35 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : SIAPA SEBENARNYA LAWAN SIAPA DI JOHOR?

Pagi tadi selesai sudah proses penamaan calon. Kini segala teka-teki sudah terjawab.

Siapa bertanding, siapa tidak bertanding, semuanya sudah diketahui.

Daripada senarai calon yang diumumkan, ada satu perkara yang menarik perhatian saya.

Hanya Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor.

Itu bermaksud, hanya dua gabungan ini sahaja yang benar-benar menawarkan diri untuk mentadbir keseluruhan negeri Johor.

Bagaimana pula dengan Perikatan Nasional?

PAS hanya meletakkan 11 calon. Bersatu pula 16 calon. Parti-parti lain dalam PN seperti MIPP dan Pejuang pula hanya bertanding beberapa kerusi sahaja. Jumlah keseluruhannya masih jauh daripada 56 kerusi.

Lebih menarik lagi, sebelum ini Presiden PAS sendiri mengarahkan jentera PAS supaya tidak membantu calon-calon Bersatu di beberapa kawasan walaupun mereka menggunakan logo yang sama.

Di sinilah timbul persoalan.

Kalau sesama sendiri pun tidak bergerak sebagai satu pasukan, bagaimana rakyat mahu yakin mereka mampu mentadbir sebuah kerajaan negeri?

Satu lagi perkara yang sering dijadikan modal politik sebelum ini ialah tuduhan kononnya UMNO akan bekerjasama dengan DAP selepas pilihan raya.

Tetapi apabila senarai calon diumumkan, hakikatnya sangat jelas.

BN bertanding menentang semua 56 calon PH, termasuk semua kerusi yang ditandingi DAP.

Sebaliknya, PAS pula hampir keseluruhannya bertumpu kepada kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO-BN.

Jadi, rakyat bolehlah menilai sendiri. Mana satu fakta. Mana satu propaganda pilihan raya.

Untuk membentuk kerajaan negeri, sesebuah gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN.

Secara matematik politik, hanya BN atau PH yang mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan secara bersendirian kerana kedua-duanya bertanding di semua kerusi.

Bukan bermaksud parti lain tidak boleh menang kerusi.

Tetapi untuk membentuk kerajaan sendiri, mereka tidak menawarkan calon yang mencukupi.

Akhirnya, pilihan berada di tangan rakyat Johor.

Kalau mahukan kerajaan yang mempunyai mandat jelas dan stabil, rakyat perlu memilih gabungan yang benar-benar menawarkan diri untuk mentadbir seluruh negeri.

Masih berbaki 16 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 35 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Dalam pilihan raya, persepsi boleh dicipta. Tetapi selepas penamaan calon, fakta mula berbicara.

Dan fakta paling mudah hari ini ialah…

Hanya BN dan PH menawarkan calon di semua 56 kerusi. Selebihnya, rakyat sendiri boleh menilai apakah bentuk kerajaan yang sedang ditawarkan kepada Johor.

P/s : Puad Zarkashi kata senarai calon BN tak berkaliber dan kitar semula. Sebenarnya dia nak bagitahu kalau anak dia jadi calon, barulah dia kata semua calon lain berkaliber. Begitulah..

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post