37 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : SAYA KESIAN DENGAN OMAR

Selepas pengumuman calon BN Johor semalam, seperti biasa akan ada episod yang berulang setiap kali musim pilihan raya.

Ada yang gembira. Ada yang kecewa. Ada yang merajuk.

Ada juga yang memilih untuk meninggalkan parti.

Kali ini, perhatian tertumpu kepada Datuk Dr. Puad Zarkashi.

Sebelum ini beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit dan berharap seorang calon muda diberi peluang menggantikannya.

Namun selepas senarai calon diumumkan, beliau mengumumkan keluar daripada UMNO kerana tidak berpuas hati apabila calon yang dicadangkannya tidak dipilih.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula mendedahkan bahawa sebelum ini Puad telah memberi bayangan akan keluar daripada UMNO sekiranya calon pilihannya tidak dicalonkan.

Kemudian Puad menjawab semula.

Katanya, apa salahnya mencalonkan anak sendiri?

Beliau turut memberi contoh bahawa di tempat lain pun ada anak pemimpin yang diberi peluang menjadi calon.

Terus terang saya katakan…

Saya lebih kesian kepada anaknya, Omar Hafiz.

Saya pernah berbual dengan Omar ketika Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari.

Pada pandangan saya, beliau mempunyai potensi dan bakat.

Tetapi malangnya, tindakan bapanya hari ini mungkin meninggalkan kesan yang tidak sepatutnya dipikul oleh Omar sendiri.

Dalam politik, proses membina kepimpinan mengambil masa.

Bukan semua orang mendapat peluang pada umur 30 tahun.

Bukan semua orang perlu menjadi calon hanya kerana ayahnya pernah menjadi wakil rakyat.

Ada juga yang menunggu sehingga usia 50 atau 60 tahun.

Ayah saya sendiri hanya mendapat peluang menjadi calon ketika berusia 61 tahun.

Sedangkan ramai sahabat seperjuangannya di kawasan lain sudah beberapa penggal menjadi ADUN atau Ahli Parlimen.

Tetapi saya tidak pernah melihat ayah saya merajuk kerana lambat diberi peluang.

Beliau terus bekerja.

Terus berkhidmat.

Kerana beliau percaya, dalam politik pun ada namanya rezeki.

Ramai memberi contoh Datuk Seri Najib Razak.

Ya, beliau menggantikan ayahandanya Tun Abdul Razak selepas pemergian beliau.

Begitu juga beberapa contoh lain di Malaysia.

Tetapi kita juga perlu faham, itu bukan satu formula yang wajib berlaku kepada semua orang.

Kalau sifirnya mudah…

“Ayah pernah jadi wakil rakyat, maka anak mesti menggantikan.”

Maka saya juga boleh bertanya ;

Saya juga anak kepada bekas wakil rakyat. Kenapa saya tidak diberi laluan yang sama?

Jawapannya mudah.

Kerana politik bukan sistem pewarisan. Politik ialah persaingan. Setiap orang perlu melalui prosesnya sendiri.

Dalam sistem beraja sekalipun, sejarah menunjukkan tidak semua pewaris akhirnya menaiki takhta.

Apatah lagi dalam politik yang ditentukan oleh parti, ahli dan akhirnya rakyat.

Sebab itu saya berharap Omar tidak berputus asa.

Teruskan bekerja.

Teruskan membina nama sendiri.

Biar orang mengenali Omar kerana kemampuan Omar.

Bukan semata-mata kerana beliau anak kepada Puad Zarkashi.

Saya percaya, kalau benar ada rezekinya, peluang itu akan datang juga.

Mungkin bukan penggal ini.

Mungkin penggal hadapan. Siapa yang tahu?

Tetapi apabila sampai masanya, orang akan menerima beliau kerana jasa dan kebolehannya sendiri.

Bukan kerana desakan sesiapa.

Masih berbaki 18 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 37 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan mengundi.

Dalam kehidupan ini, bukan semua perkara boleh diwarisi.

Harta boleh diwarisi. Nama boleh diwarisi.

Tetapi amanah dan kepimpinan tetap perlu dibuktikan.

Seperti kata orang tua-tua…

Iman tidak boleh diwarisi. Apatah lagi sebuah kerusi politik.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post