Ahmad mendapat keputusan UPSR yang baik, Ahmad menganggap beliau sudah berjaya.
5A! Siapa yang tidak bangga? Guru-guru memuji, ayah dan ibu gembira, ditambah pula dengan tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh yang terbaik. Ternyata, kejayaan sudah dimiliki!
Di sekolah itu, kehidupan yang baru perlu dilalui oleh Ahmad. Pembelajaran perlu diteruskan. Guru-guru bersungguh-sungguh mengajar, Ahmad pula tekun belajar. Akhirnya, PMR 8A!
PMR sudah berjaya, kejayaan ini tersemat di dalam koleksi sijil-sijil Si Ahmad.
Selepas itu, perjuangan untuk SPM pula diutamakan. Belajar dan terus belajar. Akhirnya penat lelah bersama guru dan rakan-rakan membuahkan hasil. SPM juga lulus dengan cemerlang!
Kehidupan di Universiti pula sangat mencabar. Suasana yang baru, rakan-rakan pula datang dari segenap penjuru alam. Pensyarah yang bermacam perangai, tugasan yang begitu banyak, dan peperiksaan yang bagai tiada penghujung.
Tetapi, Ahmad seorang pelajar yang cekal, beliau tidak mengenal erti kemalasan dan terus berusaha demi mencapai cita-citanya untuk berjaya dalam pelajaran.
Akhirnya , 4.00 pointer yang cukup mengembirakan!
DI ALAM PEKERJAAN
Sebagai seorang pelajar yang mendapat keputusan yang baik, cukup mudah untuk beliau ditawarkan apa-apa pekerjaan.
Mudah cerita, pergi mana-mana mudah dapat kerja. Malah, majikan berebut-rebut pula untuk mendapatkan khidmatnya.
Ketekunan yang ditunjukkan semasa bekerja telah menaikkan pangkatnya ke kedudukan yang tinggi di dalam syarikat. Gaji yang besar dan Si Ahmad berjaya mengahwini pula anak Bos yang memberi satu impak kejayaan kepada Si Ahmad.
Sampai di satu ketika, Ahmad sudah berada di puncak karier. Kesemua yang diingininya mudah sahaja untuk diperolehi. Nak itu dapat nak ini dapat, banyak duitlah katakan.
NAMUN DI SEBALIK KEJAYAAN
Walaupun Ahmad seorang yang berjaya dari segi pelajaran dan kerjaya, tetapi beliau agak tidak mengambil berat soal ibadatnya.
Solat ditinggalkan, zakat tak pernah dibayar, puasa sekadarnya, Haji pula sangat jauh dari senarai tempat-tempat yang hendak dikunjunginya, yang ada hanya London dan Perth sahaja di dalam senarai.
Satu hari, Ahmad meninggal dunia, banyak harta yang ditinggalkan untuk keluarga. Tangisan mengiringi pemergian Ahmad dan diingati oleh masyarakat disebabkan oleh keprihatinannya untuk masyarakat.
Manusia mati meninggalkan nama.
BILA AGAKNYA KITA BERJAYA?
.
Sesungguhnya kejayaan manusia terletak pada agama dan imannya.
Itulah maksud hidup yang Allah Subhanahu Wa Taala mahukan dalam hidup kita. Diciptakan kita adalah untuk beribadat kepada-Nya.
Sangat beruntung kepada manusia yang mendapat redha Allah, dan sangat rugi kepada yang mendapat murka-Nya.
Adakah lulus SPM satu kejayaan? Mendapat duit yang banyak satu kejayaan? Mendapat pangkat satu kejayaan?
Ya. Ia satu kejayaan. Tetapi kejayaan yang sebenar adalah sewaktu kita dapat masuk ke syurga Allah Yang Besar.
.
Apalah erti harta yang banyak, jika tiada harta di jiwa?
Apalah erti jasa yang banyak, jika ber-TUHAN tiada berjasa?
Apalah erti kelulusan yang tinggi, jika tidak 4.00 di hadapan Allah?
.
Teruskan bekerja untuk mencari keperluan hidup, tetapi jangan dilupa keperluan akhirat. Islam tidak melarang umatnya dari bekerja dan mencapai apa yang diingini dalam kehidupan, tetapi jangan dilupa MAKSUD HIDUP KITA.
Berilah masa untuk agama kita, kerana agama perlu diusahakan. Bukannya disimpan buat pekasam dan berguna apabila menguruskan jenazah.
Kejayaan dunia perlu diusahakan dan akan habis apabila mati. Kejayaan Akhirat juga perlu diusahakan, tetapi nikmatnya kekal abadi tiada terperi.
MENDAPAT REDHA ALLAH, ITULAH KEJAYAAN YANG SEBENAR. MASYA-ALLAH.
Mudah-mudahan, saya dan anda mendapat redha Allah Subhanahu Wa Taa’la. Insya-Allah.
NOTA : Beri masa untuk agama.
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.
Abang-abang senior UiTM Penang dah graduate. Bergaya semua dengan jubah time konvo. Tak sabarnyer 🙂
Jadikan kejayaan ini sebagai amanah ilmu.. Insya-Allah semuanya mudah dalam kehidupan.. ^_^
berjaya dalam agama sama penting dengan berjaya dalam pelajaran
Yup!! ^_^