Azam Baru Ikan Pekasam

Saya baru balik daripada Alor Setar. Ada kawan saya pesan supaya jangan lupa membeli ikan pekasam di Pekan Rabu. Memang banyak ikan pekasam di sana dan kata orang, lagi lama ikan pekasam direndam, lebih sedap! Saya kurang makan ikan pekasam, jadi saya tidak membelinya.

Menu tambahan orang melayu ialah ikan pekasam, budu, belacan, cencalok dibuat daripada hasil laut yang diperam. Walaupun orang kata bau makanan itu kurang enak tetapi ianya membuatkan kita lebih berselera untuk makan!

Benar juga, kalau tak dapat belacan memang tak sedap. Orang Kelantan, kalau tak ada budu dalam nasi kerabu memang tak dipanggil nasi kerabu. Itulah budaya orang kita, lebih lama lebih sedap!

Cerita pasal azam tahun baru, banyak yang membuat saya tersenyum. Tahun lalu, kawan saya berazam untuk menurunkan berat badan kerana itu adalah janjinya kepada bakal isteri sebelum bernikah. Namun, selepas berkahwin berat badannya semakin bertambah dan membuncit, mungkin lebih daripada 100kg!

Saya bersimpati dengan kawan saya itu. Katanya, sudah berpuluh-puluh jenama produk pelangsingan yang diminum tetapi tidak berhasil juga. Saya kata; “Mungkin tak berapa bagus kot”.

Saya bertanya juga kepadanya bagaimana beliau mengamalkan set pelangsingan yang dibeli. Katanya; “Aku akan ikut instruction yang ditulis dekat belakang kotak. Tak pernah tinggal minum walau sehari”. Beliau juga bercerita kebanyakan produk yang digunakan memang berhasil, sistem penghadam berjalan dengan baik dan kerap pergi ke tandas.

Tetapi mengapa berat badan tidak turun malah semakin meningkat? Jawapannya apabila kami keluar bersarapan pada waktu pukul 8.00 pagi, beliau makan nasi lemak dua bungkus berlauk ayam dua ketul. Ditambah lagi dengan Milo Ais dan dua biji telur separuh masak! Menu untuk tengahari pula, tidak perlulah saya tulis di sini, bayangkan sendiri!

Sejak dari itu, saya tidak pasti produk pelangsingan mana yang mampu mengubah dirinya!

AZAM BARU IKAN PEKASAM

Kita rajin merancang. Kadang-kadang siap buat senarai panjang apa yang hendak dibuat pada tahun mendatang. Saya juga begitu, banyak betul yang hendak dibuat pada tahun-tahun yang akan datang. Berkahwin, sambung belajar, nak buat bisnes, nak berjuang untuk masyarakat, nak jadi penulis buku, nak banyak beribadah, nak itu nak ini. Semuanya lengkap!

Begitu juga dengan perancangan persatuan, program setahun sudah memenuhi kalendar tahun depan. Target, setiap bulan mesti ada program. Tidak kiralah program kursus jenazah, kursus jati diri, karaoke, ceramah agama dan sebagainya. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya, semua program itu tidak dilaksanakan pun.

Akhirnya satu alasan kukuh yang kita sebut; “Kita merancang Allah merancang, dan sebaik-baik rancangan adalah perancangan Allah”. Noktah.

Ya. Memang betul. Tetapi setiap perancangan perlu disertai dengan usaha dan pelaksanaan. Bagaimana program kursus jenazah mahu direalisasikan kalau mesyuarat pun tidak dibuat dan masing-masing buat hal sendiri mengharap program itu terlaksana? Nak tunggu jadi jenazah ke?

Kadang kala apa yang kita sebut tak sama dengan apa yang kita laksanakan. Saya pun berpesan untuk diri saya sendiri, banyak manakah usaha yang telah saya lakukan untuk mencapai apa yang saya azamkan setiap kali tahun baharu?

Selalu kita dengar, kalau kita gagal merancang kita akan merancang untuk gagal. Tetapi mulai tahun 2014, saya tidak lagi menyenaraikan azam saya terlalu banyak. Biar ianya selesaikan satu per satu dan keadaan semasa yang akan menentukan segalanya. Tapi dengan syarat kena ada usaha!

Jangan biarkan azam tahun baru kita jadi ikan pekasam, semakin lama semakin sedap diulit dengan ‘kejayaan’ di sebalik perancangan itu. Hasilnya tak ada, sedih.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 29 Disember 2013.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *