18 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : ADA KELAINAN DALAM GAME SETTING BN?

Malam ini, Pakatan Harapan telah mengumumkan barisan calon mereka bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Antara perkembangan paling menarik ialah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, tidak lagi mempertahankan DUN Sikamat yang diwakilinya sejak 2008. Sebaliknya, beliau berpindah ke DUN Linggi, sebuah kawasan yang selama ini dikuasai UMNO.

Dalam politik, apabila seorang Menteri Besar meninggalkan kerusi yang telah dipegangnya hampir dua dekad untuk masuk ke kawasan baharu, sudah tentu ada perkiraan politik di belakangnya.

Ia adalah satu langkah di atas papan catur.

Dan apabila lawan menggerakkan buah caturnya, BN pula perlu menentukan bagaimana mahu menjawab.

Esok malam, BN dijadualkan mengumumkan calon. Walaupun Pengerusi BN sebelum ini memberi bayangan bahawa BN akan bergerak solo, semakin kuat ura-ura mengatakan mungkin ada kelainan dalam game setting BN kali ini.

Apakah kelainan itu?

Kita belum tahu.

Tetapi satu perkara yang pasti, strategi kemenangan besar BN di Johor tidak boleh sekadar disalin bulat-bulat untuk digunakan di Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan bukan Johor.

Walaupun berjiran, landskap politiknya berbeza. Negeri Sembilan mempunyai identiti yang unik melalui Adat Perpatih. Lebih-lebih lagi pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana krisis adat dan institusi tradisional yang masih menjadi perbualan hangat.

Mana-mana parti perlu bergerak dengan penuh berhati-hati.

Kedua, PH adalah kerajaan penyandang. Aminuddin pula mempunyai kelebihan sebagai Menteri Besar yang sudah dikenali, sedangkan BN masih belum memperlihatkan dengan jelas siapakah wajah Menteri Besar mereka.

Kini, perpindahan Aminuddin dari Sikamat ke Linggi menambahkan satu lagi dimensi kepada permainan ini.

Jika PH sengaja menghantar Menteri Besarnya masuk ke kawasan yang selama ini dikuasai UMNO, sudah tentu mereka telah membuat perkiraan tertentu.

Di sinilah persoalan mengenai jumlah penjuru pertandingan menjadi penting.

Dalam pilihan raya yang sengit, kadang-kadang sesebuah parti bukan menang kerana mereka terlalu kuat.

Mereka menang kerana lawan mereka terlalu banyak.

Sebab itu timbul ura-ura bahawa mungkin wujud perbincangan antara BN dengan pihak tertentu dalam PN (tanpa melibatkan Bersatu), untuk mewujudkan satu bentuk kerjasama taktikal bagi menghadapi PH.

Sejauh mana kebenarannya?

Kita belum tahu.

Semalam saya menulis bahawa BN wajar bergerak solo dan bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan. Saya masih melihat kekuatan pada strategi itu.

Tetapi politik bukan sesuatu yang statik.

Strategi politik perlu berubah apabila keadaan di atas papan catur berubah.

Kalau ada formula yang lebih berkesan untuk mengelakkan perpecahan undi dan meningkatkan peluang membentuk kerajaan, sudah tentu ia perlu dinilai secara rasional.

Namun ada perbezaan besar antara kerjasama taktikal dengan kebergantungan politik.

Itulah kebijaksanaan yang diperlukan sekarang.

Adakah BN akan bertanding di semua 36 kerusi?

Adakah berlaku pembahagian kerusi tertentu?

Adakah wujud persefahaman untuk mengelakkan pertembungan di kawasan strategik?

Atau mungkinkah ada kejutan yang lebih besar?

Esok malam, apabila BN mengumumkan barisan calonnya, kita akan mula mendapat jawapan.

Barulah kita tahu sama ada BN mahu mengulangi formula Johor…

atau telah menyediakan game setting yang sama sekali berbeza untuk Negeri Sembilan.

Kita tunggu esok malam.

—-

Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post