33 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : BENARKAH “RAKYAT BIASA” JADI CALON AKAN FAHAM RAKYAT BIASA?

Dalam PRN Johor ini, Rafizi Ramli memperkenalkan calon-calon Parti Bersama sebagai “rakyat biasa”.

Katanya, rakyat biasa lebih memahami denyut nadi rakyat biasa.

Saya sebenarnya bersetuju dengan sebahagian daripada kenyataan itu.

Memang betul.

Orang yang memakai kasut itulah yang paling tahu di mana kasut itu mencengkam kakinya.

Orang yang pernah hidup susah lebih memahami kesusahan.

Orang yang pernah berniaga kecil lebih memahami cabaran seorang peniaga, contohnya.

Tetapi…

Adakah itu sahaja syarat untuk menjadi seorang wakil rakyat?

Tidak lama selepas itu, seorang calon Parti Bersama pula mencetuskan kontroversi apabila mempersoalkan larangan penternakan babi dengan menyatakan, lebih kurang, “30 tahun bela babi, siapa yang mati?”

Di sinilah saya mula tertanya-tanya.

Kalau benar beliau membawa suara rakyat biasa ; Rakyat yang mana?

Kerana rakyat Malaysia bukan satu kelompok yang sama.

Ada Melayu. Ada Cina. Ada India. Ada Orang Asli. Ada orang muda. Ada warga emas. Ada petani. Ada nelayan. Ada guru. Ada doktor. Ada peniaga. Ada pekerja kilang. Ada usahawan.

Ada yang tinggal di bandar. Ada yang tinggal di kampung. Semuanya rakyat biasa.

Tetapi kepentingan mereka tidak sama.

Saya teringat kata-kata sahabat saya, Dr. Budiman Zohdi ; “Akhirnya orang akan bercakap tentang kepentingan.”

Saya sangat bersetuju.

Apabila sesuatu isu menyentuh kepentingannya, dia akan bersuara. Kalau tidak menyentuh kepentingannya, biasanya dia akan diam.

Begitulah manusia. Begitulah juga ahli politik.

Sebab itu saya kurang bersetuju apabila ada pihak mendakwa mereka membawa suara “rakyat biasa”.

Kerana akhirnya setiap orang membawa pengalaman dan kepentingan hidup masing-masing.

Saya sendiri pernah melihat satu contoh.

Ada seorang individu yang sebelum menjadi calon hanyalah seorang rakyat biasa.

Beliau dikenali kerana aktif di media sosial. Seorang influencerlah katanya.

Apabila parti memilihnya sebagai calon, ramai berkata, “Inilah orang biasa yang memahami rakyat.”

Beliau menang. Tetapi selepas menang, apa yang berubah?

Kawasan? Atau kehidupan beliau sendiri?

Daripada seorang rakyat biasa, beliau kini bergelar YB. Mempunyai gaji yang jauh lebih baik. Mempunyai pelbagai kemudahan.

Malah pada awal kemenangan, beliau sendiri pernah mengakui memerlukan sumbangan orang ramai untuk membuka pusat khidmat.

Saya tidak menyalahkan beliau.

Tetapi pengalaman itu mengajar saya satu perkara.

Menjadi rakyat biasa tidak menjamin seseorang akan membawa perubahan yang luar biasa.

Begitu juga sebaliknya.

Ada pemimpin yang datang daripada keluarga berada, tetapi mampu berkhidmat dengan cemerlang.

Ada juga yang datang daripada kehidupan biasa, tetapi apabila diberi kuasa, akhirnya lebih banyak mengubah kehidupannya sendiri daripada mengubah kehidupan rakyat.

Sebab itu saya tidak begitu gemar dengan istilah “pemimpin berjiwa rakyat.”

Bagi saya…

Pemimpin tidak semestinya berjiwa rakyat.

Pemimpin mesti berjiwa pemimpin.

Seorang pemimpin perlu melihat keseluruhan masyarakat. Bukan sekadar kelompok yang dekat dengan dirinya.

Bukan sekadar isu yang menyentuh kepentingannya. Tetapi mampu mengimbangi kepentingan semua lapisan rakyat.

Itulah sifat seorang pemimpin.

Masih berbaki 12 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 33 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Rakyat tidak memilih seseorang kerana dia “orang biasa”.

Rakyat memilih kerana berharap ; Apabila diberi amanah, dia mampu menjadi pemimpin yang luar biasa.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post