Mungkin saya sudah mendapat jawapan mengapa UMNO yang dahulunya adalah sebuah parti kuat disokong Melayu, tetapi hari ini berlainan kisahnya.
Bacalah petikan yang saya ambil daripada buku “DOKTOR UMUM : MEMOIR TUN DR MAHATHIR MOHAMAD”, m/s 296-297.
Sebelum ini, orang Melayu keberatan dicalonkan, termasuklah untuk bertanding kerusi Parlimen atas alasan mereka tidak layak. Sikap merendah diri ini tidak kekal lama. Hanya sehingga disedari menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri akan memberi peluang kepada seseorang itu bukan sahaja mendapat gelaran Yang Berhormat, tetapi juga memperoleh elaun walaupun tidak mempunyai apa-apa kelayakan. Maka bermulalah perebutan. Untuk menjadi budak pejabat pun memerlukan kelayakan akademik. Bagaimanapun, untuk menjadi Wakil Rakyat yang menggubal undang-undang, malah menjadi Perdana Menteri sekalipun, kelayakan akademik tidak menjadi syarat buat masa sekarang.
Hari ini, keinginan mendapat jawatan penting dan menikmati kedudukan tinggi menjadi begitu berleluasa di kalangan orang Melayu. Menceari kedudukan menjadi obsesi yang meluas dalam masyarakat Melayu moden. Budaya Melayu, terutama budaya kelas menengah dan Melayu bandar semakin mementingkan diri sendiri, bersaing, egois serta materialis. Orang yang tidak melakukan apa-apa jasa pun bercita-cita menjadi Ahli Parlimen dan sekali dipilih, hanya segelintir bersedia mengundur diri. Apabila saya mengumumkan perancangan bersara daripada jawatan Perdana Menteri, beberapa orang Menteri veteran berkata, mereka akan mengikut jejak langkah saya. Namun selepas saya berhenti, hampir tidak seorang pun berbuat demikian.
Selain itu, hari ini penyandang juga sering dicabar. Semua orang mahu menjadi Naib Presiden UMNO kerana dari situ berharapan menjadi Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden. Ini mungkin sebahagian daripada proses demokrasi, tetapi saya meragui adakah kita sudah memahami asas demokrasi yang sebenarnya. Dalam sistem demokrasi, kita menyokong pihak yang menang. Kita boleh mengutuknya ketika berkempen dan mengundi menentangnya. Namun sebaik sahaja keputusan diumumkan, kita mestilah merapatkan semula barisan dan menyokong pemenang. Dengan cara ini, parti dan negara kekal bersatu dan kuat. Bagaimanapun hari ini, amalan demokrasi tidak lagi berfungsi dalam parti. Jadi, kaedah percaturannya sudah berubah.
Di dalam UMNO juga, ahli-ahli akan terus menyokong calon masing-masing biarpun pemilihan sudah lama berlalu. Calon pula terus memburu lawannya, sama ada dia menang atau kalah. Jika dia kalah, dia akan dimalukan dan terpaksa terus mempertahankan diri. Yang menang akan menunjukkan kuasa bagi membuktikan betapa hinanya menjadi seorang yang tewas. Jika dia menang, musuhnya akan cuba melemahkannya dengan menghalang dan menggagalkan setiap usahanya. Amalan seperti ini tidak membantu mengukuhkan parti dan akhirnya melemahkan kerajaan dengan mengganggu gugat kemampuan serta kuasanya.
Merebut jawatan adalah salah satu sistem demokrasi. Tetapi ukurlah baju di badan sendiri, bukan kerana emosi dan materalis.
Walallahua’lam.
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 25 Ogos 2013.