MENANTI FILEM-FILEM MELAYU ISLAM DI PAWAGAM

KLISE. Genre filem kita sama sahaja. Jika tidak Rempit, Gangster. Jika tidak hantu, cinta. Jika tidak lawak, seram-seram kuku.

Filem-filem kita perlukan perubahan. Saya bersetuju dengan pendapat penulis Rohami Shafie di Utusan Malaysia (17 September 2013) yang berpendapat penerbit dan pengarah filem perlu menggunakan filem sebagai satu medium menaikkan semangat orang-orang kita. Orang kita, saya yakin mereka dahagakan filem-filem yang memberi pengajaran dan manfaat, bukan sekadar hiburan yang melalaikan.

Amerika Syarikat menggunakan filem sebagai penyebar propaganda kehebatan mereka. Contohnya filem Rambo yang mengisahkan seorang askar Komando US yang mampu menewaskan ratusan tentera Vietnam dalam Rambo 4. Sedangkan sejarah yang sebenar, US kalah teruk di Vietnam.

Lihatlah betapa US pandai menggunakan layar perak sebagai proganda mereka. Apabila menonton filem-filem aksi mereka, kita dapat rasakan bahawa US adalah penyelamat dunia! (Baca : Konon)

Kita tidak perlu malu dengan sejarah kita, mungkin persepsi ramai mengatakan filem sejarah bosan ditonton. Bagi saya filem sejarah tidak bosan, tetapi yang membosankan ialah bagaimana pengarah mengolah cerita tersebut dari segi lakon layar. Mengapa Hollywood dapat menghasilkan filem Abraham Lincoln dengan baik dan mencapai Box Office? Saya fikir sejarah kita tidak kurang hebatnya, kita ada kisah Hang Tuah Bersaudara, Mat Kilau, Rentap, hinggalah sejarah pemimpin negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kisah Tun M, saya rasa pengarah filem boleh hasilkan sebuah filem berdurasi lebih 2 jam!

Banyak aspek dalam kejayaan sebuah filem. Skrip, lakon layar, bakat pelakon, kamera, suntingan off-line & on-line serta audio. Itu kita serahkan kepada pemain industri filem, mereka lebih arif tentang kerja mereka. Yang penting idea dan jiwa.

Layar perak yang bernisbah 16:9 itu, adalah ruang yang hebat jika dapat kita kuasai. Lihatlah bagaimana kita mengenal budaya orang Hindustan dengan filem-filem mereka di Panggung Sabtu di TV3? Ia satu kebanggaan negara India ke seluruh dunia.

Filem kita wajah kita. Sampai bila kita nak lemahkan semangat orang kita dengan Gangster dan Rempit?

Saya pernah bercakap perkara ini kepada seorang Director di sebuah stesen Televisyen. Apa yang dia jawab ialah ; “Kalau kau nak filem bagus, baik kau yang jadi Director!”. Kalau saya jadi Director, habis yang lain-lain tak dapat cari makan!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 17 September 2013.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *