Di hujung sana kelihatan seorang lelaki sedang dipimpin sahabatnya. Berjalan di atas laluan pejalan kaki yang dibina khas menyusuri pantai Teluk Cempedak, Kuantan. Lelaki itu seorang buta, harus dipimpin oleh seorang pembantu bernama Sam.
Saya bersama mereka ke Teluk Cempedak Kuantan untuk menikmati keindahan alam. Kunjungan kami ke Kuantan adalah untuk menemankan Ustaz Nabil Mahathir merawat pesakitnya di sana. Ustaz Nabil, seorang yang buta matanya namun diberi banyak kelebihan oleh Allah.
Kita sering melihat kelibat seorang buta yang bertongkat bersama seorang perempuan, menjual tisu dan meminta sedekah di kedai-kedai makan dan di tepi bank. Tetapi bersama Ustaz Nabil, lain pula kisahnya.
KISAH USTAZ NABIL BIN MAHATHIR
Beliau disahkan buta ketika berumur 7 bulan apabila terjatuh daripada buaian. Semenjak daripada itu beliau berdikari sebagai seorang yang tidak dapat melihat. Bersekolahkan di sekolah khas dan akhirnya berjaya mendapat Ijazah Quran dan Bahasa Arab di Universiti Of Khartum, Sudan ketika berumur 13 tahun.
Kelebihannya bukan sahaja dapat menghafaz Al-Quran (Al-Hafiz), tetapi dapat membaiki komputer dan pernah berkhidmat bersama MIMOS. Saya masih ingat lagi kerja-kerja networking di pejabat lama dahulu, beliaulah yang membuatnya! Suatu kerja yang orang celik pun tak semua tahu buat.
Cuba anda bayangkan bagaimana seorang buta boleh mengendalikan sistem komputer software dan hardware? Jika anda bersama dengan Ustaz Nabil, anda pasti terpegun melihat bagaimana beliau mengendalikan komputer itu!
Kelebihannya yang paling ketara adalah kebolehannya dalam rawatan perubatan Islam. Beliau mempelajari ilmu perubatan ini ketika belajar di Sudan. Kaedah yang digunakan dalam rawatannya ialah penggunaan ayat-ayat Al-Quran dan gabungan Aura Meta Fizik.
Kata beliau, setiap manusia mempunyai auranya yang tersendiri. Beliau dapat mengetahui keadaan pesakit dengan membaca ayat Al-Quran dan ‘melihat’ aura yang dikeluarkan oleh badan pesakit dengan menggunakan deria keenamnya (Sixth Sense).
RAWATAN DAN MENGENALPASTI PENYAKIT
“Berikan nama penuh akak”,tanya Ustaz Nabil.
“Timah Binti Dollah”, jawab seorang pemanggil di siaran.
“Oo.. Akak selalu sakit kaki sebelah kanan kan? Pening kepala, pernah mimpi dipatuk ular kan?”, tanya Ustaz Nabil lagi.
“Betul. Eh! Mana Ustaz tahu?”, jawab pemanggil bernama Timah itu.
Itulah yang sering berlaku semasa rawatan bersama Ustaz Nabil. Penghujung tahun 2011, Ustaz Nabil dijemput ke Salam FM untuk mengendalikan slot SALAM SYIFA’ terbitan DJ Norlida. Ustaz Nabil dapat mengetahui keadaan pesakit dengan menggunakan nama penuh dari jarak jauh.
Beliau dapat mengesan penyakit misteri seperti saka, santau, sihir dan sebagainya. Beliau juga dapat mengesan penyakit zahir seperti darah tinggi, kencing manis atau sakit-sakit sendi.
Dengan ‘mengimbas’ nama penuh pesakit dan memegang tangan kanan pesakit, Ustaz dapat mengesan masalah pesakit secara terperinci. Insya-Allah.
Kisah-kisah pengalaman Ustaz Nabil dalam bidang perawatan pernah saya nukilkan dalam artikel saya yang lalu yang berjudul GUNA AIR MERAWAT PENYAKIT KRONIK dan RAWATAN PENYAKIT GANGGUAN JIN.
MOTIVASI KEPADA YANG CELIK
“Kalau saya tak ada keyakinan diri, saya akan gunakan tongkat untuk berjalan. Kalau saya tak ada keyakinan diri untuk lebih berjaya, saya sekarang tengah buat bakul kat bengkel-bengkel kraftangan”, kata Ustaz Nabil.
“Orang-orang buta yang lain kalau tak ada tongkat tak boleh bergerak, kurang yakin dengan kelebihan yang Allah dah berikan kepada dia”, tambah beliau lagi.
Saya sangat mengambil motivasi di sebalik keadaannya. Orang celik seperti kita jika tidak mampu berusaha sangat malu dengan orang seperti Ustaz Nabil. Orang buta pun boleh berusaha cari rezeki dan berjaya inikan pula kita sebagai orang yang dikurniakan oleh Allah pancaindera yang lengkap, adakah masih ada alasan buat kita untuk berjaya?
Kita juga perlu menginsafi setiap kekurangan yang Allah berikan akan digantikan oleh Allah dengan kelebihan yang berlipat ganda. Usah buruk sangka dengan Allah dengan setiap apa yang diuji oleh Allah kepada kita.
Saya banyak belajar tentang USAHA dan KEBESARAN TUHAN dengan insan “CELIK” di Teluk Cempedak ini.
Untuk menghubungi Ustaz Nabil bagi mendapat rawatan, boleh terus menghubungi beliau di talian 012-2784668 atau 011-1568 3771. Ustaz boleh pergi ke rumah pesakit mengikut perbincangan. Insya-Allah.
Walallahua’lam.
SI “CELIK” DALAM KEGELAPAN
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 13 September 2012.