Dulu, semasa menjadi mahasiswa, saya juga mempunyai sifat idealis.
Kita mahu semuanya betul. Pemimpin mesti bersih. Pentadbiran mesti adil. Apa yang salah, kita tentang.
Bila melihat sesuatu isu, kita rasa jawapannya cukup jelas. Kalau kita boleh nampak, kenapa orang lain tidak nampak? Kalau kita boleh menolak, kenapa orang lain masih mahu menyokong?
Kemudian kita mula bekerja. Berkeluarga. Mengurus tanggungjawab dan berdepan sendiri dengan pelbagai ragam kehidupan.
Sedikit demi sedikit, sifat idealis itu banyak bertukar menjadi realis.
Bukan kerana kita sudah menganggap rasuah itu perkara biasa. Tetapi pengalaman mengajar kita bahawa pertimbangan manusia tidak semudah yang pernah kita bayangkan ketika berada di kampus.
Ada perkara yang mudah kita hukum dari jauh, tetapi lebih rumit apabila kita memahami pengalaman orang yang melaluinya.
Sebab itu, apabila ada orang memberikan sumbangan kepada Datuk Seri Najib Razak, saya tidak terus membuat kesimpulan bahawa mereka menyokong rasuah.
Bagaimana kita boleh membaca seluruh pendirian seseorang hanya melalui satu tindakan menyumbang?
Mungkin mereka mengenang jasa. Mungkin mereka bersimpati. Mungkin mereka mempunyai keyakinan terhadap beliau yang tidak dikongsi oleh orang lain.
Kita boleh tidak bersetuju. Tetapi ketidaksetujuan kita tidak menjadikan tafsiran kita tentang niat mereka itu semestinya benar.
Saya teringat bagaimana penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu sanggup turun ke jalan raya untuk mempertahankan beliau, termasuk selepas beliau dijatuhkan hukuman dalam kes liwat.
Adakah sokongan mereka kepada Anwar bermakna mereka menyokong perbuatan liwat?
Saya tidak fikir begitu.
Mereka mempunyai kepercayaan, keyakinan dan pertimbangan sendiri dalam mempertahankan beliau.
Kalau kita boleh memahami bahawa penyokong Anwar membezakan sokongan kepada seorang pemimpin dengan sokongan terhadap kesalahan yang disabitkan terhadapnya, mengapa ruang pertimbangan yang sama begitu sukar diberikan kepada penyokong Najib?
Saya tidak sedang menyamakan butiran kedua-dua kes. Saya bercakap tentang cara kita menilai penyokong seseorang pemimpin.
Menyokong seseorang bukan bermakna menyetujui segala-galanya tentang dirinya.
Manusia boleh mengenang kebaikan seseorang, bersimpati terhadap nasibnya dan terus mempunyai keterikatan dengannya, tanpa menjadikan setiap perbuatan orang itu sebagai prinsip hidup mereka.
Hubungan antara pemimpin dengan penyokong kadang-kadang terbina melalui pengalaman bertahun-tahun. Ada yang pernah dibantu ketika susah. Ada yang merasakan kehidupan keluarganya berubah melalui dasar tertentu. Ada pula yang terus percaya ketika orang lain sudah meninggalkan.
Perasaan dan keyakinan seperti ini sulit untuk diperjelaskan sepenuhnya kepada orang yang tidak melalui pengalaman yang sama.
Bagi kita, mungkin sekadar seorang ahli politik.
Bagi mereka, mungkin seseorang yang pernah memberikan harapan pada satu ketika dalam kehidupan mereka.
Sebab itu saya berpendapat, prinsip dan pertimbangan yang dipegang oleh penyokong mana-mana pemimpin harus dihormati.
Menghormati tidak bermaksud kita mesti bersetuju. Kita masih boleh bertanya, mengkritik dan berbahas. Tetapi biarlah kita memberi ruang kepada mereka untuk menjelaskan pendirian sendiri, bukannya kita menetapkan apa yang kononnya mereka sokong.
Kepada mahasiswa, saya faham semangat itu. Saya juga pernah berada pada usia dan tahap kehidupan yang sama.
Teruskan bertanya. Teruskan mempertahankan prinsip.
Cuma, berikan sedikit ruang untuk memahami bahawa orang yang berbeza pendirian dengan kita juga mungkin mempunyai pertimbangan yang lahir daripada pengalaman hidup mereka.
Apabila usia bertambah dan tanggungjawab semakin besar, kita mungkin masih memegang prinsip yang sama. Tetapi cara kita memahami manusia boleh berubah.
Dulu kita cepat bertanya, “Kenapa mereka masih menyokong?”
Hari ini kita mungkin lebih bersedia mendengar jawapannya.
MUHAMMAD JAMAL RAFAIE
MJR — Memimpin Jiwa Rasional



