29 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : PESONA DOLLAR SINGAPURA

Antara janji yang menarik perhatian saya dalam PRN Johor kali ini ialah kenyataan bahawa jika mereka diberi mandat, anak Johor tidak lagi perlu bekerja di Singapura.

Mereka mahu membawa pulang anak Johor supaya bekerja di negeri sendiri.

Bunyinya memang sedap didengar.

Tetapi saya ingin bertanya satu soalan yang lebih penting.

Mengapa sebenarnya begitu ramai anak Johor sanggup bangun seawal jam 4 pagi, beratur di Tambak Johor, menempuh kesesakan berjam-jam dan hanya sampai semula ke rumah sekitar jam 10 malam?

Adakah kerana Johor tiada pekerjaan?

Saya rasa jawapannya bukan itu.

Johor sebenarnya mempunyai banyak peluang pekerjaan.

Kilang ada. Pelabuhan ada. Sektor minyak dan gas ada. Sektor logistik berkembang pesat. Sektor perkhidmatan juga semakin besar.

Jadi mengapa mereka masih memilih bekerja di Singapura?

Jawapannya sangat mudah ; Pesona Dollar Singapura.

Seorang pekerja biasa di Singapura mampu memperoleh sekitar SGD4,000 sebulan. Apabila ditukar kepada Ringgit Malaysia, jumlah itu mencecah sekitar RM13,000.

Itu baru jawatan biasa.

Belum lagi mereka yang bekerja sebagai jurutera, akauntan, jururawat, pegawai IT atau profesional lain.

Ramai yang tinggal di Johor tetapi menikmati kuasa beli gaji Singapura.

Hakikat inilah yang menjadi tarikan sebenar.

Sebab itu saya tertanya-tanya.

Kalau benar mahu membawa pulang semua anak Johor bekerja di Johor ; Apakah mekanismenya?

Adakah majikan di Johor mampu membayar gaji setara Singapura?

Adakah sektor swasta mampu menawarkan RM10,000 hingga RM13,000 kepada pekerja biasa?

Malah skim gaji penjawat awam sendiri tidak menawarkan jumlah sedemikian bagi kebanyakan jawatan permulaan.

Jadi persoalannya bukan sekadar “mahu” atau “tidak mahu”.

Persoalannya ialah bagaimana?

Kalau jawapannya ialah menarik pelaburan baharu, itu memang usaha yang baik.

Tetapi pelaburan tidak serta-merta menjadikan seorang operator kilang bergaji RM13,000.

Kalau jawapannya ialah meningkatkan produktiviti, itu juga proses yang mengambil masa bertahun-tahun.

Ekonomi tidak berubah hanya kerana satu manifesto pilihan raya.

Bagi saya, apa yang lebih praktikal buat masa ini bukan memaksa anak Johor berhenti bekerja di Singapura, tetapi memudahkan kehidupan mereka yang berulang-alik setiap hari.

Keutamaan sepatutnya ialah mempercepatkan urusan di Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), mengurangkan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru, menambah baik sistem pengangkutan awam rentas sempadan serta meningkatkan kecekapan urusan imigresen.

Kalau seorang pekerja dapat menjimatkan satu hingga dua jam perjalanan setiap hari, itu sendiri sudah memberi kesan besar kepada kualiti hidup mereka.

Mereka masih memperoleh gaji Singapura, tetapi tekanan hidup menjadi jauh lebih rendah.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu terus menarik pelaburan berteknologi tinggi serta industri bernilai tinggi supaya suatu hari nanti Johor benar-benar mampu menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lebih kompetitif.

Tetapi itu ialah sasaran jangka panjang.

Bukannya sesuatu yang boleh berlaku hanya dengan satu janji pilihan raya.

Saya tidak pernah memandang rendah anak Johor yang memilih bekerja di Singapura.

Mereka berkorban masa. Mereka berkorban tenaga.

Mereka meninggalkan rumah ketika anak-anak masih tidur dan pulang ketika anak-anak hampir masuk tidur semula.

Mereka melakukan semua itu demi masa depan keluarga. Bukan kerana mereka tidak cintakan Johor.

Tetapi kerana mereka mahu kehidupan yang lebih baik.

Sebab itu, kalau ada pihak mahu membawa mereka pulang, saya tidak menolak hasrat tersebut.

Tetapi jangan sekadar menjual impian. Tunjukkan pelan.Tunjukkan mekanisme.

Tunjukkan bagaimana seorang pekerja yang hari ini menerima sekitar RM13,000 hasil bekerja di Singapura akan memperoleh pendapatan yang setanding jika bekerja di Johor.

Kerana dalam ekonomi, rakyat bukan mengundi berdasarkan slogan.

Rakyat akhirnya akan membuat keputusan berdasarkan satu perkara yang sangat mudah.

Cukup atau tidak duit untuk menyara keluarga pada hujung bulan.

Dan saya percaya, anak Johor tidak perlu dipujuk untuk pulang.

Apabila suatu hari nanti peluang pekerjaan di Johor benar-benar mampu menawarkan pendapatan yang setanding dengan Singapura, mereka sendiri akan memilih untuk bekerja lebih dekat dengan keluarga.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post