Baru-baru ini tular sekeping gambar yang memaparkan beberapa pelajar tahfiz yang berpakaian jubah dan berserban duduk menyaksikan sebuah konsert, difahamkan dianjurkan oleh KFC.
Isu itu telah digunakan oleh pihak pembangkang untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan yang membawa naratif seolah-olah kerajaan sedia ada tidak membawa Islam. Ini mengarut.
Pertamanya, pihak pembangkang perlu bersifat tabayyun terlebih dahulu, usah ‘tibai-yun’ dalam satu-satu isu. Perlu disiasat terlebih dahulu, apakah ada salah faham dengan pihak penganjur, siapakah mudir tahfiz yang terlibat, bagaimana cerita sebenarnya?
Namun, sebenarnya pihak pembangkang bukannya untuk menjaga nama baik Islam, tetapi lebih kepada menunggang isu yang wujud untuk kepentingan politik semata-mata.
Sedangkan ketika mereka memerintah, tidak pula dibuat satu dasar bahawa sebarang konsert “tidak Islamik” tidak dibenarkan diadakan di Malaysia. Mereka tidak lakukan. Hanya apabila mereka menjadi pembangkang semula, barulah muncul semula soal membantah konsert, artis tidak tutup aurat, jururawat pakaian ketat dan seumpamanya diulang semula demi mendapatkan simpati dan sokongan.
Pada pandangan saya, saya sendiri tidak bersetuju dengan insiden yang telah berlaku itu dan memohon pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak penganjur. Tidak sesuai apabila individu yang berpakaian Islamik menghadiri program ”tidak Islamik”, seperti mana sekiranya mana-mana individu berpakaian seksi menghadiri program Selawat sebagai contohnya.
Saya juga menasihatkan agar PMX dan para pemimpin kerajaan agar berhati-hati dalam menerima jemputan menghadiri sebarang konsert, yang mana mungkin dapat mengurangkan ‘thiqah’ atau kredibiliti para pemimpin yang membawa imej Islam.
Saya percaya, masyarakat kita majoritinya masih mempunyai “common sense” dalam perkara seperti ini. Apabila melakukan sesuatu perkara, usah melanggar syariat dan norma-norma masyarakat yang bertamadun.
Saya juga menyeru agar para penganjur dapat memperbanyakkan program-program Islamik atau program-progran yang membawa nilai baik kepada masyarakat, dalam proses untuk kita membangunkan model Malaysia Madani yang mementingkan aspek ketamadunan warga Malaysia dalam pembangunan negara.
Terima kasih.
—-
Jamal Rafaie
Ketua Penerangan
Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor