PENYATUAN UMMAH : PENGUNDI SUDAH BERSEDIA, PEMIMPIN BAGAIMANA?

Satu analisis yang dikemukakan oleh Ketua ILHAM Centre baru-baru ini mengunjurkan bahawa kerjasama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berpotensi memenangi sehingga 122 kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU16.

Angka itu bukan jaminan kemenangan. Pilihan raya bukan sekadar mencampurkan undi parti A dengan undi parti B di atas kertas. Namun, ia menunjukkan bahawa ruang untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat melalui penyatuan parti-parti Melayu-Islam memang terbuka luas.

Pola pilihan raya kebelakangan ini juga menunjukkan penolakan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan semakin besar, malah di sesetengah kawasan sokongan Melayu kepada PH jatuh ke paras yang sangat rendah.

Maknanya, masalah utama penyatuan ummah hari ini bukan lagi pada pengundi.

𝐌𝐚𝐬𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐦𝐞𝐣𝐚 𝐫𝐮𝐧𝐝𝐢𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐩𝐚𝐫𝐚 𝐩𝐞𝐦𝐢𝐦𝐩𝐢𝐧 𝐩𝐨𝐥𝐢𝐭𝐢𝐤.

Pengundi mungkin sudah bersedia untuk bersatu. Persoalannya, adakah pemimpin UMNO dan PAS juga benar-benar bersedia?

Cabaran paling besar sudah tentu soal pembahagian kerusi. Jika BN dan PN masih bertembung sesama sendiri, undi Melayu akan terus berpecah. Apabila undi terbahagi dua, pihak yang mendapat laba ialah Pakatan Harapan.

Kalau benar mahu menjayakan penyatuan ummah, seboleh-bolehnya jangan ada pertembungan antara BN dan PN. Prinsipnya mudah: 𝐬𝐚𝐭𝐮 𝐤𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢, 𝐬𝐚𝐭𝐮 𝐜𝐚𝐥𝐨𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐰𝐚𝐤𝐢𝐥𝐢 𝐤𝐞𝐫𝐣𝐚𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐢𝐧𝐢.

Namun, kita juga perlu berlaku adil kepada kedua-dua pihak.

UMNO dan PAS masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. UMNO mempunyai tapak yang kuat di negeri-negeri selatan, manakala PAS pula lebih dominan di negeri Pantai Timur dan beberapa negeri di utara.

Sudah tentu setiap parti mahu mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya. Setiap pemimpin juga mahu menunjukkan bahawa partinya kuat dan tidak mudah menyerahkan kerusi kepada pihak lain.

Itulah realiti politik.

Takkanlah UMNO mahu kelihatan terlalu mudah mengalah? Begitu juga PAS. Kalau salah satu pihak terlalu awal menunjukkan kesediaan melepaskan banyak kerusi, penyokong sendiri mungkin mempersoalkannya. Pada masa yang sama, pihak satu lagi mungkin mengambil kesempatan untuk menuntut lebih banyak.

Sebab itulah sekarang kita akan mendengar pelbagai kenyataan daripada pemimpin kedua-dua parti. Ada yang mendakwa partinya lebih kuat. Ada yang mahu mempertahankan semua kerusi yang pernah dimenangi. Ada pula yang mahu mengambil semula kerusi yang dianggap sebagai kerusi tradisi mereka.

Kenyataan seperti ini mungkin bertujuan menguatkan kedudukan sebelum rundingan bermula. Tetapi jika terlalu banyak kenyataan keras dikeluarkan kepada media, ruang rundingan akan menjadi semakin sempit.

Ambil Melaka sebagai contoh.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Dalam pilihan raya negeri sebelum ini, BN menang 21 kerusi. Kalau kaedahnya terlalu mudah ; siapa menang, dia kekal bertanding ; hanya tujuh kerusi berbaki untuk PN.

Masalahnya, sebahagian kerusi yang berbaki itu bukanlah kerusi yang mudah dimenangi PAS atau PN. Jadi, apakah makna kerjasama kalau satu pihak hanya diberikan kerusi yang peluang kemenangannya terlalu tipis?

