Seorang rakan saya berkata : “Kau memang pandai tarik minat orang untuk baca blog kau-lah Jamal”.
Beliau berkata sedemikian kerana beliau tertarik dengan kaedah yang saya gunakan untuk menarik orang lain membaca tulisan saya khususnya apabila saya menulis tentang kisah seram.
Meletakkan gambar hantu yang menakutkan dan menarik perhatian, menulis dengan cara yang seram (walaupun tidak seram sebenarnya) dan ‘menggantung cerita’ (Cliff Hanger) supaya pembaca mengakses blog saya untuk mengetahui kesudahan kisah tersebut telah menarik perhatian beliau untuk berkata seperti itu.
Saya berkata pula kepada teman saya itu : “Kalau aku gunakan gambar perempuan seksi dan tajuk yang mengghairahkan, pasti lagi ramai yang akan membaca blog aku!”.
Dalam penerbitan drama, filem atau buku, elemen yang sensasi harus ditunjukkan untuk menarik minat orang ramai untuk menonton atau membelinya. Perkara ini juga tidak terlepas dalam soal politik.
ADA HADIAH BAWAH KERUSI ANDA! AMBIL SEKARANG!
Suatu hari saya mengikuti sebuah program politik di Ijok. Program tersebut menerangkan tentang isu-isu semasa yang dikupas oleh penceramah-penceramah yang hadir, kehadiran orang ramai ketika itu amat menggalakkan.
Seorang penceramah mengambil tempat dan bermula dengan kata-kata secara spontan: “Tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya pihak penganjur telah menyediakan cabutan bertuah! Sila tengok di bawah kerusi anda untuk lihat apa yang anda dapat!”.
Sejurus selepas itu, suasana menjadi riuh-rendah, para tetamu semuanya menterbalikkan kerusi untuk mencari mungkin ada keratan kertas yang mengatakan mereka memenangi hadiah misteri. Setiap penjuru kerusi mereka perhatikan!
“Tuan-tuan, jumpa tidak?”, penceramah itu bertanya kepada tetamu yang hadir.
“Tak ada! Mana ada! Jangan nak tipu kami!”. Itulah jawapan para tetamu, ada yang tersengeh, ada yang marah dan ada yang masih mencari!
“Sebenarnya tuan-tuan, mana ada hadiah pun! Nampak sangat orang kita ini senang terpengaruh bila ada orang menjanjikan sesuatu!”, penceramah memberi penjelasan.
Suasana menjadi riuh-rendah kembali, masing-masing menepuk dahi. Ada juga yang menggelengkan kepala dan ada juga yang pelik mendengar kenyataan itu “bunyi macam serius, rupanya aku kena tipu?”.
Ketika itu saya masih di bangku sekolah rendah, tidak banyak yang boleh saya fahami sewaktu berusia semuda itu. Tetapi apabila sudah melepasi zaman persekolahan, saya melihat pendekatan janji ini masih lagi digunakan sehingga sekarang.
MANIFESTO ADALAH JANJI?
Memberi janji atau manifesto dalam politik adalah sesuatu yang normal. Manifesto bermaksud “perisytiharan mengenai niat, cadangan, motif atau pandangan seseorang individu, kumpulan, parti politik atau kerajaan”.
Jika tiada manifesto, bagaimana kita sebagai pengundi mahu percaya kepada satu-satu parti politik jika parti itu gagal membuat manifesto? Sesebuah parti dianggap gagal jika dalam peringkat CADANGAN pun sudah gagal untuk menyakinkan pengundi.
Politik negara bukanlah mahu memilih Ketua Darjah atau Ketua Pengawas yang dipilih melalui muka handsome atau budak baik. Teringat lagi kawan saya (semasa di sekolah menengah) yang berkata dalam manifestonya : “Jangan pilih saya! Saya tidak layak! Jangan aniaya saya, kawan-kawan yang suruh saya bertanding! Saya tak mahu!”. Namun semasa pengumuman dibuat oleh cikgu, beliaulah yang menang dalam pemilihan Ketua Pengawas tersebut!
Politik arus perdana bukan semudah itu. Winnable Candidate belum tentu menjamin kemenangan parti. Secara umumnya dalam pemerhatian saya, imej parti masih menjadi pilihan pengundi. Jika parti itu teruk, rakyat tidak akan memilih parti itu.
Saya juga tidak menolak faktor ‘calon boleh menang’ menyumbang kemenangan parti terutamanya bagi ‘pengundi atas pagar’.
Saya tidak pasti sama ada bolehkah kita mendefinisikan MANIFESTO sebagai JANJI. Kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pernah menyebut kepada rakyat bahawa : “Manifesto Bukan Satu Perjanjian”. Dan beliau juga berkata orang yang menuntut hak mereka di negeri Selangor harus membuktikan mereka mengundi PKR sebelum membuat tuntutan.
