40 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : GULA-GULA PILIHANRAYA

Semalam Kerajaan Persekutuan mengumumkan harga diesel bersubsidi akan diturunkan kepada RM2.10 seliter mulai Julai nanti, selain menyelaraskan harga antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Sudah tentu, kalau sesuatu keputusan itu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat, kita patut bersyukur kepada Allah SWT.

Tidak kira siapa yang memerintah.

Tetapi dalam masa yang sama, ramai juga yang tersenyum sinis ;

“Pilihan raya dah nak dekat…”

Istilah gula-gula pilihan raya sebenarnya bukan benda baharu.

Sejak dahulu lagi, setiap kali PRK, PRN atau PRU semakin hampir, rakyat sudah biasa melihat jalan tiba-tiba diturap, projek segera diumumkan, bantuan disalurkan dan pelbagai janji mula kedengaran.

Sampai ada orang bergurau ;

“Kalaulah kawasan aku selalu ada pilihan raya kecil, cepatlah masalah kampung selesai.”

Lucu.

Tetapi ada benarnya.

Persoalannya…

Adakah gula-gula pilihan raya benar-benar berkesan?

Saya masih ingat mesej-mesej yang sering disampaikan oleh pemimpin pembangkang suatu ketika dahulu.

“Kalau kerajaan bagi, ambillah. Itu hak rakyat. Tapi undi, jangan bagi.”

Ungkapan itu cukup popular.

Dan sejarah membuktikan, memberi bantuan sahaja belum tentu menjamin kemenangan.

Zaman Datuk Seri Najib Razak dahulu, pelbagai bantuan diperkenalkan.

BR1M. Bantuan persekolahan. Baucar buku. Pelbagai subsidi.

Namun akhirnya BN tetap tewas pada PRU 2018.

Maknanya, gula-gula pilihan raya hanyalah salah satu faktor. Tetapi ia bukan penentu kemenangan.

Jadi, kalau bukan gula-gula pilihan raya, bagaimana sesebuah parti mengekalkan sokongan rakyat?

Di sinilah setiap parti mempunyai pendekatan politik yang berbeza.

PAS membina sokongan melalui doktrin yang berterusan.

Kuliah agama. Usrah. Ceramah. Konvoi. Himpunan.

Program dijalankan sepanjang tahun bagi menyuntik semangat penyokong dan membina keyakinan terhadap perjuangan parti.

Pendekatan ini terbukti sangat berkesan di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Ini kerana budaya politik di negeri-negeri tersebut memang dekat dengan pendekatan tarbiyah, kuliah agama dan hubungan rapat antara pemimpin dengan akar umbi.

Tetapi apabila bercakap tentang Malaysia secara keseluruhannya, cabarannya menjadi berbeza.

Johor mempunyai budaya politik yang lebih dekat dengan institusi diraja.

Negeri Sembilan pula mempunyai kekuatan institusi adat.

Lembah Klang pula lebih dipengaruhi isu ekonomi, kos sara hidup dan pembangunan bandar.

Sebab itu, pendekatan yang sangat berjaya di satu negeri belum tentu memberi kesan yang sama di negeri lain.

PH pula membina kekuatan melalui naratif.

Isu integriti. Reformasi. Media sosial. Influencer. Kempen digital.

Strategi ini sangat berkesan ketika PH menjadi pembangkang dahulu.

Kerana tugas pembangkang ialah membina persepsi bahawa kerajaan telah gagal, manakala mereka menawarkan harapan yang baharu.

Tetapi apabila sudah menjadi kerajaan, rakyat tidak lagi hanya mahu mendengar naratif.

Rakyat mahu melihat hasil. Rakyat tidak lagi mahu mendengar siapa yang salah. Rakyat mahu tahu apa yang telah berjaya diselesaikan.

Kalau masih menggunakan formula pembangkang ketika sudah menjadi kerajaan, lama-kelamaan rakyat akan mula bertanya ;

“Kalau semua salah kerajaan lama, jadi apa pula kerja kerajaan hari ini?”

Bagi saya pula, kekuatan sebenar BN sejak dahulu bukanlah kerana gula-gula pilihan raya.

Tetapi kerana delivery.

Jalan dibina. Sekolah siap. Hospital bertambah. Lebuh raya disambung. Masalah rakyat diselesaikan.

Rakyat tidak perlu menunggu musim pilihan raya untuk menikmati hasil pembangunan.

Mereka merasainya sepanjang lima tahun.

Itulah sebabnya, pada pandangan saya, parti yang mahu memerintah Malaysia bukan sekadar perlu pandai memberi gula-gula pilihan raya.

Bukan sekadar pandai berceramah.

Bukan sekadar pandai membina naratif.

Tetapi mesti mampu menyampaikan hasil secara konsisten kepada rakyat.

Masih berbaki 21 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 40 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Pilihan raya mungkin datang lima tahun sekali.

Tetapi rakyat hidup setiap hari.

Dan akhirnya, rakyat akan memilih parti yang mampu menjaga kehidupan mereka bukan hanya ketika musim pilihan raya, tetapi sepanjang tempoh memegang amanah sebagai kerajaan.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post