Tetapi lebih kepada isi, cara lakonan yang tidak melibatkan maksiat, dan pengajaran kepada penonton adalah satu kemestian dan perlu dititikberatkan oleh pengarah dan penerbit. Kita tidak mahu filem-filem ‘Islamik’ kita hanya dihiasi dengan tajuk-tajuk seperti tahajjud, sujud, salam dan ayat-ayat Islamik sahaja tetapi isi dan pergaulan di dalam filem tidak diambil perhatian.

Inilah pentingnya peranan golongan agama yang terlibat secara langsung dalam penulisan skrip dan kalau boleh orang agama sendiri yang menjadi pengarah dalam satu-satu filem.

ORANG AGAMA TIADA TEMPAT DALAM INDUSTRI HIBURAN TANAH AIR?

Ada orang memberitahu kepada saya tentang sikap media arus perdana yang menyekat kehadiran program-program Islamik di Televisyen. Jawapan saya mudah, jika Ustaz-Ustaz itu mahu berkata tentang politik, berhentilah daripada berniat untuk keluar di kaca TV.

Jika media arus perdana begitu menyekat para Ustaz, mengapa semakin banyak program berunsur Islam dan ramai Ustaz diberi peluang untuk beraksi di depan Televisyen?

TV Islamik telah diwujudkan oleh kerajaan (JAKIM) yang diberi nama TV Al-Hijrah. Walaupun saluran TV ini masih baru dan masih belum meluas siarannya, tetapi ia telah memberi peluang kepada idea-idea baru dalam penerbitan program-program televisyen yang berunsur ke-Islaman.

30 Minit Bersama Ustaz Don di antara program bentuk baru yang disukai ramai

Sepanjang saya menonton TV Al-Hijrah, mereka banyak menerbit dan menayangkan dokumentari dan program yang segar dan mudah untuk dihadam oleh penonton. Rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don misalnya dapat menarik minat masyarakat dengan gaya penyampaian Ustaz Don yang bersahaja.

Saya yakin jika ada individu lain seperti Ustaz Don menjadi pengarah filem atau penasihat kepada satu-satu filem, filem Islamik kita akan berkualiti dan bebas daripada babak yang dipertikaikan.

IKTIBAR DARI KCB

Walaupun mungkin banyak karenah birokrasi untuk menghasilkan filem Islamik ini, tetapi kita sebenarnya mampu menghasilkan filem Islamik yang baik dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang memecah panggung!

Pengarah filem Ketika Cinta Bertasbih, Chaerul Umam telah membuktikan kejayaan filem ini dengan bajet filem termahal Indonesia iaitu RM14 juta dan telah ditayangkan di 148 pawagam di seluruh negaranya! Ia membuktikan bahawa filem Islamik mempunyai tarafnya yang tersendiri.

Kita perlu melahirkan penulis skrip seperti Ustaz Habiburrahman El Shirazy di Malaysia. Insya-Allah.

Alhamdulillah, kita sebenarnya sudah mempunyai pengarah filem yang berminat untuk menghasilkan karya yang berkaitan tentang agama seperti Erma Fatima. Tetapi mereka perlu dibimbing oleh orang yang boleh menasihati mereka tentang tatacara pelakon dan jalan cerita agar benar-benar menjadi filem yang “Islamik”.

Sudah tiba masanya orang-orang yang faham tentang agama mengambil jurusan Komunikasi Massa (Broadcasting), seni dan perfileman di Universiti bagi menghasilkan filem Islamik yang mempunyai Syariah Compliance yang bermutu tinggi.

Kita tidak mahu insiden babak perempuan bersalaman dengan lelaki ajnabi dan lakonan menceraikan isteri (bagi pelakon yang benar-benar suami isteri) terjadi dan boleh mencacatkan keseluruhan filem itu.

Jangan asyik menggeleng kepala dan memarahi pengarah filem apabila menonton filem “Islamik” yang agak kurang “Islamik” itu jika kita tidak cuba mengubahnya.

FILEM BOLEH JADI SATU CABANG DAKWAH YANG BARU!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
53100 Setapak, 25 September 2012.

Related Post

2 Replies to “Masalah Filem Islamik”

  1. Saya bersetuju dgn pendapat saudara. Kebanyakan filem islamik Malaysia ni kurangnya roh islam. Tatacara adab islam tidak dijaga dgn baik. Walaupun dalam lakonan watak suami isteri dan anak tidak boleh bersentuhan kerana mereka bukan mahram. Filem sepatutnya mendidik manusia menjadi hamba allah yg baik… bukan memaparkan kisah masalah social. rempit… syirik yg melampau hingga boleh mendorong org yg tak tau menjadi ingin tahu berkaitan maksiat terbabit.

    Berkaitan tvhijrah……… saya memang suka. channel yg paling saya minat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *