31 HARI SEBELUM PRN NEGERI SEMBILAN : KAKI CLAIM KREDIT

Pada hari ini, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan satu perutusan yang pada pandangan saya bukan sekadar mengenai pembukaan Laluan LRT3.

Ia sebenarnya mengandungi satu pengajaran yang besar tentang bagaimana kita menilai sejarah, menghargai kesinambungan pentadbiran dan mengelakkan budaya mengambil kredit secara berlebihan.

Dalam titah tersebut, baginda memperincikan perjalanan projek LRT3 dari awal hingga siap.

Baginda memberikan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina laluan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur selepas mendengar sendiri keluhan rakyat mengenai kesesakan lalu lintas.

Baginda kemudian menjelaskan bagaimana projek itu dikecilkan skopnya ketika Kementerian Kewangan diterajui oleh Lim Guan Eng bersama Tony Pua sehingga lima buah stesen dibatalkan atas alasan mahu mengurangkan kos.

Namun apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran, baginda turut mengucapkan terima kasih kerana projek itu diteruskan semula dan lima stesen yang dibatalkan dikembalikan demi kepentingan rakyat.

Bagi saya, ayat yang paling penting dalam keseluruhan titah itu ialah apabila baginda bertitah:

“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.”

Inilah mesej sebenar yang perlu difahami.

LRT3 bukan milik Najib. Bukan juga milik Anwar. Dan sudah tentu bukan milik mana-mana parti politik.

Ia adalah hasil kesinambungan beberapa pentadbiran yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

Yang menariknya, pada hari yang sama selepas titah tersebut, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution pula menyatakan bahawa LRT3 membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan sistem pengangkutan awam.

Di sinilah saya melihat satu persoalan yang menarik.

Bukankah Sultan sendiri baru sahaja mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan mendakwa kejayaan projek ini sebagai hasil usaha mereka semata-mata?

Kalau Sultan sendiri mengiktiraf peranan Datuk Seri Najib ketika projek ini dimulakan, mengiktiraf Datuk Seri Anwar ketika projek ini disempurnakan, dan pada masa yang sama menegur keputusan Lim Guan Eng serta Tony Pua yang mengecilkan skop projek, mengapa masih perlu ada ahli politik yang cuba memberi gambaran seolah-olah kejayaan ini milik satu pentadbiran sahaja?

Bagi saya, inilah bezanya cara seorang Raja melihat sejarah dengan cara seorang ahli politik melihat politik.

Raja melihat kesinambungan.

Ahli politik pula kadang-kadang terlalu ghairah mencari kredit.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah peranan Institusi Raja itu sendiri. Titah hari ini membuktikan bahawa Raja bukan sekadar simbol negeri.

Baginda mendengar suara rakyat. Baginda membawa keluhan rakyat kepada kerajaan.
Dan baginda turut mengikuti perkembangan sesuatu projek sehingga siap.

Ini menunjukkan bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, Institusi Raja juga memainkan peranan penting dalam memastikan kepentingan rakyat terus diberi perhatian.

Sebab itulah saya berpandangan, setiap ahli politik perlu menghormati Institusi Raja.

Lebih-lebih lagi apabila titah itu menyentuh kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Baru-baru ini kita juga menyaksikan beberapa pemimpin DAP menerima teguran daripada DYMM Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di Selangor.

Hari ini pula, dalam titah mengenai LRT3, baginda sekali lagi menegur keputusan yang pada pandangan baginda telah menjejaskan keperluan rakyat.

Ini bukan soal politik kepartian.

Ini soal bagaimana seorang Raja melihat kepentingan negeri mengatasi kepentingan mana-mana parti.

Walaupun titah ini berkaitan Selangor, saya percaya rakyat Johor juga boleh mengambil pengajaran.

Dalam PRN Johor hari ini, kita melihat ada pihak cuba menggambarkan seolah-olah semua kejayaan Kerajaan Persekutuan adalah hasil usaha mereka (PH) semata-mata.

Sedangkan hakikatnya, Kerajaan Persekutuan hari ini dibentuk secara bersama.

Barisan Nasional juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. Menteri-menteri BN turut memikul tanggungjawab dalam Kabinet.

Apabila sesuatu dasar berjaya, ia adalah hasil keputusan bersama.

Apabila sesuatu projek memberi manfaat kepada rakyat, ia juga lahir daripada kesinambungan beberapa pentadbiran.

Sebab itu saya bersetuju dengan titah DYMM Sultan Selangor.

Jangan ada mana-mana pihak yang terlalu cepat mengambil semua kredit apabila sesuatu projek berjaya.

Kerana sebuah negara tidak dibina oleh satu parti. Ia dibina oleh kesinambungan pentadbiran, dasar yang konsisten dan kerjasama pelbagai pihak.

Masih berbaki 10 hari sebelum rakyat Johor membuat keputusan.

Dan 31 hari lagi sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi.

Dalam politik, mengambil kredit itu mudah.

Tetapi mengiktiraf sumbangan orang lain memerlukan kebesaran jiwa.

Mungkin sebab itulah apabila Raja sudah bersuara, baginda tidak bercakap bagi pihak mana-mana parti.

Baginda bercakap demi negeri, demi sejarah dan demi rakyat.

Jamal Rafaie Jakiran
Kuala Terengganu
Asal Kuala Selangor

Related Post