Semua parti politik ditubuhkan dengan satu matlamat yang sama, iaitu untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.
Itu perkara biasa dalam demokrasi.
Namun, apabila kita memerhati politik Malaysia sejak sedekad lalu, saya melihat wujud beberapa “spesis” parti politik yang berbeza.
Saya gelarkan ia sebagai politik kabilah.
Dalam politik kabilah, kesetiaan bukan lagi kepada dasar atau perjuangan semata-mata, tetapi kepada kumpulan dan kepentingan politik masing-masing.
Daripada pemerhatian saya, sekurang-kurangnya wujud tiga kategori.
Pertama, parti yang membina kekuatan sendiri.
Parti seperti UMNO, PAS, DAP atau MCA membina identiti, akar umbi dan jentera mereka sendiri sejak puluhan tahun. Naik turun parti-parti ini bergantung kepada kekuatan organisasi masing-masing.
Kedua, parti gila kuasa.
Pada pandangan saya, PKR berada dalam kategori ini.
PKR lahir daripada gerakan Reformasi yang berpusat kepada perjuangan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas itu, matlamat terbesar parti ini ialah memastikan beliau akhirnya menjadi Perdana Menteri.
Sebab itu ramai melihat perjalanan PKR sentiasa berkisar kepada persoalan siapa menjadi Perdana Menteri.
Ketiga, parti parasit.
Inilah kategori yang saya lihat paling menarik.
Parti seperti ini tidak membina kekuatan melalui akar umbi sendiri, sebaliknya bergantung kepada pengaruh “hos” politik.
Pada awal penubuhannya, Bersatu bergantung kepada gelombang Pakatan Harapan sehingga berjaya membentuk kerajaan pada 2018.
Apabila berlaku Langkah Sheraton, Bersatu pula membina kerajaan baharu bersama PAS dan BN.
Selepas UMNO keluar daripada kerajaan dan Muafakat Nasional berpecah, Bersatu terus bergantung kepada kekuatan PAS dalam Perikatan Nasional.
Hakikatnya, ramai mengakui bahawa kekuatan jentera dan pengaruh akar umbi PN banyak digerakkan oleh PAS.
Kini keadaan mula berubah.
PAS semakin yakin dengan kekuatan sendiri.
Bersatu pula semakin kehilangan ruang.
PRN Johor menjadi petanda awal apabila hampir semua calon Bersatu yang bertanding gagal memberi saingan walaupun menggunakan logo PN.
Kini di Negeri Sembilan, Bersatu mengambil keputusan bertanding menggunakan logo bunga sendiri.
Dari sudut imej politik, mungkin mereka mahu menunjukkan bahawa mereka masih mampu berdiri atas kaki sendiri.
Namun dari sudut realiti pilihan raya, tindakan itu juga membawa risiko yang besar.
Jika sokongan sebenar terhadap Bersatu semakin mengecil, pertandingan secara solo bukan sahaja menyukarkan mereka memenangi kerusi, malah berpotensi memecahkan undi Melayu di kawasan tertentu.
Ironinya, parti yang suatu ketika dahulu ditubuhkan atas nama menyatukan orang Melayu akhirnya mungkin menjadi faktor yang memecahkan undi orang Melayu.
Dalam masa yang sama, BN pula mengumumkan akan bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi masih dalam perbincangan dengan “kawan”, seperti disebut oleh Tok Mat Hasan.
Siapa “kawan” itu, kita akan mengetahuinya apabila senarai penuh calon diumumkan.
Yang pasti, PRN Negeri Sembilan kali ini bukan sekadar menguji kekuatan BN atau PH.
Ia juga menjadi ujian paling besar untuk melihat sama ada Bersatu benar-benar mampu hidup tanpa bergantung kepada mana-mana “hos” politik.
Kerana dalam politik, parti yang gagal membina kekuatan sendiri akhirnya akan berdepan satu persoalan besar ;
Mampukah ia terus hidup sendiri, atau hanya mampu bertahan selagi ada parti lain untuk ditumpang?
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

