Sejak beberapa hari ini, pimpinan Pakatan Harapan membawa satu naratif bahawa mereka mahu membawa pulang beratus-ratus ribu anak Johor yang bekerja di Singapura supaya kembali bekerja di Johor dengan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
Pada pandangan saya, hasrat untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti di Johor sememangnya sesuatu yang baik.
Tiada siapa yang menolak cita-cita itu.
Tetapi saya ingin mengajak kita melihat isu ini dari satu sudut yang sedikit berbeza.
Hakikatnya, manusia sentiasa mencari peluang dan rezeki yang lebih baik.
Ada yang berpindah kerana pekerjaan.
Ada yang berhijrah kerana pendidikan.
Ada yang berhijrah kerana perniagaan.
Dan ada juga yang berpindah kerana peluang kerjaya dalam politik.
Ia bukan perkara baharu.
Malah sejak zaman dahulu lagi, manusia sentiasa bergerak ke tempat yang menawarkan kehidupan yang lebih baik.
Kalau kita melihat dari sudut ekonomi, sekurang-kurangnya terdapat tiga situasi yang menarik.
—-
Situasi pertama ialah pekerja asing di Malaysia.
Mereka datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan pelbagai negara lain untuk bekerja di Malaysia.
Mereka memperoleh gaji dalam Ringgit Malaysia.
Namun sebahagian besar pendapatan itu dihantar pulang ke negara asal bagi menyara keluarga mereka.
Mereka hanya meninggalkan sedikit wang di Malaysia untuk keperluan harian.
Dari sudut ekonomi, ini merupakan aliran keluar wang daripada negara kita.
—-
Situasi kedua ialah rakyat Malaysia sendiri yang berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Ramai anak Kelantan, Terengganu, Perlis dan negeri-negeri lain meninggalkan kampung halaman demi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
Selepas beberapa tahun, mereka membeli rumah di bandar.
Berkahwin di bandar. Membesarkan anak di bandar. Berbelanja di bandar.
Akhirnya, sebahagian besar pendapatan mereka berputar dalam ekonomi bandar tempat mereka menetap.
Kampung halaman tetap menerima sedikit manfaat melalui kiriman wang kepada ibu bapa atau ketika musim perayaan, tetapi sebahagian besar aktiviti ekonomi berlaku di tempat mereka berhijrah.
—-
Situasi ketiga pula agak unik.
Inilah yang berlaku kepada ramai anak Johor.
Mereka tinggal di Johor tetapi bekerja di Singapura.
Setiap pagi mereka menyeberangi Tambak Johor. Setiap malam mereka pulang semula ke rumah di Johor.
Mereka memperoleh gaji dalam Dollar Singapura.
Apabila ditukar kepada Ringgit Malaysia, pendapatan itu menjadi jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan pekerjaan yang setara di Johor.
Tetapi yang lebih menarik, wang itu sebahagian besarnya dibelanjakan semula di Johor.
Mereka membeli rumah di Johor.
Menghantar anak ke sekolah di Johor.
Makan di Johor.
Membeli-belah di Johor.
Membuka perniagaan di Johor.
Pendek kata, pendapatan yang dijana di luar negara akhirnya kembali menggerakkan ekonomi negeri Johor.
Memang benar, pengorbanannya besar.
Mereka terpaksa bangun seawal pagi.
Menghadapi kesesakan di Tambak setiap hari. Pulang lewat malam.
Tetapi bagi ramai daripada mereka, ganjaran yang diterima berbaloi dengan pengorbanan tersebut.
Sebab itu saya ingin bertanya.
Adakah anak Johor yang bekerja di Singapura benar-benar satu masalah besar?
Pada pandangan saya, tidak semestinya.
Malah ada sisi positif yang turut dinikmati oleh ekonomi Johor.
Saya tidak mengatakan kita tidak perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi di Johor.
Sebaliknya, saya melihat cabaran itu memerlukan masa.
Ia memerlukan pelaburan. Ia memerlukan industri bernilai tinggi. Ia memerlukan peningkatan produktiviti.
Bukan sesuatu yang boleh berlaku hanya dengan satu manifesto pilihan raya.
Sebab itu, bagi saya, apa yang lebih realistik buat masa ini ialah membantu mereka yang berulang-alik setiap hari.
Permudahkan urusan di Tambak Johor. Tingkatkan kecekapan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI). Kurangkan kesesakan di Johor Bahru. Tambah baik pengangkutan awam rentas sempadan.
Kalau mereka dapat menjimatkan satu atau dua jam sehari, itu sendiri sudah meningkatkan kualiti hidup mereka tanpa perlu mengorbankan pendapatan yang mereka nikmati hari ini.
Saya juga tidak mengatakan idea membawa pulang anak Johor itu satu idea yang salah. Ia adalah satu cita-cita yang baik.
Tetapi persoalannya ; Adakah ia benar-benar realistik untuk dicapai dalam masa yang singkat?
Kerana sehingga hari ini, tarikan terbesar Singapura bukan sekadar peluang pekerjaan.
Tetapi nilai mata wangnya.
Akhir sekali, saya teringat kepada Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau merupakan anak Johor.
Namun beliau memilih membina kerjaya politik di Selangor sehingga menjadi Menteri Besar Selangor.
Saya tidak pernah menyalahkan beliau.
Kerana beliau juga sedang melakukan perkara yang sama seperti jutaan manusia lain. Beliau berhijrah ke tempat yang menawarkan peluang kerjaya yang lebih besar.
Jadi, kalau penghijrahan itu diterima apabila memberi manfaat kepada kerjaya seorang ahli politik ;
Mengapa pula kita mahu melihat penghijrahan anak Johor ke Singapura semata-mata sebagai sesuatu yang negatif?
Pada akhirnya, manusia tidak berhijrah kerana mereka tidak sayangkan tempat asal. Mereka berhijrah kerana mereka mahu kehidupan yang lebih baik.
Cabaran sebenar bukanlah menghalang mereka berhijrah. Tetapi mewujudkan satu keadaan sehingga suatu hari nanti, mereka sendiri memilih untuk pulang.
Kerana apabila peluang benar-benar sudah wujud di tempat asal, manusia tidak lagi perlu dipujuk.
Mereka akan pulang dengan sendiri.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