Bagi pendapat saya, jika KENYATAAN ini boleh diguna pakai, perkara ini lebih utama digunakan oleh Barisan Nasional bagi menghadapi rakyat yang memberontak menuntut perkara yang tidak dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional sendiri. “Buktikan kamu mengundi Barisan Nasional, baru boleh tuntut apa yang kamu nak tuntut!”. Haruskah Barisan Nasional berkata begitu?
Sindrom yang saya lihat setakat ini ialah Pakatan Rakyat menjanjikan macam-macam perkara tetapi mereka pula yang menganjurkan perhimpunan untuk menuntut perkara yang mereka janjikan itu. Mereka nak tuntut kepada siapa?
Bagi saya, Pakatan Rakyat harus menyelesaikan masalah tuntutan rakyat terhadap mereka yang belum tertunai sebelum menjanjikan perkara yang baru. Rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri tetapi bagaimanakah hasilnya?
Saya tidak nampak janji itu diberikan secara meluas. Mungkin mereka ada membuat program ‘menunaikan janji’ tetapi dilihat sekadar ada sahaja atau untuk ahli sahaja. Saya faham dengan ungkapan “HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT”, kerana pemimpin juga adalah rakyat, kroni juga adalah rakyat, ahli parti juga adalah rakyat. Memang haruslah Hasil Negeri itu diberikan kepada RAKYAT.
Mengikut etikanya, jika sebuah parti sudah menjadi sebuah kerajaan, tidak kira orang mengundi atau tidak, mereka adalah rakyat yang harus dibantu. Sudah tiada lagi istilah ‘parti, calon, pengundi’ dan datang pula istilah ‘kerajaan, wakil rakyat, dan rakyat’.
Semuanya harus diberi tanpa memilih bulu. Saya puji perkara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang memberi peruntukan kepada semua tanpa mengira fahaman politik. Walaupun ada kes-kes yang mengatakan BN ada memilih bulu, tapi ianya adalah kes terpencil yang disebabkan adanya ahli politik yang tidak faham erti ‘kerajaan & rakyat’.
Jika BN kuat memilih bulu, saya yakin ramai pemimpin pembangkang tidak dapat belajar di luar negara yang ditanggung kerajaan, menjawat jawatan tinggi kerajaan, mendapat bantuan BR1M, bantuan persekolahan, pelbagai subsidi dan sebagainya.
BERFIKIR SEBELUM MEMBUAT MANIFESTO
Kepada parti politik, jika mahu mengumumkan manifesto kepada rakyat, pastinya manifesto itu adalah sesuatu yang realistik, tidak terlalu bersifat ‘bulan dan bintang’ dan tidak memberi kemerosotan kepada prestasi negara akibat pelaksanaannya nanti.
Kaji sebelum berjanji kerana ditakuti janji itu akan tinggal janji dan termakan janji di penghujung hari.
Bermanifesto biarlah relevan dengan kemampuan negara dan tidak mengikut kehendak hati semata-mata. Manifesto yang sedap didengar memang sentiasa menjadi perhatian dan alangkah indahnya jika manifesto itu dilaksanakan dengan baik.
Tetapi jangan jadi seperti kisah awal tadi, berjanji memang sedap tetapi akhirnya rakyat tertipu dengan janji-janji itu. Sukar kita jumpa dengan perkara yang percuma di dunia ini, kerana tuntutan rakyat kepada kerajaan yang memungkiri janji juga memerlukan duit untuk mengupah peguam di mahkamah!
Dunia telah mempunyai sejarah ramainya ahli politik menggunakan simpati dan janji ‘bulan dan bintang’ hanya untuk mendapatkan undi! Dulu kereta kancil lepas menang kereta Porsche. Dulu nak turun sekali dengan nelayan ke laut, bila menang makan ikan mahal yang ditangkap nelayan!
Sebagai pengundi, kita harus memilih kerajaan yang boleh mengurus tadbir dengan baik. Berfikir secara waras dan jangan mengikut perasaan kebencian yang menebal.
Nabi ada berpesan, jika kita benci jangan benci sebenci-bencinya. Jika sayang jangan sayang sesayang-sayangnya, benci dan sayang biarlah berpada. Manalah kita tahu, orang yang kita benci itulah yang menolong kita di suatu hari nanti. Walallahua’alam.
Saya berharap parti Barisan Nasional memberikan Manifesto yang baik kepada rakyat sejajar dengan konsep Transformasi Politik dan Kerajaan yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Saya juga ingin memberi cadangan kepada parti politik, masukkan sekali INSURANS TAK MENEPATI JANJI dalam manifesto kerana perkara itu mungkin akan digunakan suatu hari nanti jika terdesak!
JANJI HARUS DITEPATI, JANGAN PULA ‘DICAPATI’ (PUTAR BELIT) JIKA TIDAK MAMPU DILAKSANAKAN!
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 29 Januari 2013.
Salam, Kupasan yang menarik bro..pinjam untuk disebarkan..TQ
Silakan tuan yang mulia.. 🙂