39 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : Terlalu Ramai Presiden, Ramai Ke Pengikutnya?

Semalam, Pengerusi PN mengumumkan kemasukan Parti Pejuang dan Parti Cinta Malaysia (PCM) ke dalam Perikatan Nasional. Dalam masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir ke Mesyuarat PN.

Ramai menjangkakan mesyuarat itu akan menjadi penentu kepada kedudukan Bersatu dalam PN. Namun akhirnya tiada keputusan besar diumumkan. Mungkin masih ada rundingan. Mungkin masih ada tarik tali. Atau mungkin semua pihak masih belum mencapai kata sepakat.

Tetapi apa yang lebih menarik perhatian saya ialah satu perkara.

Beberapa hari lalu saya pernah menulis bahawa lagi banyak kabilah, lagi kuat sesebuah gabungan politik.

Hari ini saya ingin tambah satu lagi sisi.

Kalau terlalu banyak kabilah pun, akhirnya boleh menjadi beban.

Lihat sahaja PN hari ini.

PAS. Bersatu. Pejuang. PCM (yang bakal menjadi Parti Wawasan Negara).

Kalau diperhatikan, hampir semuanya membawa naratif yang hampir sama. Itu belum masuk parti kecil yang lain macam Putra dan Berjasa.

Memperjuangkan Melayu. Memperjuangkan Islam.

Persoalannya, kalau mesejnya sama, kenapa perlu sampai begitu banyak parti?

Pada pandangan saya, inilah realiti politik yang dipanggil politik kabilah.

Setiap kumpulan mahu membawa warlord masing-masing.

Setiap warlord pula mahu membawa penyokong, jentera dan kumpulannya sendiri.

Sebab itu kadang-kadang yang berpindah bukan seorang individu. Tetapi satu kabilah.

Satu persoalan.

Kalau Hamzah Zainuddin sudah begitu rapat dengan PAS, kenapa tidak terus menyertai PAS?

Atau kenapa tidak menyertai Pejuang?

Pada pandangan saya, jawapannya mudah.

Dalam politik, seorang warlord bukan sekadar mencari sebuah parti.

Dia juga perlu mencari ruang untuk kumpulannya terus memimpin.

Kalau masuk PAS, PAS sudah ada struktur kepimpinan yang lengkap.

Kalau masuk Pejuang, parti itu juga sudah ada Presiden dan kepimpinan tertingginya sendiri.

Jadi dari sudut realpolitik, lebih mudah membina kepimpinan sendiri melalui sebuah parti yang lebih kecil tetapi sah di sisi undang-undang.

Sebab itulah kita melihat PCM menjadi platform kepada kumpulan Hamzah sebelum proses penjenamaan kepada Parti Wawasan Negara selesai.

Fenomena seperti ini sebenarnya bukan perkara baharu dalam politik Malaysia.

Tetapi semakin banyak parti diwujudkan, semakin besar pula cabaran yang menanti.

Hari ini mungkin semua boleh duduk semeja.

Tetapi apabila tiba musim pilihan raya, bagaimana nak bahagi kerusi untuk bertanding?

PAS mahu kerusi. Bersatu mahu kerusi. Pejuang mahu kerusi. Wawasan juga mahu kerusi.

Sebelum ini PN menang 76 kerusi Parlimen yang dimenangi banyak dari Pas dan Bersatu. Selepas ini, 76 kerusi ini perlu dibahagi-bahagi pula kepada beberapa parti lain yang baru masuk gabungan PN.

Sedangkan jumlah kerusi Parlimen dan DUN tidak bertambah walaupun jumlah parti semakin banyak.

Belum lagi kita mengambil kira bahawa di dalam setiap parti itu sendiri sudah wujud pelbagai fraksi dan kabilah yang masing-masing mahu menjadi calon.

Akhirnya, perebutan bukan lagi berlaku antara gabungan dengan lawan.

Tetapi sesama sendiri.

Inilah bezanya sebuah parti yang mempunyai akar umbi yang besar dengan sebuah parti yang mempunyai ramai pemimpin.

UMNO misalnya mempunyai ribuan cawangan di seluruh negara.

Di bawah cawangan pula ada jawatankuasa, jentera dan ahli yang bergerak sampai ke peringkat akar umbi.

Sebab itu UMNO tidak perlu menubuhkan lima atau enam parti Melayu yang berbeza hanya untuk memberi ruang kepada lebih ramai Presiden.

Strukturnya sudah tersedia.

Yang perlu diperkukuhkan ialah organisasinya.

Namun begitu, BN juga tidak boleh memandang ringan perkembangan ini.

Memang benar, semakin banyak parti dalam PN akan menyukarkan mereka mengurus pembahagian kerusi dan kepimpinan.

Tetapi pada masa yang sama, semakin ramai juga tokoh dan kumpulan yang berhimpun di bawah satu payung.

Kalau mereka berjaya mengurus perbezaan itu, ia tetap boleh menjadi satu kekuatan.

Sebab itu BN tidak boleh sekadar melihat kelemahan lawan.

BN juga mesti terus memperkukuhkan rumahnya sendiri.

Warlord-warlord dalam UMNO perlu terus menguatkan akar umbi, memperbesarkan pengaruh dan melahirkan lebih ramai pelapis.

Kerana dalam politik, kemenangan bukan ditentukan oleh berapa ramai Presiden yang kita ada.

Tetapi berapa ramai rakyat yang benar-benar sanggup mengikut kita.

Masih berbaki 20 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 39 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Dalam politik, mempunyai ramai ketua mungkin nampak hebat di atas pentas. Tetapi di peti undi, yang menentukan kemenangan tetap satu perkara.

Akar umbi yang kuat, lebih bernilai daripada terlalu ramai warlord.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post