32 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : DAP BARU TERINGAT PASAL NAJIB?

Sejak Barisan Nasional mengumumkan akan bertanding secara solo dalam PRN Johor, satu isu kembali dimainkan secara agresif.

Datuk Seri Najib Razak.

Seolah-olah PRN Johor ini bukan lagi pertandingan untuk memilih kerajaan negeri, tetapi pertandingan untuk menentukan nasib seorang bekas Perdana Menteri.

Persoalannya ; Mengapa baru sekarang?

Tulisan bekas ADUN DAP Johor, Marina Ibrahim, baru-baru ini membuka satu sudut pandang yang menarik.

Menurut beliau, ketika masih berada dalam parti, beliau mendakwa pernah mendengar sendiri perbincangan bahawa isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak lebih sesuai berlaku selepas pilihan raya, kerana dikhuatiri akan menjejaskan sokongan pengundi, khususnya masyarakat Cina, jika berlaku lebih awal.

Saya tidak berada dalam pertemuan itu. Maka dakwaan tersebut adalah tanggungjawab Marina sendiri.

Namun jika benar seperti yang didakwanya, ia menimbulkan satu persoalan yang lebih besar.

Adakah isu Najib benar-benar soal prinsip, ataupun soal strategi politik?

UMNO tidak pernah menyembunyikan pendiriannya.

Sejak dahulu lagi, UMNO secara terbuka memperjuangkan supaya Datuk Seri Najib Razak diberikan pembelaan melalui saluran undang-undang dan proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Pendirian itu tidak pernah berubah.

DAP juga mengetahui pendirian UMNO sejak hari pertama Kerajaan Persekutuan dibentuk.

Namun sepanjang tempoh itu, DAP terus berada dalam kerajaan bersama UMNO.

Di Johor pula, sebelum BN mengumumkan akan bertanding secara solo, DAP juga dilihat masih berharap kerjasama politik itu dapat diteruskan.

Kalau isu Najib benar-benar merupakan satu prinsip yang tidak boleh dikompromi, mengapa hubungan itu tidak diputuskan lebih awal?

Mengapa hanya selepas BN memutuskan bergerak secara solo di Johor, isu ini kembali menjadi tema utama kempen?

Di sinilah rakyat berhak bertanya.

Adakah ini soal prinsip, ataupun strategi untuk mendapatkan semula sokongan politik?

Lebih-lebih lagi selepas prestasi DAP menerima tamparan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Sudah tentu setiap parti akan mencari jalan untuk mengukuhkan semula keyakinan penyokong tradisinya.

Tetapi rakyat juga berhak menilai sama ada sesuatu isu dibangkitkan kerana prinsip yang konsisten, atau kerana keperluan pilihan raya.

Apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberi bayangan sanggup meletakkan jawatan sekiranya Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjawab dengan cukup bersahaja.

“Memang kita nak dia letak jawatan.”

Sindiran Tok Mat itu sebenarnya membawa satu persoalan yang mudah.

Apa kena mengena PRN Johor dengan pembebasan Datuk Seri Najib Razak?

PRN Johor diadakan untuk memilih Kerajaan Negeri Johor. Bukan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Bukan juga untuk menentukan soal pengampunan diraja.

Jadi mengapa isu Kerajaan Persekutuan tiba-tiba dijadikan modal utama dalam sebuah pilihan raya negeri?

Bagi saya, tulisan Marina bukan sekadar menceritakan kekecewaannya terhadap politik.

Ia membuka ruang kepada rakyat untuk menilai sendiri sama ada sesebuah parti benar-benar mempertahankan prinsip yang sama dari dahulu hingga sekarang.

Atau prinsip itu berubah mengikut keperluan politik semasa.

Masih berbaki 11 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 32 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Dalam politik, rakyat bukan sahaja perlu mendengar apa yang diperkatakan. Rakyat juga perlu melihat bila sesuatu isu mula dimainkan.

Kerana kadang-kadang, masa sesuatu isu dibangkitkan lebih menceritakan niat sebenar daripada isu itu sendiri.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post