Sebelum ini macam-macam cerita kita dengar.
Ada yang kata BN sedang berunding dengan PAS untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional. Kononnya beberapa kerusi akan diberikan kepada PAS dengan syarat bertanding menggunakan logo BN.
Dalam masa yang sama pula, pihak lain memainkan naratif bahawa selepas PRN Johor nanti, BN tetap akan membentuk kerajaan bersama DAP.
Macam-macam cerita keluar.
Tetapi petang tadi, semuanya terjawab.
BN mengumumkan 56 calon untuk 56 kerusi DUN Johor.
Maknanya apa?
Maknanya BN benar-benar memilih untuk bergerak secara solo.
Tiada pembahagian kerusi kepada PAS. Tiada pembahagian kerusi kepada PH. Tiada kerjasama pilihan raya.
Rakyat Johor kini diberi pilihan yang jelas.
BN / PH / PN. Dan parti-parti lain.
Biarlah rakyat sendiri menentukan siapa yang mereka mahu menjadi kerajaan.
Pada pandangan saya, inilah yang lebih sihat dalam demokrasi.
Setiap parti menawarkan calon masing-masing. Setiap parti membentangkan idea masing-masing. Kemudian rakyat membuat keputusan.
Kalau BN memperoleh majoriti besar, BN boleh membentuk kerajaan sendiri seperti yang pernah berlaku selepas PRN Johor 2022.
Kalau rakyat Johor benar-benar tidak mahu DAP berada dalam kerajaan negeri, maka caranya bukan dengan sekadar berceramah di media sosial.
Caranya ialah memberi mandat yang cukup besar kepada BN untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Di sinilah saya rasa ramai orang masih keliru.
Menolak DAP tidak bermaksud menolak masyarakat Cina.
DAP ialah sebuah parti politik. Orang Cina pula ialah satu kaum. Itu dua perkara yang berbeza.
Dalam Barisan Nasional sendiri, masyarakat Cina mempunyai wakil melalui MCA.
Masyarakat India pula melalui MIC.
Sebab itulah sejak dahulu, BN dibina sebagai sebuah gabungan pelbagai kaum dengan UMNO menjadi tonggak kepada orang Melayu.
Akhirnya, keputusan kini berada di tangan rakyat Johor.
Mahu kerajaan campuran.
Atau mahu sebuah kerajaan yang mempunyai mandat sendiri.
Masih berbaki 19 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.
Dan 38 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan mengundi.
Khabar angin sudah berakhir. Kini rakyat menilai berdasarkan fakta.
Dan fakta hari ini cukup jelas.
BN telah memilih untuk bertanding secara solo. Kini terpulang pula kepada rakyat, sama ada mahu memberi BN mandat untuk mentadbir secara solo atau sebaliknya.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