Keadaan sama berlaku dari arah yang berbeza di negeri-negeri SG4.

PAS sudah tentu mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Tetapi kalau PAS mahu membolot hampir semua kerusi di negeri-negeri tersebut, di manakah ruang untuk UMNO?

Adakah UMNO langsung tidak perlu bertanding di Terengganu, Kedah atau Perlis?

Sudah tentu perkara itu sukar diterima oleh ahli dan kepimpinan UMNO di negeri berkenaan.

Inilah simpulan sebenar yang perlu dirungkai.

Tidak adil jika UMNO mahu menguasai hampir semua kerusi di negeri yang dikuasainya. Tidak adil juga jika PAS menggunakan kemenangan lalu untuk menutup terus ruang kepada UMNO di negeri yang dikuasai PAS.

Kalau kedua-dua pihak hanya menggunakan prinsip “𝐤𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐚𝐤𝐮 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩 𝐤𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐚𝐤𝐮”, itu bukan rundingan. Itu sekadar mempertahankan kepentingan parti masing-masing.

Penyatuan ummah memerlukan kedua-dua pihak melihat gambaran yang lebih besar.

Pembahagian kerusi tidak boleh dibuat berdasarkan keputusan pilihan raya lalu semata-mata. Ia perlu mengambil kira kekuatan semasa, penerimaan calon, struktur pengundi, kekuatan jentera dan peluang sebenar untuk menang.

Ada kerusi yang mungkin perlu dikekalkan oleh penyandang. Ada kerusi yang perlu ditukar parti. Ada juga kawasan yang memerlukan calon baharu yang boleh diterima oleh kedua-dua penyokong.

Semua ini memerlukan kejujuran, kebijaksanaan dan pengorbanan.

Penyatuan tidak akan berjaya kalau semua mahu menang sendiri. Penyatuan hanya akan berjaya apabila setiap pihak bersedia melepaskan sesuatu untuk mencapai kemenangan yang lebih besar.

Sebab itu saya berharap pemimpin UMNO dan PAS dapat menurunkan sedikit ego masing-masing.

Tidak salah mempertahankan kekuatan parti. Tidak salah memperjuangkan kerusi. Tetapi jangan sampai terlalu angkuh, terlalu keras dan terlalu sibuk membuktikan siapa lebih hebat sehingga peluang besar yang ada di hadapan mata terlepas begitu sahaja.

Jangan pula penyatuan ummah hanya indah disebut di atas pentas, tetapi berkecai apabila sampai ke meja pembahagian kerusi.

Pengundi Melayu tidak mahu melihat UMNO dan PAS terus bergaduh tentang siapa lebih kuat. Mereka mahu melihat kedua-dua parti cukup matang untuk duduk semeja, berunding secara jujur dan mencari formula yang adil.

𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐧𝐝𝐢 𝐦𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐧 𝐬𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐤𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐚𝐭𝐮𝐚𝐧. 𝐒𝐞𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐩𝐚𝐫𝐚 𝐩𝐞𝐦𝐢𝐦𝐩𝐢𝐧 𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐚𝐡𝐮 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐞𝐦𝐩𝐮𝐫𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚 𝐚𝐭𝐚𝐮𝐩𝐮𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐠𝐚𝐠𝐚𝐥𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚.

Kalau penyatuan ini gagal hanya kerana perebutan kerusi dan ego segelintir elit politik, jangan salahkan pengundi nanti.

Kerana peluang sudah ada.

Persoalannya cuma satu:

𝐀𝐝𝐚𝐤𝐚𝐡 𝐩𝐞𝐦𝐢𝐦𝐩𝐢𝐧 𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫-𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫 𝐦𝐚𝐡𝐮 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐭𝐮, 𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐬𝐞𝐤𝐚𝐝𝐚𝐫 𝐦𝐚𝐡𝐮 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐚𝐥𝐚𝐡?

—-

𝐉𝐚𝐦𝐚𝐥 𝐑𝐚𝐟𝐚𝐢𝐞 𝐉𝐚𝐤𝐢𝐫𝐚𝐧
Ketua Penerangan
Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor

Related Post