Malam ini, berpuluh-puluh bilik gerakan parti masih belum tidur.
Ada peguam parti sedang menyemak borang pencalonan. Ada pegawai pilihan raya memastikan setiap dokumen lengkap.
Ada calon yang berkali-kali menyemak fail masing-masing. Ada yang diingatkan supaya jangan terlupa membawa kad pengenalan esok pagi.
Ada juga pemimpin yang masih membuat panggilan telefon sehingga lewat malam.
Memujuk mereka yang kecewa. Menenangkan jentera yang merajuk. Menyusun jadual kempen.
Malah mungkin ada parti yang masih membuat pertukaran calon pada saat-saat akhir.
Esok ialah hari yang penting.
Kalau tak jadi calon, macam mana nak jadi wakil rakyat?
Tetapi setiap kali musim pilihan raya, ada satu ayat yang pasti kita dengar.
“Sudah sampai masa beri peluang kepada orang muda.”
Saya tersenyum setiap kali mendengar ayat itu. Sebab sejarah sentiasa berulang.
Pemimpin yang hari ini berusia 60 atau 70 tahun, dahulu sewaktu mereka berusia 30-an pun menggunakan ayat yang sama.
“Dah sampai masa orang muda memimpin.”
Hari ini mereka pula dipanggil dinosaur politik.
Persoalannya ;
Kalau seorang pemimpin diberi peluang menjadi ADUN atau Ahli Parlimen pada umur 30 tahun, pada umur berapakah dia patut berhenti?
60 tahun?
Kalau begitu, dia sudah menjadi wakil rakyat selama 30 tahun. Enam penggal.
Dan ketika itu, akan muncul pula orang muda generasi baharu yang berkata ;
“Sudah sampai masa beri laluan kepada orang muda.”
Begitulah sejarah akan berulang.
Hakikatnya, isu sebenar bukan tua atau muda. Tetapi layak atau tidak layak.
Ada orang berusia 35 tahun tetapi belum bersedia memimpin. Ada pula yang berusia 65 tahun tetapi masih sihat, bertenaga, berintegriti dan diterima rakyat.
Mengapa umur dijadikan ukuran utama? Di seluruh dunia pun, faktanya tidak begitu.
Purata umur pemimpin negara berada sekitar awal 60-an.
Kebanyakan negara masih memilih pemimpin yang mempunyai pengalaman mengurus organisasi, kerajaan dan krisis.
Donald Trump dipilih semula ketika menghampiri usia 80 tahun. Keir Starmer menjadi Perdana Menteri UK pada usia 61 tahun. Mark Carney sekitar usia 60 tahun.
Narendra Modi pula sudah memasuki usia 70-an.
Malah pemimpin yang sering dianggap muda seperti Emmanuel Macron dan Giorgia Meloni juga tidak muncul begitu sahaja.
Mereka membina pengalaman bertahun-tahun sebelum memimpin negara.
Saya juga ingin bertanya.
Adakah semua kerusi perlu diberikan kepada calon berusia 30-an?
Bagaimana pula nasib mereka yang telah berkhidmat bertahun-tahun, kini berusia 45 atau 50 tahun, masih sihat, masih kuat, tetapi belum pernah sekali pun diberi peluang menjadi calon?
Adakah mereka juga sudah dianggap terlalu tua?
Dalam kehidupan, ada orang bertuah. Umur 30 tahun sudah menjadi wakil rakyat.
Ada pula yang hanya mendapat peluang pada usia 60 tahun. Ayah saya sendiri pertama kali menjadi calon ketika berusia 61 tahun. Sedangkan ramai rakan seangkatannya sudah lama bersara daripada politik.
Tetapi beliau tidak pernah merajuk kerana lambat diberi peluang. Kerana beliau percaya satu perkara ; Rezeki setiap orang tidak sama.
Bagi saya, negara tidak memerlukan pemimpin muda semata-mata. Negara juga tidak memerlukan pemimpin tua semata-mata.
Negara memerlukan pemimpin yang berintegriti, berpengalaman, kompeten dan diterima rakyat.
Yang muda perlu diberi ruang untuk belajar. Yang berpengalaman pula perlu bersedia membimbing.
Inilah keseimbangan yang diamalkan oleh kebanyakan negara yang berjaya.
Masih berbaki 17 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.
Dan 36 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan mengundi.
Esok kita akan melihat ramai calon muda. Ramai juga calon berpengalaman.
Akhirnya, rakyat tidak mengundi berdasarkan nombor pada sijil lahir. Rakyat mengundi berdasarkan keyakinan bahawa calon itu mampu memikul amanah.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor


