PRN Johor sudah pun melabuhkan tirainya.
Kini tumpuan politik negara beralih pula ke Negeri Sembilan.
Namun, saya melihat satu kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai pemerhati politik.
Mereka menyangka formula kemenangan di Johor boleh terus digunakan di Negeri Sembilan.
Bagi saya ; Negeri Sembilan bukan Johor. Landskap politiknya jauh lebih rumit.
Sebelum DUN dibubarkan, kedudukan kerusi adalah seperti berikut:
- PH : 17 kerusi
- BN : 14 kerusi
- PN : 5 kerusi
Keseluruhannya terdapat 36 kerusi DUN, dan sebuah kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Selepas PRU lalu, BN dan PH memilih membentuk Kerajaan Perpaduan Negeri.
Gabungan itu menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN. Secara matematik, kerajaan ini sangat kukuh.
Namun politik bukan sekadar soal matematik.
Segalanya berubah apabila tercetus krisis membabitkan institusi Adat Perpatih.
BN menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar daripada PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Di sini ramai orang salah faham.
BN bukan menarik sokongan terhadap keseluruhan kerajaan negeri. BN hanya menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Sekiranya PH mengemukakan calon Menteri Besar yang baharu, secara teorinya Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan masih boleh diteruskan.
Tetapi Aminuddin memilih jalan membubarkan DUN.
Maka rakyatlah yang akhirnya menjadi hakim.
⸻
Isu terbesar bukan soal parti, tetapi soal adat.
Berbeza dengan Johor yang banyak berkisar kepada prestasi kerajaan negeri dan ekonomi.
Negeri Sembilan pula memasuki pilihan raya dengan satu isu yang jauh lebih sensitif ; Krisis Adat Perpatih.
Pertikaian berkaitan pemasyhuran Yamtuan Besar serta kedudukan Undang Yang Empat telah mewujudkan perbahasan yang panjang dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan.
Buat pertama kali sejak sekian lama, isu adat menjadi antara topik politik paling hangat diperkatakan.
Dalam tempoh krisis itu juga, kita dapat melihat seolah-olah wujud dua kelompok yang berbeza.
Penyokong PH dilihat lebih cenderung mempertahankan pendirian kerajaan negeri.
Manakala tokoh-tokoh seperti Chegu Bard dan Tan Sri Rais Yatim pula lebih banyak mempertahankan pendirian Undang Yang Empat. Di sini, kehadiran pengaruh Parti Wawasan Negara mungkin agak signifikan tetapi masih terlalu awal untuk diukur.
UMNO pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan tidak terlalu mencampuri urusan adat tersebut.
Inilah yang menjadikan Negeri Sembilan jauh lebih kompleks berbanding Johor.
⸻
BN juga mempunyai cabarannya sendiri.
Jika di Johor, BN mempunyai satu kelebihan besar.
Nama Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah jelas diterima sebagai wajah kerajaan negeri.
Rakyat tahu siapa bakal Menteri Besar.
Prestasi beliau juga banyak diperkatakan sepanjang kempen.
Tetapi di Negeri Sembilan, keadaan sedikit berbeza.
Siapakah wajah utama BN?
Tok Mat Hasan sememangnya sangat popular.
Beliau mempunyai rekod yang baik sebagai bekas Menteri Besar.
Namun hari ini beliau sudah berada di pentas politik Persekutuan sebagai seorang menteri.
Adakah wajar beliau kembali semula menjadi calon Menteri Besar? Saya melihat kemungkinannya agak tipis.
Nama Datuk Seri Jalaluddin Alias juga sering disebut.
Namun persoalannya, adakah beliau mempunyai daya tarikan yang sama di mata seluruh rakyat Negeri Sembilan?
Ini merupakan antara cabaran yang perlu dijawab oleh BN.
⸻
Strategi solo pula, mampukah diulangi?
Satu lagi persoalan besar ialah keputusan BN untuk bergerak secara solo.
Di Johor, strategi ini ternyata berjaya secara keseluruhan.
Namun kita juga melihat contoh di Dun Simpang Jeram, Johor.
Pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PN akhirnya memberi kelebihan kepada PH untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Adakah keadaan sama akan berlaku di Negeri Sembilan?
Atau BN mempunyai formula lain yang lebih berkesan?
Itulah persoalan yang bakal dijawab dalam tempoh beberapa hari lagi.
⸻
Pilihan raya yang berbeza.
Saya melihat PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pertandingan antara BN, PH dan PN.
Ia turut melibatkan sentimen adat, institusi tradisi, hubungan kerajaan negeri dengan Undang Yang Empat, serta soal kepimpinan masa depan negeri.
Sebab itu saya berpendapat ; Strategi yang berjaya di Johor belum tentu berjaya di Negeri Sembilan.
BN perlu tampil dengan formula yang benar-benar meyakinkan rakyat Negeri Sembilan.
Bukan sekadar mahu menukar kerajaan.
Tetapi membuktikan bahawa mereka mempunyai kepimpinan yang mampu mengurus hubungan antara politik, pentadbiran dan institusi adat secara berhemah.
Saya percaya ; PRN Negeri Sembilan akan menjadi pilihan raya yang jauh lebih sukar dibaca berbanding PRN Johor.
Dan itulah yang menjadikan ia sangat menarik untuk diperhatikan.
⸻
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor



