Tahun ini unik, hari Ibu jatuh pada 12 Mei 2013. Saya juga dilahirkan pada tarikh yang sama! 12 Mei 1989 adalah tarikh saya dilahirkan di Hospital Klang oleh ibu saya yang tercinta, Rafeah Binti Hassan.
Sukar untuk saya menulis, apatah lagi untuk mengungkapkannya kepada ibu yang saya panggil MAMA. Namun, saya teringat dengan peristiwa yang berlaku pada tahun 2001. Ketika itu saya masih berada di bangku sekolah rendah.
Saya dan rakan-rakan dihantar oleh pihak sekolah ke satu kem bagi murid-murid yang bakal menduduki Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). Program tersebut bertujuan memberi semangat kepada kami murid-murid agar tidak gentar dengan peperiksaan yang bakal dihadapi nanti.
Saya masih ingat dalam satu slot yang dikelolakan oleh seorang fasilitator bernama Kak Wawa, kami dikumpulkan di dalam sebuah kelas yang malap cahayanya. Saya fikir ianya mahu memberikan feel kepada kami untuk mengikuti modul berkenaan.
Setiap daripada kami diminta untuk memperkenalkan ibu dan ayah masing-masing. Kakak fasi juga banyak memberi nasihat dan memohon agar kami banyak mengingat pengorbanan ibu dan ayah sepanjang membesarkan kita.
Saya tidak berapa ingat apa yang saya sebut, yang pastinya air mata berjujuran di pipi. Masing-masing di antara kami menangis teresak-esak seperti memikirkan kami akan ‘kehilangan’ ibu dan ayah pada keesokan harinya.
Kami diminta untuk menulis sepucuk surat, siap dengan nama penuh ibu dan ayah. Dalam surat tersebut saya menulis seribu kemaafan di atas setiap kesalahan yang telah saya lakukan sepanjang hidup ini dan meminta mama mendoakan anaknya ini beroleh kejayaan dunia dan akhirat.
Selesai menulis surat tersebut, Kak Wawa memberikan sekeping sampul surat dan sekeping setem untuk dilekatkan. Alamat lengkap ditulis di atas sampul surat dan kami berikannya kepada Kak Wawa.
“Surat ini kakak akan poskan ke rumah adik masing-masing. Biar ibu dan ayah membaca sendiri apa yang adik tulis! Lepas ini tak ada masa lagi untuk main-main, teruskan belajar dan jangan kecewakan mak dan ayah!”, kata Kak Wawa kepada kami.
IBU, BONDA, UMMI
Selepas berminggu-minggu program tersebut selesai, saya tertunggu-tunggu jika ada surat yang saya tulis itu sampai ke rumah. Ternyata hampa, ianya tidak sampai sehingga sekarang.
Ketika itu saya masih budak-budak, hati terasa marah kerana Kak Wawa mungkir janji untuk menghantar surat itu! Saya juga berasa takut sebenarnya kerana jika surat itu benar-benar sampai ke rumah, tidakkah saya berasa segan jika surat itu dibaca oleh mama?
Syukur, modul dalam program motivasi itu memberi kesan kepada saya. Sampul surat dan setem bukanlah isu, tetapi keluhuran menyampaikan isi hati adalah ilmu dan pengajaran kepada diri kita.
Hari Ibu bukanlah sekadar satu hari. Bukanlah sekadar mengucapkan “SELAMAT HARI IBU” dan memotong kek tanda sambutan, tetapi lebih daripada itu. Tidaklah salah untuk menyambutnya tetapi kita perlu tanamkan nilai murni ini lebih sekadar satu hari.
Agama kita telah mengajar untuk kita mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah setiap hari khususnya selepas solat. “Ya Allah. Ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihaniku sejak dari kecil”.
Kepada wanita di luar sana yang dipanggil Ibu, Bonda, Ummi, Mummy, atau Mak, SELAMAT HARI IBU kepada kalian semuanya. Semoga Allah memberi rahmat kepadamu. Khususnya kepada ibuku, Rafeah Binti Hassan. Juga kepada Ibu Mertuaku yang masih belum kenali dan temui, SELAMAT HARI IBU. (Bilalah akan ku temui?)
TERIMALAH BONDA
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 12 Mei 2013.