Beberapa hari lalu, rakyat menyaksikan satu perkara yang agak luar biasa. Seorang Perdana Menteri mengkritik secara terbuka kenyataan Menteri Besar Johor ketika pentas kempen pilihan raya.
Lebih mengejutkan, beliau turut menyifatkan Menteri Besar Johor sebagai “tidak cerdik” kerana membangkitkan isu berkaitan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bagi saya, inilah yang menarik untuk diperhatikan.
Bukan soal siapa betul atau siapa salah.
Tetapi soal bagaimana seorang Perdana Menteri memilih untuk berucap.
Ketika menjadi Ketua Pembangkang dahulu, gaya pidato seperti ini mungkin memberi kelebihan politik. Menyerang lawan, menyindir, membalas kenyataan satu demi satu.
Tetapi hari ini keadaan sudah berubah.
Beliau bukan lagi Ketua Pembangkang. Beliau ialah Perdana Menteri Malaysia.
Apabila seseorang sudah memegang jawatan nombor satu negara, setiap perkataan yang keluar daripada mulutnya membawa kesan yang jauh lebih besar daripada seorang ahli politik biasa.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan projek strategik seperti JS-SEZ yang sedang diperhatikan oleh pelabur tempatan dan antarabangsa.
Saya membaca pula jawapan balas Menteri Besar Johor.
Menariknya, beliau tidak membalas dengan emosi.
Sebaliknya beliau menjelaskan bahawa Pelan Induk JS-SEZ ialah dokumen Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Singapura. Proses libat urus telah selesai dan hanya menunggu pelancarannya oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menjelaskan bahawa ramai pelabur sedang menunggu pelan induk tersebut kerana ia memberikan kepastian terhadap hala tuju pembangunan JS-SEZ.
Saya fikir penjelasan seperti inilah yang rakyat mahu dengar.
Fakta. Bukannya sindiran.
Dalam dunia pelaburan, persepsi sangat penting.
Kadang-kadang satu kenyataan yang tidak tepat daripada seorang Perdana Menteri boleh menimbulkan persoalan yang tidak sepatutnya.
Sebab itu saya bersetuju dengan satu perkara yang disebut oleh Menteri Besar Johor.
Apabila seseorang berada di kedudukan sebagai Perdana Menteri, setiap kenyataan perlu berasaskan fakta yang tepat.
Bukan kerana mahu menjaga ego sesiapa.
Tetapi kerana setiap perkataan membawa nama negara.
Saya juga melihat satu perkara yang lebih besar.
Sejak kebelakangan ini, kita melihat semakin banyak kenyataan yang bernada menyerang.
Kadang-kadang menyerang pembangkang. Kadang-kadang menyerang kerajaan negeri. Kadang-kadang menyerang individu.
Sedangkan rakyat sebenarnya mahu melihat seorang Perdana Menteri yang menjadi pemudah cara.
Yang menyatukan. Yang menenangkan keadaan. Yang memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat.
Akhirnya, seorang Perdana Menteri tidak dinilai berdasarkan seberapa kuat beliau menyerang lawan.
Tetapi berdasarkan sejauh mana beliau mampu membawa seluruh negara bergerak ke hadapan.
Itulah bezanya antara seorang Ketua Pembangkang dengan seorang Perdana Menteri.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

