PAS mendakwa mereka telah mengarahkan penyokongnya mengundi Barisan Nasional dalam PRN Johor.
Malah, ada pemimpin PAS yang mengatakan kemenangan besar BN di Johor turut disumbangkan oleh sokongan tidak rasmi daripada penyokong PAS.
Jika benar begitu, saya ucapkan terima kasih. Dalam politik, setiap undi tetap bernilai.
Namun begitu, timbul satu persoalan.
Jika benar PAS mahu membantu kemenangan BN, mengapa PAS masih meletakkan calon di 11 kerusi dalam PRN Johor?
Bukankah tindakan itu secara langsung memecahkan undi di beberapa kawasan? Di sinilah timbul persoalan tentang keikhlasan.
Penyatuan ummah tidak semestinya bermaksud semua parti perlu bergabung di bawah satu logo.
Kadang-kadang, cukup sekadar memberi laluan dan tidak bertanding. Itu juga satu bentuk persefahaman politik.
Tetapi apabila masih bertanding, kemudian selepas keputusan diumumkan mendakwa kemenangan pihak lain adalah hasil sokongan sendiri, sudah tentu rakyat berhak mempersoalkannya.
Lebih menarik, menjelang PRN Negeri Sembilan, PAS pula mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada UMNO untuk mengisi jawatan Menteri Besar sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Pada pandangan saya, kenyataan seperti ini tidak mengubah hakikat bahawa PAS juga mempunyai cita-cita untuk menambah kerusi mereka sendiri di Negeri Sembilan.
Sudah tentu setiap parti mahu berkembang. Itu perkara biasa dalam politik.
Namun BN juga mempunyai tanggungjawab terhadap parti-parti komponennya sendiri seperti MCA dan MIC.
Setiap kerusi yang diberikan kepada pihak lain bermaksud satu kerusi yang tidak dapat ditandingi oleh parti komponen BN.
Sebab itulah soal pembahagian kerusi bukan perkara mudah.
Saya juga tertarik dengan kenyataan Presiden UMNO hari ini bahawa UMNO dan PAS memang ada berbincang. Tetapi perbincangan itu tidak dimuktamadkan.
Bagi saya, kenyataan itu memberi isyarat bahawa BN kekal dengan pendirian untuk bergerak atas kekuatan sendiri di Negeri Sembilan.
Sejarah juga mengajar kita supaya berhati-hati.
PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai gabungan politik sebelum ini. Ada yang bertahan lama. Tetapi biasanya akan berpecah kerana perbezaan strategi dan matlamat.
Oleh sebab itu, sebarang keputusan untuk bekerjasama tidak boleh dibuat hanya berdasarkan emosi atau semangat perpaduan semata-mata.
Ia mesti mengambil kira rekod, komitmen dan hala tuju jangka panjang.
Bagi saya, jika PAS benar-benar mahu membantu kemenangan BN, bantuan itu tidak semestinya diterjemahkan melalui pembahagian kerusi atau pembentukan gabungan baharu.
Sokongan yang ikhlas akan tetap dihargai.
Tetapi keputusan tentang siapa yang bertanding dan siapa yang memimpin, biarlah ditentukan oleh kekuatan parti masing-masing dan akhirnya oleh rakyat di peti undi.
Saya fikir, BN wajar bergerak solo dan bertanding di semua 36 kerusi Dun Negeri Sembilan.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor



