34 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : KENAPA PAS SURUH UNDI BN?

Kenyataan Timbalan Presiden PAS yang meminta penyokong PAS mengundi BN di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi PAS mengejutkan ramai pemerhati politik.

Ada yang melihatnya sebagai satu isyarat baharu. Ada pula yang menganggap ia sekadar strategi sementara.

Kalau ada penyokong PAS yang memilih BN di kawasan tertentu, sudah tentu ia memberi kelebihan kepada calon BN.

Bagi saya, BN wajar menyambut baik seruan itu. Tetapi dalam politik, setiap kenyataan juga perlu dibaca dari sudut strateginya.

Saya melihat Johor mungkin bukan destinasi sebenar PAS.

Sebaliknya, Johor boleh menjadi medan rundingan untuk perjalanan politik yang lebih panjang.

PAS sendiri sedar bahawa kekuatan mereka di Johor tidak sama seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah atau Perlis.

Malah dalam PRN kali ini, PAS hanya bertanding di sebahagian kecil kerusi.

Dalam masa yang sama, kita melihat Perikatan Nasional sendiri berdepan pelbagai cabaran dalaman ; Hubungan PAS dan Bersatu semakin renggang bahkan sudah berakhir hakikatnya.

Namun akhirnya Pengerusi PN terpaksa akur membenarkan Bersatu terus menggunakan logo PN di Johor.

Parti Gerakan Johor pula mengambil pendirian berbeza sehingga kepimpinannya digantung oleh partinya sendiri.

Keadaan ini menunjukkan bahawa penyusunan semula kuasa dalam PN masih belum selesai.

Sebab itu saya tertanya-tanya ; Adakah seruan mengundi BN ini sekadar untuk Johor?

Atau ia juga sedang membina modal politik bagi rundingan yang lebih besar selepas ini?

Negeri Sembilan? Melaka? Malah mungkin juga menjelang PRU akan datang?

Dalam politik, setiap bantuan biasanya datang bersama nilai rundingannya.

Kalau PAS boleh menunjukkan bahawa penyokong mereka sanggup mengundi BN di kawasan tertentu, sudah tentu ia boleh dijadikan hujah apabila tiba masa membincangkan pembahagian kerusi di negeri-negeri lain.

Pada masa yang sama, PAS juga mempunyai kepentingan untuk mengekalkan pengaruhnya di negeri-negeri yang mereka kuasai hari ini.

Sudah tentu mereka mahu terus mempertahankan kedudukan Menteri Besar dan kerusi-kerusi strategik di negeri-negeri tersebut.

Sebab itu saya melihat kenyataan ini bukan sekadar soal Johor.

Ia mungkin juga sebahagian daripada permainan rundingan politik yang lebih panjang.

Namun jika saya seorang penstrategi BN, saya juga akan berhati-hati.

BN tidak perlu terlalu ghairah meraikan kenyataan ini. Kerana dalam pilihan raya, persepsi juga memainkan peranan.

Kalau kenyataan ini diraikan secara berlebihan, ia mungkin memberi isyarat yang berbeza kepada sebahagian pengundi lain dan akhirnya mengubah corak keluar mengundi.

Jadi, pada pandangan saya, tindakan terbaik BN ialah menerima sokongan itu dengan tenang.

Tidak perlu berlebihan.

Tidak perlu membuat kesimpulan bahawa sudah wujud kerjasama politik baharu. Biarlah rakyat menilai berdasarkan tindakan, bukan sekadar persepsi.

Masih berbaki 13 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 34 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Dalam politik, kadang-kadang yang paling penting bukan apa yang disebut. Tetapi mengapa ia disebut, dan pada waktu yang mana ia disebut.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post